Bismillahirrahmanirrahim

Friday, April 23, 2010

BANDAR RAYA ZAMBOANGA - Pasukan perunding Fi:lipina dan Barisan Pembebsana Islam Moro (MILF) menandatangani perjanjian baru menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.

Namun, perjanjian utama yang akan menamatkan perang yang berlarutan berpuluh-puluh tahun lama di Mindanao, selatan Filipina masih tidak pasti.

MILF mendakwa memeterai perjanjian itu di Kuala Lumpur selepas dua hari mengharungi rundingan sukar.

Ketua perunding MILF, Mohagher Iqbal berkata, perjanjian itu akan menyediakan sokongan pentadbiran kepada Institut Kepimpinan dan Pengurusan Bangsamoro (BLMI) dan jawatankuasa gencatan senjata.

Perjanjian tersebut turut menyediakan mekanisme untuk mengembalikan semula individu dalaman yang digantikan.

Kedua-dua pihak juga mencapai persetujuan berhubung komponen perlindungan awam dalam Pasukan Pemantau Antarabangsa dan kempen kerajaan untuk mengharamkan periuk api.

Bagaimanapun, MILF meramalkan masa depan mengenai perjanjian sementara itu masih belum selesai walaupun panel perunding mencapai persetujuan berhubung beberapa isu yang akan dibincangkan dalam rundingan akan datang.

Thursday, April 22, 2010

3 ditembak mati di selatan Thai

YALA: Tiga penduduk Islam mati ditembak sekumpulan lelaki disyaki pejuang pemisah di selatan Thai, semalam.

Kejadian berlaku sehari selepas dua serangan bom di wilayah yang bergolak itu meragut nyawa seorang anggota polis dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain. Dalam kejadian semalam dua remaja berusia 20 dan 21 tahun ditembak mati di Narathiwat sementara seorang pembantu ketua kampung berumur 56 tahun terbunuh selepas diserang di rumahnya di Pattani. - AP

Saturday, March 27, 2010

MANILA - Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) tidak berminat dengan perjanjian damai sementara dan mendakwa kerajaan Filipina tidak berusaha menyelesaikan proses damai secepat mungkin.

"Saya tidak melihat kemajuan yang jelas dalam rangka perjanjian damai sementara," kata anggota panel damai MILF, Lanang Ali.

"Kerajaan hanya mahu berlengah dan tidak mahu menyelesaikan isu ini dengan segera," katanya.

Manila dijangka memberikan rangka cadangan balas mengenai cadangan perjanjian damai sementara yang dikemukakan MILF.

Lanang berkata, beliau tidak menjangka sesuatu yang baru dalam cadangan balas oleh Manila.

Menurutnya, MILF mahu meneruskan rundingan yang menawarkan penyelesaian politik.

Sunday, March 21, 2010

Joseph Estrada nafi anti-Islam


MANILA 21 Mac - Bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada hari ini tidak mengendahkan fatwa yang dikeluarkan tokoh Islam, yang melabelkan beliau sebagai musuh Islam dan memberi amaran kepada kumpulan pejuang pemisah mengenai 'perang habis-habisan' sekiranya beliau memenangi pilihan raya negara ini.

Estrada yakin fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi Ulama Bangsamoro yang dianggotai sarjana dan ulama Islam di selatan Filipina, tidak akan mendapat sokongan daripada lima juta penduduk Islam di wilayah tersebut.

Beliau juga memberi amaran kepada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang mempunyai 12,000 anggota dan memperjuangkan kuasa autonomi sejak 1978, agar meletakkan senjata atau berhadapan dengan risiko ditumpaskan pihak tentera di bawah arahannya, sekiranya beliau kembali menjadi Presiden dalam pilihan raya Mei ini.

"Saya adalah rakan Islam dan menghormati Islam. Bagaimanapun saya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pertubuhan yang melanggar undang-undang, tanpa mengira agama," kata Estrada ketika ditemui di Manila selepas mengadakan kempen hujung minggu di Mindanao.

Sementara itu, seorang pengurus kempen beliau, Gerardo Limlingan, 68, cedera di tangan dan kaki hari ini apabila ditembak apabila lelaki bersenjata yang menaiki motosikal melepaskan tembakan ke arahnya.

Polis menyatakan serangan itu bermotifkan politik.

Tidak lama selepas menang besar dan menjadi Presiden pada 1998, bekas bintang filem aksi ini melancarkan serangan tentera besar-besaran ke atas MILF dan mengusir kumpulan pemisah ini dari pangkalan utama mereka di Mindanao.

MILF mendakwa Estrada meraikan kejayaan itu dengan memanggang babi dan menyediakan minuman keras kepada penyokongnya yang berkhemah berdekatan sebuah masjid yang musnah.

Kumpulan pemisah itu hari ini, bagaimanapun menjarakkan diri daripada majlis ulama yang mengeluarkan fatwa berkenaan dan menyatakan bahawa ia bukan dikeluarkan oleh kepimpinan MILF. Namun ia mengakui Estrada adalah 'antara Presiden yang paling tidak menyukai Islam.' - AFP

Bekas Presiden Filipina sedia perangi MILF

MANILA: Bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada, semalam tidak mengendahkan ‘fatwa’ dikeluarkan ulama Mindanao yang menggelarnya musuh Islam malah memberi amaran kepada puak pemisah di selatan negara itu beliau akan melancarkan ‘perang habis-habisan’ jika menang pilihan raya.

Estrada juga yakin fatwa yang dikeluarkan Majlis Tertinggi Ulama Bangsamoro minggu lalu, tidak disokong lima juta penduduk Islam di rantau itu. Pada masa sama, beliau memberi amaran kepada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang mempunyai 12,000 anggota supaya meletak senjata atau berisiko diserang tentera di bawah arahannya jika memenangi undian Mei ini.

“Saya adalah sahabat orang Islam dan saya menghormati agama Islam,” kata Estrada sejurus selepas tiba dari berkempen hujung minggu di Mindanao.

“Bagaimanapun, saya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana organisasi tanpa mengira agama jika mereka melanggar undang-undang,” katanya. Lebih 150,000 orang terbunuh di selatan Filipina akibat pertempuran antara askar kerajaan dan pemisah Islam.

Beliau berkata, MILF melancarkan pemberontakan berdarah sejak 1978, perlu meletak senjata jika mahu berunding secara aman dengan mana-mana kerajaan Estrada akan datang.
“Saya mahu mereka lakukan gencatan senjata. Jika tidak, saya akan memerangi mereka habis-habisan. Kami sudah penat mencari jalan damai, cukuplah setakat ini,” katanya.

Sejurus selepas memenangi jawatan presiden dengan kemenangan besar pada 1998, bekas pelakon filem aksi itu melancarkan serangan ketenteraan ke atas MILF dan mengusir pemberontak dari pangkalan mereka di pulau Mindanao.

Dalam salah satu sambutan kejayaan tentera itu, MILF mendakwa Estrada sengaja mencetuskan kemarahan penduduk Islam dengan mengedar khinzir panggang dan bir untuk anggotanya yang berkhemah berhampiran sebuah masjid.

MILF mengelak daripada terus mengulas fakwa majlis ulama tetapi memberitahu pemimpin pergerakan itu tiada masalah dengannya dan bersetuju Estrada adalah bekas presiden yang paling membenci Islam. – AFP

Saturday, March 20, 2010

Pemisah Moro sokong fatwa terhadap bekas presiden

MANILA: Majlis Tertinggi Ulama Bangsamoro mengeluarkan fatwa menggelar bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada sebagai musuh Islam dan ia mendapat sokongan pergerakan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Fatwa itu yang dibaca dalam satu perhimpunan di bandar Marawi pada 9 Mac lalu turut menggesa pengundi Filipina menolak cubaan Estrada menjadi presiden apabila kembali bertanding dalam pilihan raya Mei depan, kata Lacs Dalidig yang mengetuai Pergerakan mengenai Pembaharuan Undian dan Pentadbiran Baik.

“Selepas mengkaji tindakan dan dasar Estrada sebelum dan selepas pilihan raya sebagai Presiden sehingga saat ini, kami dapati beliau sebenarnya musuh Islam,” MILF memetik Majlis Tertinggi Ulama Bangsamoro sebagai berkata. Bekas bintang filem Estrada, yang secara umum membantah rundingan damai, berada di kedudukan ketiga pilihan dalam undian pendapat, sembilan tahun selepas disingkir dalam rampasan tentera tanpa pertumpahan darah diikuti pendakwaan atas tuduhan rasuah.

“Ulama yang berpengalaman dalam selok belok Islam, berhak untuk mengeluarkan satu fatwa bagi menentang sesiapa saja jika menerusi tindakan mereka terbukti mencela Islam, negara Moro dan hak kami,” kata MILF dalam laman webnya.

Fatwa itu menyatakan, kempen tentera ketika pemerintahan Estrada menyebabkan kemusnahan meluas, mencemarkan rumah ibadat dan mengakibatkan jutaan penduduk Islam Filipina kehilangan tempat tinggal.

“Beliau sudah membuat pengumuman bahawa sebaik saja dipilih sebagai presiden, keutamaannya ialah untuk memerangi MILF, yang kini mengadakan rundingan damai dengan kerajaan,” kata fatwa itu.
Beberapa tinjauan terbaru bagi pengundian meletakkan Estrada di tempat ketiga selepas Senator Benigno ‘Noy-noy’ Aquino III dari Parti Liberal dan Senator Manuel Villar dari Parti Nacionalista.

Fatwa itu turut menyenaraikan Senator Manuel Roxas II, rakan Benigno dan pemimpin Parti Liberal, Franklin Drilon. Roxas mendahului persaingan jawatan Naib Presiden.

Fatwa itu menyatakan, Roxas dan Drilon menentang perjanjian damai awal dengan pemisah dan kerajaan Gloria Arroyo pada 2008. Perjanjian itu diisytiharkan sebagai bercanggah dengan Perlembagaan oleh Mahkamah Agung.

Jurucakap Estrada, Margaux Salcedo, ketika mengulas kenyataan itu berkata, bekas presiden itu adalah sahabat Islam dan bukan musuh Muslim.

Katanya, operasi tentera terhadap pemisah bertujuan membawa keamanan di Mindanao supaya orang Kristian dan Islam dapat hidup aman damai. – AFP/AP

Ulama dakwa Estrada musuh Islam

MANILA 20 Mac - Ulama meminta rakyat Filipina beragama Islam tidak menyokong bekas Presiden, Joseph Estrada dalam usaha beliau untuk kembali berkuasa pada pilihan raya Mei ini.

Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dalam laman webnya hari ini menegaskan, Majlis Tertinggi Ulama Bangsamoro telah mengkaji tindakan dan polisi Estrada sebelum dan selepas beliau terpilih sebelum ini dan mengeluarkan fatwa bahawa beliau 'benar-benar musuh Islam'.

Estrada dipilih menjadi Presiden pada 1998. Fatwa menegaskan polisi 'perang habis-habisan' ke atas pemisah pada tahun 2000 mencetuskan kemusnahan dan kehilangan tempat tinggal kepada sejuta penduduk Islam di selatan negara ini.

Jurucakap Estrada, Margaux Salcedo dalam maklum balas terhadap fatwa tersebut, mempertahankan beliau sebagai 'rakan Islam dan bukan musuh penganutnya'.

Jelasnya, tindakan ketenteraan ke atas pemisah bertujuan mencapai keamanan supaya 'penduduk Kristian dan orang Islam dapat hidup bersama dengan aman'.

Fatwa tersebut dibacakan dalam satu perarakan di Marawi pada 9 Mac lalu, bandar majoriti penduduk Islam, demikian menurut ketua Pergerakan Islam dalam Pembaharuan Pengundian dan Urus Tadbir Baik, Lacs Dalidig.

Ia turut menamakan gandingan kepada seorang lagi calon Presiden, Benigno 'Noynoy' Aquino III, Senator Manuel Roxas IIn dan pemimpin Parti Nacionalista, Franklin Drilon sebagai musuh Islam kerana menentang perjanjian damai antara MILF dengan kerajaan Presiden Gloria Arroyo pada 2008.

Kepimpinan MILF sedang menjalani rundingan damai dengan kerajaan Arroyo namun perjanjian baru mungkin tidak akan ditandatangani sehingga beliau berundur pada Jun depan. - AP

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal