Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, April 29, 2009

BANGKOK 28 April - Sepuluh orang ditembak mati di selatan Thai berikutan suspek pemberontak merusuh dengan melancarkan lebih berpuluh-puluh serangan bagi menandakan ulang tahun kelima insiden Krue Se.

Insiden tembakan itu berlaku di kampung Sukae daerah Yaha, wilayah Yala apabila lelaki yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke sebuah rumah kira-kira 8.30 malam Isnin.

Seorang jurucakap polis berkata, Ismail Latif, 62, dan dua orang anaknya Yusuf, 36, dan Waining, 33, mati di tempat kejadian sementara seorang lelaki yang dikenali sebagai Tiah meninggal dunia di hospital. Seorang wanita yang dipercayai ibu kepada Tiah cedera parah.

Ketika insiden itu berlaku, mangsa sedang berehat di rumah dan penembak menggunakan senjata automatik termasuk M16, katanya ketika dihubungi.

Kemudian kira-kira 15 minit, dua lelaki berumur 48 dan 30 ditembak mati di luar sebuah masjid di kampung yang sama.

Pada satu serangan lain pada Isnin, pemberontak membakar sekolah, alat penukar voltan litar dan menara petunjuk telefon bergerak di tiga wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat.

Pada 28 April 2004, lebih 100 militan melakukan serangan terhadap berpuluh-puluh pos polis di seluruh wilayah Pattani, Yala dan Songkhla.

Menurut kenyataan rasmi, 107 pemberontak dan lima anggota keselamatan terbunuh dalam pertempuran berdarah sejak kumpulan pemisah memulakan gerakan menuntut kemerdekaan pada Januari 2004.

Kontroversi berlaku setelah askar-askar merusuh ke masjid Krue Se berusia 300 tahun di Pattani dan menembak mati 32 orang yang bersembunyi di dalamnya.

Ramai penduduk tempatan dan banyak pertubuhan hak asasi manusia menyatakan peningkatan keganasan di wilayah selatan itu akibat insiden tersebut serta tragedi Tak Bai pada 25 Okt, 2004 apabila 78 Muslim diletakkan bertindih-tindih di belakang sebuah trak tentera setelah ditangkap, mati apabila konvoi tentera tiba di kem tentera di Pattani.

Lebih 3,500 terkorban sejak lima tahun lepas berikutan pasukan keselamatan Thai berjuang untuk mematahkan konflik tentera tersebut walaupun penghantaran kira-kira 60,000 anggota keselamatan ke wilayah sempadan selatan itu.

Wilayah yang bertutur bahasa Melayu itu, yang pada suatu ketika diperintah oleh kesultanan Pattani sebelum dirampas oleh penganut Buddha Thailand, telah bersengketa dengan kerajaan Thai lebih sedekad lamanya. - BERNAMA



JEMAAH meninggalkan Masjid Kerisik selepas selesai solat Zohor di Pattani semalam.


PATTANI - Anggota-anggota pejuang Islam membunuh 10 penduduk awam dalam beberapa serangan ganas di selatan Thai, kata tentera semalam.

Pihak tentera memberitahu bahawa semua insiden berlaku menjelang hari ulang tahun kelima serangan berdarah pasukan keselamatan Thai ke atas sekumpulan pejuang Islam yang berlindung di Masjid Kerisik di sini pada 28 April 2004.

Jurucakap tentera, Kolonel Parinya Chaidilok berkata, serangan paling ganas melibatkan serbuan enam lelaki bersenjata ke atas sebuah rumah keluarga Islam di wilayah Yala yang mengorbankan empat orang lewat kelmarin.

Kata Parinya, dua penoreh getah beragama Islam kemudian ditemui mati di halaman sebuah masjid berdekatan.

Dalam serangan terbaru, seorang pegawai kerajaan beragama Buddha dan seorang lelaki Islam ditembak mati di sini.

Di wilayah berhampiran Yala, seorang penoreh getah beragama Buddha dan seorang sukarelawan Islam turut menjadi mangsa serangan gerila. - AP

Sunday, April 5, 2009

NARATHIWAT: Pasukan keselamatan Thailand dilaporkan menembak mati sekurang-kurangnya dua lelaki disyaki pemisah di daerah Rue So, Narathiwat, sebuah wilayah selatan Thailand, semalam.

Polis berkata, sekurang-kurangnya 100 tentera dan polis mengepung sebuah rumah di Narathiwat, sebuah dari tiga wilayah dengan majoriti penduduk Islam yang berhadapan dengan pemberontakan sejak lima tahun lalu, selepas menerima maklumat bahawa ada militan bersembunyi di dalamnya.

Selepas sekurang-kurangnya 15 minit berbalas tembakan antara pihak berkuasa dan tujuh militan, polis menahan seorang manakala dua yang lain terbunuh, dan empat lagi melarikan diri.

Dalam kejadian lain, dua lelaki dilaporkan mati dalam kejadian di wilayah berhampiran, Pattani.

Seorang lelaki 60 tahun dan anak saudaranya berusia 18 tahun terbunuh dalam kejadian tembakan bermotosikal. Lebih 3,600 orang terbunuh manakala beribu-ribu yang lain cedera dalam keganasan sejak lima tahun lalu di wilayah sempadan Thailand. � AFP

Wednesday, April 1, 2009

COTABATO 1 April – Seramai 12 pejuang pemisah dan seorang askar terbunuh dalam pertempuran di selatan Filipina apabila tentera kerajaan menggagalkan serangan kumpulan pejuang ke atas sebuah bandar.

Renjer Peninjau Tentera yang disokong helikopter tempur semalam, menyerbu unit Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di pinggir bandar Alamada, kata jurucakap tentera setempat, Leftenan Kolonel Jonathan Ponce.

Jelasnya kepada pemberita, pasukan keselamatan telah menemui mayat 12 anggota MILF dan seorang askar selepas pertempuran selama dua jam. Dua lagi askar turut cedera.

MILF yang dianggotai 12,000 anggota telah berjuang selama berpuluh tahun untuk menubuhkan negara Islam di selatan Filipina di mana pendatang beragama Kristian kini melebihi jumlah penduduk asal.

Alamada yang terletak di Mindanao, kerap menyaksikan ketegangan antara penduduk Islam-Kristian berhubung tanah perladangan.

Presiden Gloria Macapagal Arroyo pada tahun lalu, menangguhkan rundingan damai selepas Mahkamah Agung menghalang draf perjanjian damai yang memberikan lebih kuasa politik dan ekonomi kepada MILF di kawasan tersebut.

Ini telah mencetuskan serangan ke atas komuniti Kristian yang menyebabkan puluhan orang maut dan 600,000 penduduk melarikan diri dari kediaman masing-masing.

“Sebenarnya kami yang menjadi sasaran serangan oleh pihak tentera, jadi anggota kami cuma melakukan serang balas,” kata jurucakap MILF, Eid Kabalu kepada pemberita berhubung insiden terbaru itu. – AFP

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal