Bismillahirrahmanirrahim

Monday, January 30, 2012

4 balik majlis pengebumian maut

PENDUDUK Pattani mengebumikan mangsa tembakan renjer Thailand. - Foto AFP
PENDUDUK Pattani mengebumikan mangsa tembakan renjer Thailand. - Foto AFP
 
PATTANI: Renjer tentera Thailand menembak mati empat orang termasuk seorang warga tua dan seorang remaja di selatan negara itu kerana menyangka diserang oleh mangsa yang berada dalam trak pikap, semalam.

Mangsa terbabit yang beragama Islam baru balik dari upacara pengebumian, kata pemandu kenderaan itu kepada polis di Pattani, antara wilayah selatan yang bergolak. 

“Renjer tentera melihat trak pikap dan mengarahkannya berhenti, Mereka dengar bunyi tembakan dan menyangka ditembak, jadi mereka melepaskan tembakan ke arah trak, membunuh empat orang dan mencederakan lima yang lain,” menurut laporan mengenai kejadian petang kelmarin itu. 
 
Laporan agensi berita Reuters pula menyatakan bahawa renjer terbabit ditembak dua lelaki bersenjata ketika mereka mendekati trak dan penyerang kemudian lari.

Warga emas berusia 70 tahun dan remaja lelaki berusia 18 tahun antara yang terbunuh manakala lima lelaki dan kanak-kanak turut cedera termasuk tiga remaja berusia 14,15 dan 19 tahun serta seorang lagi warga emas berusia 76 tahun.

Dua senapang ditemui dalam trak itu, walaupun laporan tidak mendedahkan sama ada tembakan dilepaskan menggunakan senjata itu.

Polis berkata, pemandu memberitahu pegawai bahawa senjata berkenaan bukan milik mereka dalam trak itu.

“Kami akan siasat kejadian itu dengan teliti dan menyoal siasat anggota renjer serta mangsa yang terselamat untuk memastikan keadilan untuk kedua-dua pihak,” kata ketua polis daerah Nongjik, Kolonel Polis, Chonnawee Chamareuk.

Tiga wilayah paling selatan Thailand, Pattani, Yala dan Narathiwat, dilanda keganasan sejak 2004. Ia memaksa kerajaan menempatkan ramai tentera yang dibantu pasukan renjer bersenjata di situ.

Menurut perangkaan terbaru daripada agensi Deep South Watch, yang memantau rapi konflik di selatan itu, hampir 5,000 penduduk Islam dan Buddha terbunuh dan 8,300 cedera sejak ketegangan bermula. – AFP/Reuter

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal