Bismillahirrahmanirrahim

Sunday, February 12, 2012


KONFLIK di selatan Thailand dilihat seperti tiada penghujungnya. Kerajaan Thailand dilihat tidak bersungguh-sungguh untuk menangani pemasalahan yang timbul di wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam itu.

Mungkin ramai yang masih ingat peristiwa pada 28 April 2004 di masjid Kampung Krisek, Pattani, apabila kira-kira 106 remaja Islam menjadi korban bedilan peluru pasukan keselamatan Thailand. Mereka dituduh melakukan serangan ke atas pos-pos keselamatan Thai menggunakan senjata tajam.

Begitu juga dengan tragedi enam bulan kemudian di Tak Bai pada 24 Oktober 2004, apabila 85 orang penduduk Islam terbunuh akibat sesak nafas kerana ditindih beramai-ramai di dalam trak askar. Apa yang menyedihkan kejadian itu berlaku semasa bulan Ramadan.

Konflik di wilayah itu boleh menjadi 'duri dalam daging' dalam ASEAN dan boleh mengundang campur tangan asing serta mengimport ejen-ejen keganasan dan elemen militan ke wilayah itu, jika ia tidak dibendung.

Sehingga saat artikel ini ditulis belum nampak kesungguhan kerajaan Thailand terutama di bawah pimpinan baru, Perdana Menteri wanita pertama Thailand Yingluck Shinawatra (gambar) untuk menyelesaikan konflik itu secara aman, ikhlas dan berkekalan.

Selagi konflik itu tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh, selagi itulah akan berlaku keganasan, letupan, serangan, pertempuran dan tembakan curi di wilayah itu dan ramai yang akan menjadi korban.

Apa yang menyedihkan setiap kali berlaku kejadian keganasan dan pembunuhan, maka ramailah wanita yang akan menjadi janda dan ramailah anak-anak yang menjadi yatim kerana kehilangan ibu atau bapa atau kedua-dua ibu bapa dalam insiden-insiden pembunuhan dan serangan.

Amat malang sekali kebanyakan pembunuhan dan insiden serangan di wilayah itu kelihatan dilakukan secara sistematik dan sasaran serangan dan pembunuhan pula ialah guru-guru agama, ulama atau mereka yang ada kaitan dengan urusan pengembangan Islam di wilayah itu.

Setiap kali serangan dilakukan oleh tentera Thailand, mereka akan mendakwa mangsa yang terbunuh dipercayai suspek militan atau pejuang pemisah yang memberontak untuk memerdekakan wilayah itu dan jika berlaku serangan oleh kumpulan bersenjata pula, pihak berkuasa akan mendakwa ia dilakukan oleh golongan pejuang pemisah.

Semua dakwaan itu, setakat ini sekadar dakwaan dan pihak tentera sering gagal membuktikan penglibatan mangsa dengan kejadian pemberontakan atau gerakan pemisah.

Kebangkitan rakyat selatan Thailand melakukan keganasan, kebanyakannya bukan kerana pemberontakan tetapi lebih kepada perasaan tidak puas hati, dendam dan marah dengan pihak berkuasa atas kematian anak, ibu, bapa atau saudara mara mereka yang dibunuh oleh pasukan keselamatan Thailand yang didakwa menjadi suspek militan atau pejuang pemisah.

Insiden terbaru ialah pada 3o Januari lalu apabila pasukan separa tentera Thailand menembak mati empat lelaki Islam termasuk seorang warga emas dan seorang remaja di Pattani kerana menyangka mereka dise rang.

Kesemua mangsa yang terbunuh itu dalam perjalanan pulang menaiki sebuah trak pikap setelah menghadiri pengebumian seorang ahli keluarga mereka.

Walaupun, pihak tentera sehari kemudian memohon maaf ata kejadian itu kerana tersalah anggap, tetapi hakikatnya, penduduk kampung menyimpan perasaan marah atas tindakan pihak tentera yang tidak usul periksa.

Ini ditambah dengan perasaan tidak puas hati yang selama ini dipendam ekoran tindakan kerajaan Thailand yang didakwa cuba menukar agama penduduk di selatan Thailand kepada agama Buddha.

Proses ini dijalankan secara halus melalui pendidikan dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.

Usaha serupa juga dilakukan untuk menghapuskan budaya Melayu di kalangan penduduk selatan Thailand yang majoriti bercakap menggunakan bahasa Melayu, misalnya menghendaki penduduk selatan Thailand yang ingin bekerja dengan jabatan kerajaan perlu menukar nama kepada nama Siam dan bercakap serta menulis dalam bahasa Siam.

Kerajaan Thailand juga tidak membenarkan Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah.

Mata pelajaran Sejarah Pattani dan Islam Pattani juga tidak dibenarkan diajar di sekolah kerajaan termasuk di sekolah swasta. Ini supaya generasi muda Pattani tidak tahu tentang sejarah sebenar mereka.

Selain itu, berlaku amalan diskriminasi oleh kerajaan Thailand yang memberi layanan berbeza terhadap penduduk Islam selatan Thaiand dengan penduduk Siam yang tinggal di wilayah tersebut.

Kerajaan Thailand juga gagal membawa pembangunan di wilayah itu bagi meningkatkan taraf hidup penduduknya.

Perdana Menteri Thailand, Yingluck perlu iklhas untuk membangunkan wilayah itu dan menangani konflik di wilayah itu terutama menghapuskan dasar-dasar yang menindas.

Penindasan yang berterusan, dikriminasi yang melampau dan tindakan keganasan secara sistematik hanya akan mendorong penduduknya untuk bangkit memberontak.

Thailand juga harus menjaga sensitiviti jiran-jirannya yang majoriti merupakan negara Islam seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei yang merupakan negara jiran yang akrab.

Sebarang tindakan menindas penduduk Islam di wilayah selatan Thailand dan mencemarkan agama Islam di wilayah itu pasti akan menguris perasaan penduduk Malaysia, Indonesia dan Brunei yang beragama Islam.

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal