Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, February 22, 2012


BANGKOK - Tiga pemberontak maut dan tiga renjer cedera dalam pertempuran selama 30 minit di daerah Penarek, Pattani hari ini.
Ketua Polis Daerah Penarek Pol, Kol Manit Yimsai berkata, tujuh pemberontak menyerang sekumpulan renjer semasa anggota penguat kuasa itu menyediakan tempat pemeriksaan di Jalan Penarek-Saiburi di Kampung Naprau, Penarek pada 11 pagi.
Pemberontak yang terbunuh dalam kejadian itu dikenal pasti sebagai Cek Roslan Cek Umar, 27, manakala identiti dua lagi, kedua-duanya dipercayai berusia 25 tahun, masih belum diketahui. Pihak berkuasa menemui dua laras M-16 dekat mayat ketiga-tiga pemberontak itu.
"Kami telah dimaklumkan oleh laporan risikan bahawa mungkin akan berlaku serangan pemerontak terhadap ketua kampung di kawasan itu. Renjer berkenaan sudah membuat persediaan rapi untuk menghadapi keadaan itu dan berjaya membunuh tiga pemberontak," katanya.
Beliau berkata, empat lagi pemberontak sempat meloloskan diri dan pihak berkuasa sedang memburu mereka.
Kira-kira 5,000 orang terbunuh sejak anggota kumpulan pemisah menyambung semula perjuangan mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala, lapan tahun lepas. - Bernama


ANGGOTA keselamatan memeriksa mayat seorang lelaki dipercayai pemberontak yang terbunuh dalam pertempuran di selatan Pattani, semalam.
ANGGOTA keselamatan memeriksa mayat seorang lelaki dipercayai pemberontak yang terbunuh dalam pertempuran di selatan Pattani, semalam.
PATTANI: Tiga suspek pemberontak terbunuh dalam pertempuran selepas serbuan mereka ke atas kumpulan separa tentera gagal, kata polis semalam.

Jurucakap polis berkata, seorang sukarelawan keselamatan turut cedera dalam tembak-menembak selama 20 minit di Pattani itu.


Lebih 5,000 orang terbunuh dalam konflik di tiga wilayah paling bergolak di selatan Thailand, membabitkan Yala, Pattani dan Narathiwat sejak 2004.

Biasanya, serangan dilakukan lelaki tidak dikenali melepaskan tembakan sambil menunggang motosikal atau menggunakan bom.


Sebahagian besar penduduk Selatan Thailand didiami etnik Melayu beragama Islam. Wilayah itu terletak lebih 1,100 kilometer dari Bangkok dan pernah menjadi empayar kesultanan Melayu Islam sehingga 1909.



Korban di kalangan orang awam memang tinggi tetapi pemberontak menukar serangan mereka kepada tentera atau kumpulan separa tentera yang menerima latihan daripada pasukan keselamatan. - Reuters

Sunday, February 12, 2012


KONFLIK di selatan Thailand dilihat seperti tiada penghujungnya. Kerajaan Thailand dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk menangani pemasalahan yang timbul di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam itu.

Mungkin ramai yang masih ingat peristiwa pada 28 April 2004 di masjid Kampung Krisek, Pattani, apabila kira-kira 106 remaja Islam menjadi korban bedilan peluru pasukan keselamatan Thailand. Mereka dituduh melakukan serangan ke atas pos-pos keselamatan Thai menggunakan senjata tajam.

Begitu juga dengan tragedi enam bulan kemudian di Tak Bai pada 24 Oktober 2004, apabila 85 orang penduduk Islam terbunuh akibat sesak nafas kerana ditindih beramai-ramai di dalam trak askar. Apa yang menyedihkan kejadian itu berlaku semasa bulan Ramadan.

Konflik di wilayah itu boleh menjadi 'duri dalam daging' dalam ASEAN dan boleh mengundang campur tangan asing serta mengimport ejen-ejen keganasan dan elemen militan ke wilayah itu, jika ia tidak dibendung.

Sehingga saat artikel ini ditulis belum nampak kesungguhan kerajaan Thailand terutama di bawah pimpinan baru, Perdana Menteri wanita pertama Thailand Yingluck Shinawatra (gambar) untuk menyelesaikan konflik itu secara aman, ikhlas dan berkekalan.

Selagi konflik itu tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh, selagi itulah akan berlaku keganasan, letupan, serangan, pertempuran dan tembakan curi di wilayah itu dan ramai yang akan menjadi korban.

Apa yang menyedihkan setiap kali berlaku kejadian keganasan dan pembunuhan, maka ramailah wanita yang akan menjadi janda dan ramailah anak-anak yang menjadi yatim kerana kehilangan ibu atau bapa atau kedua-dua ibu bapa dalam insiden-insiden pembunuhan dan serangan.

Amat malang sekali kebanyakan pembunuhan dan insiden serangan di wilayah itu kelihatan dilakukan secara sistematik dan sasaran serangan dan pembunuhan pula ialah guru-guru agama, ulama atau mereka yang ada kaitan dengan urusan pengembangan Islam di wilayah itu.

Setiap kali serangan dilakukan oleh tentera Thailand, mereka akan mendakwa mangsa yang terbunuh dipercayai suspek militan atau pejuang pemisah yang memberontak untuk memerdekakan wilayah itu dan jika berlaku serangan oleh kumpulan bersenjata pula, pihak berkuasa akan mendakwa ia dilakukan oleh golongan pejuang pemisah.

Semua dakwaan itu, setakat ini sekadar dakwaan dan pihak tentera sering gagal membuktikan penglibatan mangsa dengan kejadian pemberontakan atau gerakan pemisah.

Kebangkitan rakyat selatan Thailand melakukan keganasan, kebanyakannya bukan kerana pemberontakan tetapi lebih kepada perasaan tidak puas hati, dendam dan marah dengan pihak berkuasa atas kematian anak, ibu, bapa atau saudara mara mereka yang dibunuh oleh pasukan keselamatan Thailand yang didakwa menjadi suspek militan atau pejuang pemisah.

Insiden terbaru ialah pada 3o Januari lalu apabila pasukan separa tentera Thailand menembak mati empat lelaki Islam termasuk seorang warga emas dan seorang remaja di Pattani kerana menyangka mereka dise rang.

Kesemua mangsa yang terbunuh itu dalam perjalanan pulang menaiki sebuah trak pikap setelah menghadiri pengebumian seorang ahli keluarga mereka.

Walaupun, pihak tentera sehari kemudian memohon maaf ata kejadian itu kerana tersalah anggap, tetapi hakikatnya, penduduk kampung menyimpan perasaan marah atas tindakan pihak tentera yang tidak usul periksa.

Ini ditambah dengan perasaan tidak puas hati yang selama ini dipendam ekoran tindakan kerajaan Thailand yang didakwa cuba menukar agama penduduk di selatan Thailand kepada agama Buddha.

Proses ini dijalankan secara halus melalui pendidikan dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Usaha serupa juga dilakukan untuk menghapuskan budaya Melayu di kalangan penduduk selatan Thailand yang majoriti bercakap menggunakan bahasa Melayu, misalnya menghendaki penduduk selatan Thailand yang ingin bekerja dengan jabatan kerajaan perlu menukar nama kepada nama Siam dan bercakap serta menulis dalam bahasa Siam.

Kerajaan Thailand juga tidak membenarkan Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah.

Mata pelajaran Sejarah Pattani dan Islam Pattani juga tidak dibenarkan diajar di sekolah kerajaan termasuk di sekolah swasta. Ini supaya generasi muda Pattani tidak tahu tentang sejarah sebenar mereka.

Selain itu, berlaku amalan diskriminasi oleh kerajaan Thailand yang memberi layanan berbeza terhadap penduduk Islam selatan Thaiand dengan penduduk Siam yang tinggal di wilayah tersebut.

Kerajaan Thailand juga gagal membawa pembangunan di wilayah itu bagi meningkatkan taraf hidup penduduknya.

Perdana Menteri Thailand, Yingluck perlu iklhas untuk membangunkan wilayah itu dan menangani konflik di wilayah itu terutama menghapuskan dasar-dasar yang menindas.

Penindasan yang berterusan, dikriminasi yang melampau dan tindakan keganasan secara sistematik hanya akan mendorong penduduknya untuk bangkit memberontak.

Thailand juga harus menjaga sensitiviti jiran-jirannya yang majoriti merupakan negara Islam seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei yang merupakan negara jiran yang akrab.

Sebarang tindakan menindas penduduk Islam di wilayah selatan Thailand dan mencemarkan agama Islam di wilayah itu pasti akan menguris perasaan penduduk Malaysia, Indonesia dan Brunei yang beragama Islam.

Friday, February 10, 2012


YALA: Seorang pesara guru terbunuh dan 13 lagi penduduk kampung cedera apabila sebuah trak bom meletup dalam keganasan terbaru di wilayah selatan Thailand, semalam.

Polis menyalahkan pemisah Islam dalam kejadian bom di hadapan pejabat kesihatan awam di Pattani, satu daripada tiga wilayah yang bergolak sejak lapan tahun lalu. 


Menurut polis, bom itu disembunyikan dalam trak pikap dan menyebabkan 10 kenderaan lain rosak. 


Tiga daripada 13 penduduk yang cedera berada dalam keadaan kritikal.



Dalam satu serangan berasingan di Narathiwat pula, dua anggota tentera cedera apabila sebuah bom di tepi jalan meletup ketika mereka melakukan rondaan rutin.



Keganasan terus berlaku ketika penduduk tempatan beragama Islam berang selepas renjer tentera di Pattani menembak mati empat penduduk kampung yang didakwa anggota pemisah Islam pada 29 Januari lalu. - Reuters 



BANGKOK - Seorang pegawai kesihatan terbunuh manakala sembilan yang lain cedera dalam letupan bom di hadapan Pejabat Kesihatan Pattani hari ini.

Ketua polis Pattani Kol Pol Sompon Misuk berkata pegawai kesihatan itu mati di tempat kejadian apabila bom buatan sendiri seberat 20 kg yang di dalam sebuah kenderaan pikap diletupkan secara kawalan jauh pada pukul 8 pagi.

Dua lagi pegawai kesihatan cedera parah manakala tujuh orang awam termasuk seorang kanak-kanak cedera ringan.

"Kamera litar tertutup di kawasan itu dapat merakam imej dua suspek yang meletakkan pikap itu di situ. Polis kini mengesan suspek untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, dua anggota tentera cedera apabila bom seberat lima kilogram meletup di Kampung Batu, Bachok, Narathiwat, pada pukul 7.50 pagi ini.

Lebih 4,000 orang terbunuh sejak kumpulan pemisah menggerakkan semula gerakan bersenjata untuk menuntut kemerdekaan tiga wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas. - Bernama

Tuesday, February 7, 2012


NARATHIWAT (Thailand): Kumpulan lelaki bersenjata menembak mati dua orang awam di selatan negara ini, semalam, kata polis.

Penyerang membunuh jaga sekolah berusia 52 tahun dan mencederakan isterinya berusia 41 tahun di ladang getah di Narathiwat, satu daripada tiga wilayah yang bergolak dekat sempadan Malaysia.


Dalam serangan berasingan di wilayah sama, seorang lelaki Muslim berusia 40 tahun mati ditembak di kedai kopi.

Bulan lalu, insiden di mana empat umat Islam termasuk seorang warga emas dan remaja berusia 18 tahun yang ditembak mati oleh renjer separa tentera mendorong kepada siasatan dan mencetuskan kemarahan penduduk tempatan terhadap akiviti tentera di situ.


Ketua tentera, Jeneral Prayut Chan-O-Cha menggesa tentera lebih berhati-hati di wilayah selatan ekoran kejadian itu, tetapi berkata, 40,000 tentera dan 20,000 pegawai keselamatan di selatan “dikerah bukan untuk bertempur”.



“Anda perlu faham untuk menyelesaikan pergolakan di selatan bukan melalui pertempuran, tetapi menerusi persefahaman,” katanya. - Bangkok Post

Monday, February 6, 2012

2 sukarelawan ditembak mati

YALA: Dua sukarelawan separa tentera ditembak mati oleh beberapa lelaki bersenjata ketika mengiringi sami Buddha dalam upacara meminta sedekah waktu pagi di wilayah selatan Thailand yang bergolak.

Menurut polis, mangsa berusia 37 dan 42 mati selepas penyerang melepaskan tembakan menggunakan raifal dari belakang sebuah trak pikap di pekan Yala. - Bangkok Post


YALA: Sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati dua tentera yang mengiringi sami Buddha mengutip sedekah di kawasan bergolak selatan Thailand, kata polis semalam. 

Mangsa masing-masing berusia 37 dan 42 tahun, mati selepas penyerang melepaskan tembakan raifal dari belakang trak pikap, kata polis di pekan Yala, satu daripada wilayah yang dibelenggu pemberontak berdekatan sempadan Malaysia.
Timbalan Superintendan polis tempatan, Leftenan Kolonel Colonel Sonthaya Toopthong berkata keganasan adalah untuk membalas dendam ke atas kematian orang awam Muslim yang ditembak tentera di wilayah Pattani.
Kejadian awal bulan lalu di mana empat orang awam termasuk warga emas dan remaja lelaki berusia 18 tahun ditembak mati, ia mencetuskan kemarahan penduduk dan pegawai masih menyiasat. 

Dalam kejadian berasingan petang kelmarin, seorang lagi tentera beragama Islam ditembak mati di Pattani ketika beliau memandu trak pikapnya. 

Dalam pemberontakan yang kompleks tanpa sebarang sasaran tercetus di selatan Thai sejak bertahun yang membawa kepada kehadiran pasukan tentera bersenjata kerajaan. 

Kira-kira 5,000 orang, Buddha dan Muslim terbunuh manakala 8,300 lagi cedera sejak pergolakan bermula pada 2004, menurut pemantau konflik tempatan, Deep South Watch. 



Sami lazim diberikan perlindungan keselamatan ketika mereka melakukan kutipan pagi di wilayah, di mana mereka dilihat sebagai simbol negara Thailand dan seperti guru, mereka juga sasaran serangan. – AFP 

Friday, February 3, 2012


BANGKOK: Sejumlah 33 orang maut dan 41 lagi cedera dalam 55 insiden keganasan di selatan Thailand bulan lalu, lapor Pusat Pemerhatian Selatan, Universiti Putera Songkla di kampus Pattani, semalam.

Keganasan itu membabitkan kereta, motosikal, bom tepi jalan, serang hendap, tembakan dari kenderaan serta pembakaran.


Daripada jumlah keseluruhan, 17 mangsa adalah penduduk kampung, ketua kampung (4), sukarelawan pertahanan kampung (4), tentera (3), kakitangan kerajaan (2), seorang anggota polis, anggota organisasi pentadbiran tambon dan remaja berusia 15 tahun. Mereka yang cedera termasuk 16 tentera, sukarelawan pertahanan (6), seorang guru, pelajar, ketua kampung, kakitangan kerajaan dan remaja. - Bangkok Post

Thursday, February 2, 2012


BANGKOK: Seorang anggota tentera sukarelawan ditembak mati di daerah Khok Pho di Pattani semalam, manakala dua butir bom tangan dilempar ke arah sebuah kuil Buddha di daerah Nong Chik.

Kejadian itu dilihat sebagai balas dendam terhadap serangan oleh renjer separa tentera yang menyebabkan empat lelaki Islam tempatan maut dan empat lagi cedera malam Ahad lalu. 


Anggota renjer sukarelawan itu, Thanong Sinthu, 40, ditembak mati dekat Jalan Nakate-Pattani No.42 dekat Moo 2 di Ban Khamao, semalam. 

Dia bekerja sebagai pemandu di kem tentera Ingkhayutthaboriharn, Divisyen Renjer ke-43, Wilayah Nong Chik, Pattani.



Ia unit yang sama di mana anggota renjer yang terlibat dalam kejadian tembakan itu dipindahkan, beberapa jam sebelum tragedi berlaku.


Menurut polis, mangsa dalam perjalanan ke kem menaiki motosikal apabila dua orang penyerang dengan sebuah motosikal mengekorinya dan pemboncengnya melepaskan tembakan sebelum melarikan diri. 

Polis berkata, pembunuhan itu mungkin dilakukan oleh anggota pemisah Islam yang mahu membalas dendam. 

Kejadian malam Ahad lalu, berlaku selepas renjer tentera dari pangkalan 4302 sedang mengejar suspek militan yang melempar bom tangan M79 ke arah unit mereka. 

Mereka bertembung dengan sebuah pikap yang membawa sembilan lelaki Islam di Lebuh raya 418 berdekatan Moo 1 di Ban Kayi di Pulom Poya dan cuba menahannya. - Bangkok Post


Wednesday, February 1, 2012

4 korban bukan anggota pemisah


PATTANI: Empat mangsa yang ditembak mati renjer separa tentera di Pattani bukan anggota kumpulan pemisah, kata Timbalan Perdana Menteri Thailand, Yutthasak Sasiprapa, semalam.

“Daripada siasatan awal, empat yang ditembak mati malam Isnin lalu tidak terbabit dengan kumpulan pemisah,” katanya.


Beliau berjanji akan mendedahkan maklumat lanjut mengenai pembunuhan di selatan negara itu yang mencetuskan kemarahan penduduk tempatan dan aktivis kumpulan hak asasi manusia.


Panel siasatan dibentuk oleh pasukan keempat tentera bagi menyiasat kematian dan menjelaskan peraturan ditetapkan kepada anggota renjer ekoran insiden yang mengorbankan empat nyawa dan mencederakan empat yang lain di daerah Nong Chik pada malam Isnin lalu.


Menurut Sasiprapa, keputusan siasatan akan didedahkan segera.



Sasiprapa juga berjanji anggota renjer akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka membunuh orang awam tanpa sengaja. Tentera bersedia meminta maaf kepada keluarga mangsa dan memberikan pampasan atas kehilangan nyawa itu. Mereka yang bersalah akan dibawa ke pengadilan. Bagaimanapun, beliau berkata, senjata AK-47 dan pistol 11mm yang ditemui dalam kenderaan pikap digunakan mangsa tidak diletakkan anggota tentera terbabit sebagaimana didakwa sesetengah penduduk. - Bangkok Post


pattani
BANGKOK - Siasatan awal menunjukkan empat orang yang ditembak mati oleh pasukan renjer di Pattani semalam bukan merupakan anggota militan seperti yang didakwa pihak berkuasa sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Yuthasak Sasiprapha yang menegaskan semalam bahawa mereka yang terbunuh merupakan anggota militan dan bukan orang awam, hari ini berkata siasatan awal menunjukkan perkara sebaliknya.

Beliau yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan bagaimanapun berkata siasatan terperinci masih dijalankan bagi memastikan keadilan kepada pihak berkuasa dan orang kampung.

"Semua pihak termasuk tentera dan pihak berkuasa wilayah menyertai bersama siasatan termasuk dalam menentukan sekiranya operasi tentera mengikut prosedur yang betul.

"Sekiranya pihak berkuasa bersalah, ia bermakna pihak berkuasa tetap bersalah, tetapi sekiranya pihak berkuasa benar, mereka perlu menjelaskan kepada orang awam," katanya kepada pemberita.    
   
Dalam kejadian itu empat orang penduduk Kampung Tanjung Buluh, di daerah Nong Chik, Pattani yang sedang menaiki sebuah kenderaan pikap bagi menghadiri majlis pengkebumian di kampung berhampiran, terbunuh dalam serangan kira-kira 8.30 malam.

Empat penumpang lain cedera parah sementara seorang lagi selamat.

Yuthasak semalam mendakwa mereka yang terbunuh bukan merupakan orang awam dan berkata pasukan renjer yang diserang terlebih dahulu dengan pelancar bom M79.

Pihak berkuasa turut mendakwa menemui selaras senapang AK-47 di dalam pikap tersebut.

Namun penumpang yang selamat memberitahu pemberita bahawa sekumpulan orang bersenjata yang memakai uniform renjer telah melepaskan tembakan kepada kenderaan mereka, serta menafikan mereka membawa sebarang senjata.
   
Insiden tersebut mencetuskan kemarahan di wilayah selatan dan Yuthasak hari ini berjanji akan menghalang keadaan daripada meruncing.

Katanya siasatan tidak akan mengambil masa lama untuk siap bagi orang ramai mengetahui punca sebenar kejadian.- Bernama


IBU kepada seorang sukarelawan pertahanan Muslim yang mati ditembak militan dalam pembunuhan terbaru di Narathiwat, berdiri dekat tempat kejadian ketika anggota polis menguruskan jenazahnya, menyusuli pembunuhan lima orang Islam di Pattani.
IBU kepada seorang sukarelawan pertahanan Muslim yang mati ditembak militan dalam pembunuhan terbaru di Narathiwat, berdiri dekat tempat kejadian ketika anggota polis menguruskan jenazahnya, menyusuli pembunuhan lima orang Islam di Pattani.
BANGKOK: Askar Thailand semalam mengakui lima penduduk Muslim yang disyaki pemisah dan ditembak mati renjer tentera tiada kaitan langsung dengan pemberontak wilayah selatan negara itu.

Panglima tentera darat, Prayuth Chan-ocha meminta maaf kepada keluarga mangsa yang dibunuh di Pattani malam Ahad lalu dan memberi alasan renjer terbabit menghadapi tekanan untuk bertindak balas selepas pemisah melepaskan tembakan dan melontar bom tangan ketika menyerang sebuah markas tentera berdekatan.
Pembunuhan terbaru mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi manusia dan penduduk Muslim di selatan.
Kebanyakan mereka membenci peri laku dan kehadiran ramai anggota tentera di situ, dianggarkan 40,000 di Yala, Pattani dan Narathiwat.

Sejak ditempatkan di wilayah itu pada awal 2004 untuk melawan pergerakan pemisah yang masih belum dipastikan kekuatannya, anggota tentera Thailand dituduh banyak melakukan kesalahan termasuk mendera, menahan tanpa bukti, merogol dan membunuh.

Penduduk tempatan marah dengan ketidakadilan terhadap orang Islam manakala pihak berkuasa keberatan untuk menghukum anggota polis, askar dan pengawal bersenjata yang melakukan pembunuhan sesuka hati.

Seorang jurucakap tentera berkata, empat lelaki yang menjadi mangsa bunuh terbaru berada di belakang trak pikap apabila selaras raifal ditemui dan terbunuh apabila askar membalas tembakan ke arah lelaki bersenjata yang menembak mereka ketika memeriksa kenderaan itu. 



Tembakan balas renjer tentera menyebabkan kematian mereka, manakala tiga orang lagi cedera dan penyerang bersenjata lari dari situ menggunakan motosikal.

Timbalan Perdana Menteri, Yuthasak Sasiprapha, bekas jeneral tentera, berkata siasatan lanjut perlu dibuat bagi memastikan sama ada renjer benar-benar bersalah.

“Jika pegawai kami memang bersalah, mereka perlu hadapi dakwaan ini dan meminta maaf,” katanya sambil menyatakan pampasan dan keadilan akan diberi kepada keluarga mangsa. – Reuters/AFP 

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal