Bismillahirrahmanirrahim

Saturday, August 20, 2011

Tak sehaluan

MANILA: Bekas pemerintah tentera Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang didakwa bertanggungjawab terhadap beberapa serangan ganas sepanjang beberapa tahun lalu keluar daripada kumpulan itu kerana menentang rundingan damai dengan kerajaan.

Ameril Umbrakato membawa bersama-samanya 300 penyokong meninggalkan MILF dan membentuk kumpulan sendiri, kata Naib Presiden MILF, Ghazali Jaafar.


“Dia (Ameril) mahu kami menghentikan rundingan dengan alasan, perdamaian dengan kerajaan tidak akan membawa kami ke mana-mana,” katanya.

MILF dengan kekuatan 12,000 pejuang melancarkan gerakan ketenteraan sejak lebih 30 tahun, mulanya untuk mendapatkan sebuah negara merdeka di selatan negara yang majoriti penduduknya beragama Katolik.


Ia kini lebih tertumpu kepada usaha mendapatkan autonomi.


Sengketa itu meragut lebih 150,000 nyawa dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi di selatan Filipina yang kaya dengan sumber asli.

Pemimpin kanan MILF dan kerajaan Presiden Benigno Aquino mengadakan rundingan damai sejak awal tahun ini dan pusingan terbaru dijadual berlangsung di Kuala Lumpur minggu depan.


Ameril yang berusia awal 70-an, membentuk kumpulan baru tahun lalu selepas menyerah jawatan sebagai pemerintah satu unit penting MILF atas alasan kesihatan.

“Dia berulang kali menolak rayuan supaya kembali kepada kami. Dia mahukan kemerdekaan, sesuatu yang bertentangan dengan pendirian MILF,” kata Ghazali.


Kumpulan serpihan yang diketuai Ameril bertempur dengan tentera MILF awal bulan ini menyebabkan 16 orang terbunuh serta memaksa 3,000 orang awam meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari perlindungan.


Ameril juga bertanggungjawab mengetuai serangan di Mindanao oleh kumpulan serpihan MILF pada 2008 selepas Mahkamah Agung Filipina mengharamkan deraf perjanjian damai yang memberi MILF hak penguasaan terhadap kawasan yang luas di selatan Filipina.


Kira-kira 400 orang terbunuh dalam pertelingkahan itu. - AP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal