Bismillahirrahmanirrahim

Thursday, March 1, 2012

Letupan bom gegar Selatan Thai

BANGKOK: Dua anggota tentera dan seorang penolong ketua kampung cedera dalam serangan di Narathiwat dan Yala pagi semalam , manakala beberapa kebakaran berlaku di Pattani, kata polis. 

Di Narathiwat, pemisah meletupkan bom buatan sendiri ketika trak pikap yang membawa enam anggota tentera menuju ke kampung Kuching Rupa di daerah Chalerm of Rangae untuk bertugas.

Ketua pasukan itu, Leftenen Rapeepat Mongkol, 25, dan Sarjan Sompot Noochan, 32, cedera manakala kenderaan itu rosak.
Di Yala, penolong ketua kampung, Makruri Mani, 40, sedang dalam perjalanan ke kedai teh di kampungnya di Purong apabila seorang lelaki bersenjata yang menunggang motosikal melepaskan dua tembakan ke arahnya. 

Beliau cedera di tangan dibawa ke hospital Yala untuk mendapatkan rawatan. Polis masih menyiasat kejadian itu. 

Sementara itu, kebakaran berlaku hampir serentak di enam lokasi berbeza di Pattani, dua di daerah Muang, Khok Pho dan Sai Buri awal pagi, semalam. 

Di Muang, kebakaran berlaku di bahagian barangan pengguna di pusat beli belah di Pattani kira-kira jam 1.00 pagi. 
Tiga kereta bomba dikejarkan ke tempat kejadian dan api berjaya dikawal 20 minit kemudian selepas menyebabkan kerosakan kepada bangunan dan sebahagian stok. 

Seorang pengawal keselamatan, Abdulloh Naelee, berkata beliau mendengar bunyi letupan sebelum melihat api dan asap. 

Polis kemudian berkata, kebakaran berpunca daripada bom yang dilemparkan ke dalam bangunan itu. 

Pada masa sama, satu lagi kebakaran berlaku di depan pusat beli belah Big C di jalan Nong Chik di daerah Muang. Kebakaran berjaya dipadam pengawal keselamatan bagaimanapun, terdapat kerosakan di bahagian baju kanak-kanak. 

Di daerah Khok Pho, kebakaran pertama berlaku di gudang Tanin Parawood Co di Ban Tharua manakala yang kedua berlaku di tingkat pertama Minimart KP. 

Gabenor Pattani, Theera Mintrasak, berkata semua empat kebakaran di Muang dan Khok Pho berpunca daripada bom api. 

Di Sai Buri, kebakaran tercetus di pejabat lebuh raya menyebabkan sebahagian bangunan dan sebuah bangunan berhampiran rosak. 

Sebutir bom tangan turut ditemui di dalam tin dan berjaya dimatikan oleh polis yang tiba di tempat kejadian. 

Satu lagi kebakaran berpunca daripada tayar trak yang diletakkan di tepi jalan di Ban Joh Kuyae, menyebabkan kerosakan kecil. 

Polis percaya kebakaran dilakukan pemisah Islam. Lebih 5,000 maut dan 8,400 cedera dalam pergolakan di tiga wilayah paling selatan di Thailand sejak keganasan meletus pada Januari 2004. – Agensi 

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal