Bismillahirrahmanirrahim
Thursday, January 14, 2010
YALA: Tiga orang maut dan 17 lagi cedera kena tembak dan letupan bom dalam pergolakan terbaru di wilayah majoriti penduduk Islam di selatan Thailand, kata polis di sini, semalam.
Di Pattani, beberapa penyerang tidak dikenali menembak mati dan membakar mayat pasangan beragama Buddha yang dalam perjalanan ke tempat kerja dengan motosikal.
Penyerang membawa mangsa ke tengah jalan raya, mencurah minyah tanah dan membakar lelaki berusia 51 tahun itu dan isterinya yang berusia 42 tahun.
Dalam satu lagi serangan di wilayah sama, satu keluarga beragama Buddha seramai tiga orang termasuk budak perempuan 12 tahun cedera ditembak penyerang bermotosikal.
Kelmarin, sekumpulan juruelektrik kerajaan diserbu ketika mereka sedang memasang wayar elektrik di sepanjang jalan juga di Pattani. Seorang terbunuh manakala empat lagi cedera.
Sebutir bom kemudian diletupkan di luar sebuah kedai minuman di wilayah sama, mencederakan empat orang awam manakala di wilayah berdekatan, sebutir lagi bom meletup di luar sebuah pasar yang mencederakan tiga anggota tentera dan tiga orang awam.
Lebih 3,900 orang terdiri daripada penduduk Buddha dan Islam, terbunuh dalam tempoh enam tahun kekacauan di rantau kaya tanaman getah itu.
Pattani, Yala dan Narathiwat adalah sebahagian wilayah kesultanan bebas dikenali sebagai Pattani sebelum diambil alih Thailand yang majoriti penduduknya beragama Buddha, pada 1909.
Kira-kira 80 peratus daripada penduduk rantau itu beragama Islam yang bercakap dialek Melayu sebagai bahasa pertama dan sekian lama mengadu mengalami diskriminasi, terutama dari segi pendidikan dan peluang pekerjaan.
Penyerang, dipercayai pemisah sering menyasarkan penduduk Buddha dan Islam dikaitkan dengan kerajaan Thailand seperti pegawai polis, tentera, pegawai kerajaan dan guru.
Satu usaha menentang pemberontakan besar-besaran tidak banyak membantu menamatkan keganasan membabitkan pelan rangsangan bernilai AS$1.9 bilion (RM6.34 bilion) untuk mengurangkan jurang ekonomi dan meminimumkan pengaruh pemberontakan. - Reuters
Label: Pattani
0 ulasan:
Post a Comment