Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, December 9, 2009

Selatan Thailand digegar 9 letupan bom

BANGKOK 9 Dis. - Dua orang terbunuh dan 17 cedera akibat sembilan letupan bom dan beberapa serangan dengan senjata api di tiga wilayah di selatan Thailand semasa kunjungan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva ke wilayah yang bergolak itu hari ini.

Seorang jurucakap tentera Thailand berkata, enam daripada letupan bom itu berlaku di Yala dan meragut nyawa seorang anggota pasukan pemusnah bom.

Pegawai berkenaan terbunuh apabila sebutir bom meletup ketika sekumpulan anggota polis dan tentera menyiasat kes letupan sebelumnya, yang mencederakan dua anggota tentera.

Beberapa letupan bom berlaku di daerah Khopo di Pattani dan di Narathiwat serta mencederakan dua anggota tentera ketika mereka cuba mengalihkan sepanduk dalam tulisan jawi dan bahasa Melayu yang menyebut bahawa Pattani adalah sebahagian daripada Malaysia.

Seorang lelaki yang sedang memandu kereta pula ditembak mati oleh dua lelaki di Pattani.

Keganasan itu, termasuk serangan terhadap anggota tentera yang mengawal keselamatan guru dalam perjalanan pergi dan balik dari sekolah, berlaku ketika Abhisit mengiringi Najib melakukan kunjungan separuh hari ke Narathiwat.

Mereka menghadiri satu majlis bagi menamakan semula jambatan yang menghubungkan Bukit Bunga di Jeli dan Ban Buketa di Narathiwat sebagai Jambatan Persahabatan.

Selepas majlis itu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor melawat Institut Islam Attarkiah di pusat bandar Narathiwat, sebelum menamatkan kunjungan dengan melawat Ban Rotunbatu, sebuah perkampungan yang dibuka oleh kerajaan Thailand bagi balu anggota tentera yang terkorban dalam sengketa selama lima tahun di wilayah berkenaan. - BERNAMA

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal