Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, November 11, 2009

Pungutan suara pulih selatan Thai

NARATHIWAT: Pungutan suara di wilayah selatan bagi menentukan bentuk pentadbiran dikehendaki penduduk, selagi dibenarkan Perlembagaan Thailand, adalah pendekatan terbaik untuk menamatkan konflik wilayah bergolak yang sudah meragut hampir 4,000 nyawa sejak lima tahun lalu.

Ahli Parlimen Narathiwat, Dr Wanmahdee Wandaud, berkata kegagalan kerajaan Thailand di Bangkok mendapatkan pandangan rakyat wilayah selama ini dalam tindakan dan pendekatan yang dilaksana, menjadi punca semua usaha membina keamanan sukar dicapai.

Katanya, dalam keadaan lebih 90 peratus rakyat wilayah itu cenderung kepada pentadbiran autonomi, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, masih menolak kaedah terbabit yang boleh disesuaikan dengan suasana Thailand, walaupun dibenar Perlembagaan.

“Apa jua bentuk autonomi termasuk seperti dicadangkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, di Hua Hin, baru-baru ini mendapat sokongan lebih 90 peratus rakyat di selatan, adalah dibenarkan Perlembagaan Thailand.

“Malangnya, tanpa rundingan dengan rakyat, Abhisit dengan mudah menolak cadangan autonomi ketika menjawab pertanyaan saya di Parlimen.

“Cadangan itu patut dirundingkan dengan pemimpin dan rakyat wilayah selatan yang lebih memahami keadaan dan keperluan mereka,” katanya kepada media Malaysia di sini, semalam.

Dr Wanmahdee berkata, keadilan dan pembangunan semata-mata seperti diyakini Abhisit tidak mampu menyelesaikan keganasan di wilayah itu.

Katanya, keadilan yang diharapkan rakyat bukan hanya perbicaraan adil di mahkamah dan sistem perundangan, tetapi dalam semua aspek termasuk sosioekonomi, budaya dan politik.

“Pentadbiran autonomi juga sebahagian daripada keadilan politik. Saya menyokong autonomi kerana ia masih boleh dilaksanakan tanpa memisahkan wilayah ini daripada Thailand,” katanya,

Beliau berkata, lawatan Najib bersama Abhisit ke wilayah selatan yang dijangka pada Disember ini juga tidak mampu membawa perubahan, selagi Bangkok enggan mendengar suara dan menerima pendirian rakyat.

Katanya, dalam perkembangan sama, pentadbiran Abhisit dijangka meluluskan pembentukan satu badan pentadbiran baru diketuai pegawai kerajaan yang dilantik Perdana Menteri untuk mengawasi lima wilayah selatan merangkumi Singgora, Satun, Yala, Pattani dan Narathiwat, minggu depan.

“Saya menuntut Parlimen peringkat tempatan dengan wakilnya dipilih rakyat ditubuhkan bagi menjadi pengawas perjalanan badan itu,” katanya.

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal