Bismillahirrahmanirrahim
Saturday, January 23, 2010
Bangunan bata merah penuh peristiwa: Masjid yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah sehingga kini masih tidak siap
MENYEBUT saja Pattani, sebuah daerah terletak di selatan Thailand, perkara pertama berlegar di kepala ialah keadaan huru-hara yang menjadi punca beberapa siri gerakan menuntut kemerdekaan wilayah dari kawasan berkenaan.
Konflik demi konflik serta peristiwa berdarah dilaporkan media tempatan tidak dinafikan sedikit sebanyak menjunamkan semangat untuk meneroka bumi berselirat sungai dan pantai, mewah khazanah alam serta unggul adat resam dan budaya itu.
Begitupun, dalam resah dan gentar, pesona Pattani tetap memikat pelancong. Daerah yang dihuni hampir 85 peratus penduduk Islam itu menawarkan banyak sejarah silam untuk dihayati. Bahkan, sebelum dikenali sebagai wilayah yang ampuh pegangan Islamnya, rentetan sejarah Pattani amat panjang, termasuk pernah menjadi sebahagian jajahan takluk Langkasuka, diperintah kerajaan Melayu-Pattani, pengislaman Raja Phyatu Indhra oleh Syeikh Said pada kurun ke 15 yang membawa pengaruh Islam dalam budaya dan gaya hidup masyarakatnya.
Kunjungan ke Pattani belum sempurna andainya gagal menjejak kaki ke Masjid Krisek (Kruese). Ia terletak di Kampung Krisek, mukim Tanjung Luluk daerah Mueang.
Menurut cerita dari mulut ke mulut, masjid itu dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1530-1564) sehingga kini tidak pernah siap sepenuhnya gara-gara sumpahan seorang kakak yang enggan merestui adiknya menganut Islam.
Tarian tradisional Pattani menggamit perhatian pengunjung. |
Justeru, sejak peletakan batu asas hingga ke hari ini, seni bina masjid berkenaan kekal dengan bata merah tanpa cat, bertiang bulat dengan rekaan pintu berbentuk selekoh tajam. Seimbas pandang, masjid ini kelihatan seperti kota lama yang menghuni kawasan tanah tinggi.
Hanya pada zaman pemerintahan Raja Hijau (1584-1616), rumah ibadat itu disentuh pembaharuan, hasil garapan istimewa tukang dari Cina, Lim Tau Khiang. Sejak itu, ia diubahsuai beberapa kali termasuk ketika pemerintahan Long Yunus dan Tuan Sulung.
Namun, disebabkan keadaannya terlalu uzur dan usang, ditambah pula ekonomi Pattani lumpuh akibat peperangan, sultan mengambil keputusan membina masjid baru di Kampung Bana. Kesannya, Masjid Krisek ditinggal terbiar sehingga bersemak-samun.
Bagaimanapun, oleh kerana nilai sejarahnya, pada 1935, Jabatan Arkeologi dan Antikuiti Thailand mengisytiharkannya sebagai tapak sejarah sekali gus memungkinkan kerja pemuliharaan serta pemeliharaan bangunan dilakukan pada 1957, 1982 dan 2004. Selain sebagai tempat beribadat dan mengerat silaturahim, tujuan pengekalannya dibuat kerana ia dianggap khazanah penting negara.
Hasil makanan tempatan yang berbagai jenis dijual dengan harga murah. |
Antara kira-kira 600 masjid di Pattani, Masjid Jamek Pattani di Thanon Yarang kini menjadi pusat tumpuan orang Islam tempatan beribadah serta mendalami ilmu agama. Dibina pada 1954 dan selesai menjelang 1963, seni binanya mengambil inspirasi Arab dan monumen tersohor, Taj Mahal.
Imam masjid, Yakob Abdullah, berkata masjid yang menelan belanja RM400,000 (46 juta baht) itu boleh memuatkan sehingga tiga ribu jemaah pada satu-satu masa.
“Demi mendapatkan suasana seperti Taj Mahal, India, sebuah kolam dilengkapi tugu berbentuk kubah dibina di tengah halaman. Masjid ini sangat terkenal di kalangan penduduk tempatan dan penganjuran majlis penting, misalnya tilawah al-Quran bagi Wilayah Selatan kerap dianjurkan di sini. Ia juga dinobatkan antara masjid terindah di seluruh Thailand,” katanya.
Bagi yang ingin mendekatkan diri dengan alam, Pattani mungkin jawapannya kerana ia menawarkan berbilang sungai, pantai, air terjun, kawasan bukit dan pergunungan, ladang garam dan hutan payau bakau. Pusat pendidikan hutan paya bakau Yaring antara lokasi sasaran kerana sarat daya tarikan terutama misteri serta keindahan pemandangan hutan simpannya.
Projek membabitkan kawasan seluas 198.4 ekar berkenaan menghidangkan aneka kemudahan termasuk binaan jambatan daripada kayu Hopea Odorato sepanjang 1,250 meter, khusus memberi peluang pengunjungnya menghayati keindahan alam semula jadi ditawarkan tempat itu.
Sepanjang perjalanan, pengunjung disajikan dengan pelbagai spesies pokok dan tumbuhan berusia beribu tahun dengan segenap lorong dan ceruk menyediakan teres istirahat dilengkapi gambar dan maklumat berguna mengenai hutan berkenaan.
Sementara berdayung sepanjang terusan, pengunjung berpengalaman bertemu beragam spesies hidupan air, burung, serangga dan penduduk tempatan yang menyara hidup melalui hasil hutan bakau.
Dalam keasyikan menjejaki tamadun Islam, jangan sia-siakan peluang meneroka budaya lain. Makam Lim Kor Niew di Jalan Anak Ru, daerah Muang misalnya, amat berbaloi dilawati. Makam berkenaan menempatkan imej serta figura dewi Lim Kor Niew yang dibentuk menerusi ukiran pada batang pokok gajus, sekali gus simbolik misteri kematian dewi itu yang ditemui maut tergantung di pokok berkenaan.
Bertujuan menghormati dewi malang itu, setiap tahun ketika bulan mengambang penuh dan bulan ketiga kalendar lunar Cina, diadakan majlis keramaian besar-besaran dengan seluruh pelosok bandar bermandi cahaya, selain dibanjiri pengunjung dalam serta luar negara. Sambutan perayaan berkenaan dikatakan paling meriah dan menggamit tumpuan di wilayah Selatan negara terkenal dengan simbol gajah itu.
Meskipun, Pattani bukan tergolong lokasi pelancongan popular kerana ketidakstabilan politiknya, namun tinggalan sejarah, keunikan adat serta budaya, keramahan penduduk serta hasilan kraf menakjubkan mungkin mampu mengubah nasib Pattani menjadi destinasi persinggahan terkenal suatu hari nanti. Semoga tuah dan nasib menyebelahi Pattani.
Label: Pattani
0 ulasan:
Post a Comment