Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, June 15, 2010

4 lagi warga Yala ditembak mati

YALA: Kumpulan disyaki militan menembak mati empat lagi penduduk di selatan Thailand semalam, kata polis yang menambah, serangan memberi amaran keganasan akan meningkat semula di wilayah itu.

Kejadian letupan bom dan tembakan di tiga wilayah di selatan negara itu yang turut menyebabkan 11 orang cedera, turut membabitkan letupan bom di luar sebuah sekolah yang menyebabkan seorang anggota tentera terbunuh.

Seramai 12 orang dibunuh sepanjang bulan ini dipercayai dilakukan militan pemisah selepas keadaan tenang pada Mei lalu, apabila 20 orang terbunuh.

Pakar berkata, militan cuba meningkatkan kehadiran mereka selepas dibayangi tunjuk perasaan antikerajaan selama dua bulan di Bangkok yang berakhir 19 Mei lalu.

“Pemisah cuba menunjukkan mereka masih aktif dan mampu melakukan serangan,” kata penganalisis Human Rights Watch, Sunai Phasuk.

Beliau berkata kempen radikal menggunakan alasan pelanggaran hak asasi untuk ‘menghalalkan’ serangan mereka masih berterusan.

“Pemisah dilihat meningkatkan kempen sebagai reaksi balas kepada kematian Sulaiman Naesa, 25, ketika di dalam tahanan. Sulaiman ditemui mati tergantung di kem tentera Ingkhayuth, 30 Mei lalu.
Human Rights Watch yang berkata mayat Sulaiman dipenuhi kesan penyeksaan, mahu kerajaan memberi penjelasan mengenai insiden itu, kematian dalam tahanan pertama diketahui sejak 2007.

“Kami bimbang kerajaan cuba merahsiakan perkara ini dan ia akan digunakan pemisah sebagai alasan untuk menyerang balas,” kata Sunai.

Lebih 4,000 orang Islam dan Buddha terbunuh dalam gerakan antikerajaan di selatan diketuai pemisah yang tidak mendedahkan matlamat mereka secara terbuka. – AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal