Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, September 22, 2010

COTABATO: Kerajaan Filipina akan menawarkan wang dan kerja kepada masyarakat di selatan negara itu ketika Manila mengadakan semula rundingan damai dengan kumpulan pemberontak Muslim di wilayah berkenaan.

Program bantuan itu akan membuka peluang kepada berpuluh ribu penduduk di wilayah bergolak itu mendapat capaian kepada infrastruktur asas dan perkhidmatan kesihatan selain bantuan untuk membina semula kediaman mereka, kata Penasihat kepada Presiden Filipina, Teresita Deles. Kerajaan mahu mengurangkan jurang berikutan apa yang berlaku di meja rundingan dan apa yang dialami penduduk yang terjejas teruk dengan konflik bersenjata yang berlangsung sekian lama, kata Deles. Manila berhasrat memulakan semula rundingan damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) seawal-awalnya Oktober depan.

Kumpulan dengan keahlian 12,000 orang itu sudah melancarkan pemberontakan sejak 1978 untuk mendapatkan tanah air sendiri di wilayah selatan negara yang dikuasai penduduk Katolik itu.

Pemberontakan itu sudah menyaksikan hampir 150,000 orang terkorban sejak 1978.
Pertempuran terbaru pada Ogos 2008 menyaksikan hampir 400 orang terkorban dan lebih 750,000 penduduk terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka dan duduk di pusat perlindungan sementara.
Deles berkata kerajaan akan melaksanakan skim jaminan kerja kepada sekurang-kurangnya seorang dalam satu keluarga yang terjejas oleh konflik berkenaan, manakala latihan kemahiran juga akan ditawarkan.

Ketika rundingan dijalankan, kerajaan akan meneruskan usaha untuk memberi bantuan kepada penduduk di kawasan terjejas, kata Deles.

Program ini yang akan memuncak pada Januari tahun depan akan mempunyai tempoh tiga tahun, katanya. AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal