Bismillahirrahmanirrahim

Saturday, March 20, 2010

Ulama Mindanao gelar Estrada musuh Islam

Pemisah Moro sokong fatwa terhadap bekas presiden

MANILA: Majlis Tertinggi Ulama Bangsamoro mengeluarkan fatwa menggelar bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada sebagai musuh Islam dan ia mendapat sokongan pergerakan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Fatwa itu yang dibaca dalam satu perhimpunan di bandar Marawi pada 9 Mac lalu turut menggesa pengundi Filipina menolak cubaan Estrada menjadi presiden apabila kembali bertanding dalam pilihan raya Mei depan, kata Lacs Dalidig yang mengetuai Pergerakan mengenai Pembaharuan Undian dan Pentadbiran Baik.

“Selepas mengkaji tindakan dan dasar Estrada sebelum dan selepas pilihan raya sebagai Presiden sehingga saat ini, kami dapati beliau sebenarnya musuh Islam,” MILF memetik Majlis Tertinggi Ulama Bangsamoro sebagai berkata. Bekas bintang filem Estrada, yang secara umum membantah rundingan damai, berada di kedudukan ketiga pilihan dalam undian pendapat, sembilan tahun selepas disingkir dalam rampasan tentera tanpa pertumpahan darah diikuti pendakwaan atas tuduhan rasuah.

“Ulama yang berpengalaman dalam selok belok Islam, berhak untuk mengeluarkan satu fatwa bagi menentang sesiapa saja jika menerusi tindakan mereka terbukti mencela Islam, negara Moro dan hak kami,” kata MILF dalam laman webnya.

Fatwa itu menyatakan, kempen tentera ketika pemerintahan Estrada menyebabkan kemusnahan meluas, mencemarkan rumah ibadat dan mengakibatkan jutaan penduduk Islam Filipina kehilangan tempat tinggal.

“Beliau sudah membuat pengumuman bahawa sebaik saja dipilih sebagai presiden, keutamaannya ialah untuk memerangi MILF, yang kini mengadakan rundingan damai dengan kerajaan,” kata fatwa itu.
Beberapa tinjauan terbaru bagi pengundian meletakkan Estrada di tempat ketiga selepas Senator Benigno ‘Noy-noy’ Aquino III dari Parti Liberal dan Senator Manuel Villar dari Parti Nacionalista.

Fatwa itu turut menyenaraikan Senator Manuel Roxas II, rakan Benigno dan pemimpin Parti Liberal, Franklin Drilon. Roxas mendahului persaingan jawatan Naib Presiden.

Fatwa itu menyatakan, Roxas dan Drilon menentang perjanjian damai awal dengan pemisah dan kerajaan Gloria Arroyo pada 2008. Perjanjian itu diisytiharkan sebagai bercanggah dengan Perlembagaan oleh Mahkamah Agung.

Jurucakap Estrada, Margaux Salcedo, ketika mengulas kenyataan itu berkata, bekas presiden itu adalah sahabat Islam dan bukan musuh Muslim.

Katanya, operasi tentera terhadap pemisah bertujuan membawa keamanan di Mindanao supaya orang Kristian dan Islam dapat hidup aman damai. – AFP/AP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal