Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, December 8, 2009

Thai perlu ubah pendekatan

BANGKOK 8 Dis. - Kerajaan Thailand perlu mengubah pendekatan dan mengadakan dialog dengan kumpulan pemisah bagi mencari penyelesaian politik, sekali gus menamatkan konflik berdarah di tiga wilayah di selatan negara ini, yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Hampir enam tahun berlalu sejak tercetus kembali pemberontakan di Yala, Pattani dan Narathiwat, namun tidak banyak kemajuan yang ditunjukkan oleh kerajaan untuk menangani konflik itu dan adalah penting untuk menukar pendekatan," demikian menurut Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG).

Badan pemantau, Deep South Watch berkata, lebih 3,700 orang terbunuh dalam keganasan di wilayah-wilayah bergolak di selatan negara ini.

"Banyak idea penyelesaian politik yang boleh diambil oleh Thailand dengan syarat ia membuka ruang kepada perbincangan.

"Sekiranya kerajaan serius untuk menangani pemberontakan, ia perlu mengubah haluannya. Ini adalah arah baru yang turut menggunakan cara dialog dengan wakil pemisah," kata pengarah projek ICG Asia Tenggara, Jim Della-Giacoma.

Laporan itu menyatakan bahawa cubaan menyelesaikan masalah yang timbul dengan pelan rangsangan ekonomi adalah gagal dan bajet kerajaan sebanyak 54 bilion baht (RM5.54 bilion) untuk projek pembangunan selama tiga tahun mungkin tidak berhasil, mewujudkan ruang untuk berlaku rasuah dan memburukkan lagi keadaan di sana.

Penganalisis berpendapat, konflik di selatan Thailand lebih berupa masalah etnik nasionalis dan walaupun terdapat khabar angin mengenai campur tangan luar, tidak wujud bukti ia adalah perjuangan ekstremis.

ICG yang merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, berusaha mencegah atau menyelesaikan konflik dunia dan setakat ini telah mengumpulkan laporan menyeluruh tentang masalah di selatan Thailand.

Laporan itu menyatakan bahawa pihak tentera menghalang kerja-kerja pentadbiran awam dan menentang tindakan menarik-balik perintah darurat dan undang-undang tentera di sana.

Umat Islam di selatan Thai tidak bersetuju dengan kehadiran ramai anggota tentera dan terdapat spekulasi menyatakan polis, askar dan sukarelawan keselamatan beragama Buddha telah melakukan pembunuhan yang merumitkan lagi masalah perkauman dan mewujudkan suasana penuh ketakutan dan rasa tidak percaya. - REUTERS

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal