Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, February 1, 2012


pattani
BANGKOK - Siasatan awal menunjukkan empat orang yang ditembak mati oleh pasukan renjer di Pattani semalam bukan merupakan anggota militan seperti yang didakwa pihak berkuasa sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Yuthasak Sasiprapha yang menegaskan semalam bahawa mereka yang terbunuh merupakan anggota militan dan bukan orang awam, hari ini berkata siasatan awal menunjukkan perkara sebaliknya.

Beliau yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan bagaimanapun berkata siasatan terperinci masih dijalankan bagi memastikan keadilan kepada pihak berkuasa dan orang kampung.

"Semua pihak termasuk tentera dan pihak berkuasa wilayah menyertai bersama siasatan termasuk dalam menentukan sekiranya operasi tentera mengikut prosedur yang betul.

"Sekiranya pihak berkuasa bersalah, ia bermakna pihak berkuasa tetap bersalah, tetapi sekiranya pihak berkuasa benar, mereka perlu menjelaskan kepada orang awam," katanya kepada pemberita.    
   
Dalam kejadian itu empat orang penduduk Kampung Tanjung Buluh, di daerah Nong Chik, Pattani yang sedang menaiki sebuah kenderaan pikap bagi menghadiri majlis pengkebumian di kampung berhampiran, terbunuh dalam serangan kira-kira 8.30 malam.

Empat penumpang lain cedera parah sementara seorang lagi selamat.

Yuthasak semalam mendakwa mereka yang terbunuh bukan merupakan orang awam dan berkata pasukan renjer yang diserang terlebih dahulu dengan pelancar bom M79.

Pihak berkuasa turut mendakwa menemui selaras senapang AK-47 di dalam pikap tersebut.

Namun penumpang yang selamat memberitahu pemberita bahawa sekumpulan orang bersenjata yang memakai uniform renjer telah melepaskan tembakan kepada kenderaan mereka, serta menafikan mereka membawa sebarang senjata.
   
Insiden tersebut mencetuskan kemarahan di wilayah selatan dan Yuthasak hari ini berjanji akan menghalang keadaan daripada meruncing.

Katanya siasatan tidak akan mengambil masa lama untuk siap bagi orang ramai mengetahui punca sebenar kejadian.- Bernama

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal