Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, December 8, 2009

Filipina, MILF sambung rundingan

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Kerajaan Filipina dan kumpulan pemisah selatan negara itu hari ini menyambung semula rundingan damai yang terbantut 16 bulan lalu, sekali gus memulihkan usaha rasmi untuk menamatkan pemberontakan di wilayah itu, yang telah meragut sekurang-kurangnya 120,000 nyawa.

Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) telah berjuang untuk mewujudkan pemerintahan Islam di Mindanao, yang majoriti penduduknya beragama Islam. Ia adalah kumpulan pemisah terbesar daripada empat kumpulan yang telah melancarkan pemberontakan di selatan Filipina.

Perunding daripada kedua-dua belah pihak memulakan rundingan selama dua hari yang diusahakan Malaysia hari ini di sebuah hotel di ibu negara ini.

Wakil kerajaan Filipina menyuarakan keyakinan untuk mencapai 'penyelesaian aman yang adil, bertahan lama, dapat diterima dan bermanfaat kepada penduduk Filipina beragama Islam di Mindanao dan seluruh rakyat Filipina secara keseluruhannya'.

"Saya teruja dan optimistik kerana kami akhirnya, tiba ke hari ini apabila rundingan damai disambung semula secara rasmi," kata Rafael Seguis dalam majlis tertutup yang turut dihadiri diplomat Britain dan Jepun, demikian menurut teks ucapan pembukaan yang dihantar kepada media di ibu negara Filipina, Manila.

Pejuang pemisah Moro menduduki wilayah paling selatan, termasuk Maguindanao yang kini menyaksikan puak Ampatuan yang bersekutu dengan kerajaan Filipina disyaki melakukan pembunuhan politik ke atas 57 orang pada 23 November lalu.

Andal Ampatuan Jr. menyalahkan pejuang Moro atas pembunuhan itu, namun jurucakap MILF, Eid Kabalu dan Setiausaha Kehakiman, Agnes Devanadera menafikan perkara itu.

Rundingan antara kerajaan dengan MILF gagal pada Ogos tahun lalu apabila Mahkamah Agung Filipina mengisytiharkan perjanjian damai yang memberi autonomi lebih luas di Mindanao sebagai menyalahi Perlembagaan.

Kekacauan yang dicetuskan oleh tiga komander MILF yang kecewa dengan perkara tersebut sehingga menyebabkan berlaku pertempuran selama berbulan-bulan yang meragut beratus-ratus nyawa dan seramai 750,000 penduduk meninggalkan kediaman - mula reda Julai lalu. - AP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal