Bismillahirrahmanirrahim

Friday, May 6, 2011

Rundingan: MILF ancam tarik diri

MANILA 5 Mei - Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) hari ini mengancam untuk menarik diri daripada rundingan damai, sekiranya kerajaan Filipina tidak segera mengemukakan cadangannya berhubung penyelesaian politik.

Anggota kanan panel MILF, Michael Mastura berkata, pertemuan rundingan terbaru di Malaysia minggu lepas dibayangi perasaan tidak percaya dan beliau menuduh jururunding kerajaan tidak mengambil berat permintaan mereka.

Beliau berkata, pihaknya menunggu cadangan penyelesaian daripada kerajaan sejak minggu lepas, namun diminta menunggu sehingga 27 Jun ini.

''Jika mereka tidak berbuat demikian (menyerahkan cadangan itu pada 27 Jun), kami tidak akan kembali ke meja rundingan.

''Ini bukan satu amaran tetapi kami menyatakan ia sebagai satu fakta dan kami akan melakukannya,'' katanya dalam satu forum akademik di sini.

Ketua jururunding MILF, Mohagher Iqbar berkata, ia kelihatan seperti usaha sabotaj dalam kerajaan yang tidak mahu perjanjian damai dicapai menjelang Jun ini, rangka waktu yang ditetapkan oleh Presiden Benigno Aquino pada tahun lepas.

Beliau tidak memaklumkan identiti mereka yang terlibat, namun menyatakan ia merupakan pegawi-pegawai yang memiliki tanah di Mindanao wilayah yang mendorong MILF melancarkan gerakan pemisahan sejak 1978.

Jururunding kerajaan, Marvic Loenen pula berkata, kerajaan akan menyerahkan cadangannya pada 27 Jun ini.

MILF pada awalnya berjuang bagi mewujudkan sebuah negara Islam di Mindano, namun dalam cadangan penyelesaian kepada kerajaan pada Februari lalu menyatakan ia tidak lagi ingin meneruskan hasrat itu sebaliknya ingin menubuhkan sebuah negeri dalam wilayah Mindanao yang diletak di bawah pentadbiran wilayah itu.

Cadangan MILF tersebut akan meliputi 700 perkampungan dan bandar. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal