Bismillahirrahmanirrahim

Thursday, January 7, 2010


ABHISIT bertanya khabar penduduk pada majlis pembukaan lebuh raya baru, semalam.

YALA: Seorang pegawai keselamatan terbunuh dan seorang lagi cedera, dalam tiga kejadian letupan bom berasingan di selatan Thailand tetapi tidak menghalang Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, meneruskan lawatan ke dua wilayah paling bergolak itu, semalam.

Panglima tentera wilayah selatan, Leftenen Jeneral Pichet Wisaijorn, berkata sebutir bom tepi jalan meletup di Yala, menyebabkan seorang anggota renjer yang sedang membuat rondaan terbunuh.

Beliau berkata, di wilayah sama, sebutir bom yang lebih kecil sebelum itu meletup hanya kira-kira 200 meter dari lokasi upacara pembukaan lebuh raya baru yang dijadual dilakukan oleh Abhisit, menyebabkan seorang pegawai polis cedera.

Sebutir lagi bom meletup di wilayah Pattani, tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kami berjaya mengawal keadaan. Serangan secara kecil-kecilan biasa berlaku ketika lawatan orang kenamaan bagi mendapatkan perhatian dan publisiti," katanya.

Lebih 1,000 pegawai keselamatan dikerah mengawal keadaan ketika lawatan itu.

Abhisit, bagaimanapun, meneruskan upacara merasmikan pembukaan lebuh raya yang menghubungkan Pattani dan Yala. Jalan dua lorong yang sedia ada sebelum ini sering menjadi sasaran kumpulan pemisah yang sering memasang bom tepi jalan, manakala kenderaan juga kerap diserang hendap.

Abhisit dijadual meneruskan lawatannya ke sebuah projek perumahan dan pembangunan tanah, sebuah pangkalan untuk renjer paramilitari dan sebuah perkampungan nelayan.

Keganasan di tiga wilayah di selatan Thailand, Pattani, Yala dan Narathiwat sehingga kini sudah mengorbankan lebih 3,000 penduduk Buddha dan Islam sejak pergolakan bermula pada 2004. - Reuters

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal