Bismillahirrahmanirrahim
Thursday, June 3, 2010
JAKARTA 3 Jun – Pemimpin yang bertanggungjawab mengisytiharkan perjuangan Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Hasan Tiro meninggal dunia pada pukul 12.25 tengah hari waktu tempatan hari ini.
Hasan atau nama penuhnya Tengku Hasan Muhammad di Tiro meninggal dunia pada usia 85 tahun ketika dirawat di Hospital Dr. Zainoel Abidin di Aceh kerana mengalami jangkitan paru-paru sejak seminggu lalu.
Hasan Tiro dikebumikan di Mureu, Aceh Besar, berdekatan dengan makam Tgk Chik Di Tiro, pahlawan Indonesia yang juga nenek moyang kepada Hasan Tiro.
Hasan Tiro dilahirkan pada 25 September 1925 di Tiro, Pidie, 110 kilometer dari Banda Aceh ke arah timur dan pada awal 1948 beliau menjadi kakitangan Naib Perdana Menteri II, Syafruddin Prawiranegara.
Pada tahun 1970-an, beliau berhijrah ke New York, Amerika Syarikat dan menjadi ahli perniagaan di sana.
Pada 4 Disember 1976, Hasan Tiro mengisytiharkan GAM dan membentuk Angkatan Gerakan Aceh Merdeka (AGAM). Markas gerakan itu dibangunkan di hutan Pidie.
Selepas itu pada tahun 1979 Hasan Tiro kembali ke luar negara untuk mendapatkan sokongan politik. Dia mendapat kewarganegaraan Sweden.
Setelah itu antara tahun 1986 hingga 1989, Hasan Tiro memerintahkan sekitar 800 pemuda Aceh untuk menjalani latihan ketenteraan di Libya. Sebaik pulang dari Libya, mereka melancarkan perang secara gerila di Aceh melawan tentera Indonesia.
Para pemimpin tertinggi GAM di Stafanger, Norway pada 21 Juli 2002 telah menyusun semula GAM dan Hasan Tiro dilantik sebagai pemimpin tertinggi dan AGAM ditukar kepada Tentera Negara Aceh (TNA).
Pada 15 Ogos 2005 kerajaan Indonesia dan GAM menandatangani perjanjian perdamaian di Helsinki, Finland dan anggota GAM diberi pengampunan.
Pada 19 Disember 2005, sebanyak 840 pucuk senjata api milik GAM diserahkan kepada Misi Pengawasan Aceh (AMM), yang dianggotai lima negara ASEAN dan beberapa negara Kesatuan Eropah.
Ekoran itu pada 27 Disember 2005 TNA secara rasmi dibubarkan dan diganti dengan Jawatankuasa Peralihan Aceh (KPA) bagi membantu bekas anggota TNA menyesuaikan diri dengan masyarakat awam.
Setelah pulang ke Aceh pada Oktober 2008 Hasan Tiro akhirnya diterima kembali sebagai warga negara Indonesia. – Utusan
Label: Aceh
0 ulasan:
Post a Comment