Bismillahirrahmanirrahim

Friday, January 6, 2012


ANGGOTA polis Thailand bersedia mengangkat mayat rakan mereka yang dibunuh oleh pemberontak yang menyerang kem polis di Narathiwat, semalam. - AFP


NARATHIWAT 6 Jan. - Lebih 30 penyerang disyaki anggota pemberontak menyerang sebuah kem polis pagi ini di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, dan menembak mati dua anggota polis.

Pemberontak menyerbu masuk ke sebuah bilik asrama polis kira-kira pukul 2.45 pagi waktu tempatan, melepaskan tembakan ke arah mangsa, sebelum mencuri senjata berat serta peluru dan melarikan diri.

Mangsa maut di tempat kejadian, sementara tiga yang lain cedera parah terkena tembakan.

"Mereka merancang serangan ini dengan teratur sebagai membalas serbuan kami yang memusnahkan dua gudang senjata pemberontak bulan lalu," kata ketua polis tempatan, Kolonel Satanpah Wamasingha.

Dalam kejadian berasingan pagi ini, sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati seorang lelaki, sementara isterinya seorang guru cedera ketika mereka menaiki trak pikap di pekan Sungai Golok.

Di wilayah Pattani pula, dua lelaki maut manakala seorang yang lain cedera dalam dua kejadian tembakan pada waktu tengah hari.

Lewat malam tadi di Yala, seorang penduduk kampung ditembak mati ketika dalam perjalanan ke rumah dari kebun getah.

Pemberontakan pemisah di tiga wilayah di selatan Thailand tercetus pada 2004 dan wilayah-wilayah itu menyaksikan kejadian pengeboman dan tembakan hampir setiap hari sejak itu.

Masyarakat Islam merupakan penduduk majoriti wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat yang bersempadan dengan Malaysia. Thailand merupakan negara yang didominasi penganut Buddha.

Selasa lalu, dua tentera maut dalam satu letupan di Pattani, dalam satu kejadian dipercayai didalangi pemberontak yang menanam bom di tengah-tengah jalan. - REUTERS/AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal