Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, February 17, 2010

Puak pemisah Thai sedia berunding


PASUKAN keselamatan Thailand memeriksa mayat dua anggota tentera yang terbunuh dalam pertempuran dengan puak pemberontak di selatan Thailand, kelmarin. - AFP


KUALA LUMPUR 17 Feb. - Dua kumpulan pemisah di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN-C) dan Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO) bersedia berbincang dengan Kerajaan Thailand bagi menamatkan konflik di wilayah berkenaan.

Jurucakap kumpulan tersebut berkata, dalam pertemuan antara pemimpin kedua-dua kumpulan baru-baru ini mereka mencapai kesepakatan untuk bekerjasama dalam meneruskan perjuangan sama ada melalui pendekatan militan atau politik.

''Keputusan berkenaan dibuat dalam perjumpaan khusus antara pemimpin BRN-C dan PULO yang turut dihadiri Naib Presiden PULO yang juga Ketua Bahagian Hal Ehwal Luar Negara PULO, Kasturi Mahkota,'' kata jurucakap itu dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia.

Persetujuan dua kumpulan ini dilihat mampu memberikan harapan kepada usaha bagi mewujudkan keamanan di selatan Thailand.

Dalam kenyataan itu juga, jurucakap tersebut berkata, kedua-dua kumpulan juga bersedia menerima siapa sahaja yang dilantik sebagai orang tengah bagi berunding dengan kerajaan Thailand, asalkan ia tidak lari daripada prinsip dan matlamat perjuangan mereka.

''Bagaimanapun berdasarkan kedudukan Malaysia yang unik dari segi sejarah antara penduduk dan hubungan baik antara kedua-dua kerajaan, maka harapan menuju perdamaian mungkin lebih mudah jika Malaysia menjadi orang tengah,'' katanya.

Jurucakap itu berkata, atas faktor-faktor keselamatan, BRN-C dan PULO meminta perbincangan dengan pihak kerajaan Thailand tidak diadakan di negara itu.

''BRN-C dan PULO berpendapat, kerajaan Thailand khususnya pihak tentera tidak boleh lagi berdolak-dalik di dalam usaha mencari penyelesaian konflik di selatan Thailand dan dunia tidak boleh menyalahkan puak pemisah sekiranya berlaku pergolakan yang berterusan,'' katanya.

BRN-C dan PULO juga melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang prihatin membantu menyelesaikan masalah di wilayah itu.

''Selain itu, kami tidak ada masalah dengan kumpulan pejuang lain kerana dasar serta matlamat adalah sama. Perjuangan akan diteruskan bagi mencari penyelesaian sehingga masalah mampu diatasi secara menyeluruh. Tindakan yang akan diambil bergantung kepada tindak balas kerajaan Thailand," kata jurucakap itu lagi. - Utusan

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal