Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, July 28, 2010

YALA: Lima lelaki Islam ditembak mati dalam siri keganasan terbaru di antara pejuang pemisah dengan pihak berkuasa di selatan Thailand, kata polis semalam.

Lebih 4,000 orang - sama ada beragama Islam atau Buddha - terbunuh sejak kekacauan mula tercetus di rantau itu enam tahun lalu.


Di Yala, seorang sukarelawan kampung berusia 26 tahun ditembak ketika menaiki motosikal untuk pulang ke rumahnya petang kelmarin.


Jurucakap polis, Issara Jantarapayom, berkata serangan itu didalangi militan tempatan yang mensasarkan penduduk Islam bekerja dengan kerajaan.


Dalam kejadian lain di wilayah sama, seorang suspek pemberontak ditembak mati selepas bertempur dengan pasukan keselamatan, juga petang kelmarin.


Di Narathiwat pula, seorang penduduk kampung berusia 50 tahun ditembak mati di rumahnya.


Dua serangan lain berlaku di Pattani, membabitkan dua lelaki Islam.


Semua kejadian itu dilakukan penyerang yang menaiki motosikal. Tiga kawasan konflik utama - Pattani, Yala dan Narathiwat - pernah ditadbir kesultanan Melayu Islam kira-kira seabad lalu sebelum dijajah kerajaan Buddha Thailand. - Reuters

Tuesday, July 27, 2010

This summary is not available. Please click here to view the post.

Friday, July 23, 2010

MAYAT lelaki Islam yang ditembak  ketika menaiki basikal di kampungnya di Pattani, dituntut oleh keluarganya sambil diperhatikan tentera yang berkawal  di kawasan itu, kelmarin.
MAYAT lelaki Islam yang ditembak ketika menaiki basikal di kampungnya di Pattani, dituntut oleh keluarganya sambil diperhatikan tentera yang berkawal di kawasan itu, kelmarin.


KERAJAAN Thailand berjaya mengurangkan keganasan di wilayah selatan menerusi pendekatan mesra rakyat tetapi pemimpin masyarakat dan agama Islam di sini meminta pemerintah tidak terlalu yakin bahawa masalah semakin selesai.

Pemimpin Islam tempatan berpendapat, selagi ada pihak menganggap masih wujud ketidakadilan terhadap penduduk selatan Thai, keganasan akan berlarutan.
Sedikit sebanyak pendekatan mesra rakyat menerusi program bantuan dipanggil ‘sufficient economy’ iaitu mewujudkan perkampungan tani membolehkan penduduk Islam meraih pendapatan lebih tinggi.

Di perkampungan itu, penduduk diajar menjadi penternak, menanam sayur selain menjadi tempat rawatan ketagihan dadah manakala pihak tentera menawarkan rawatan pergigian percuma dengan mewujudkan klinik tidak jauh dari situ.

Perkampungan itu yang diwujudkan di tiga wilayah bergolak iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala membolehkan penduduk lebih mempercayai pemerintah di Bangkok yang berjanji membantu membangunkan wilayah berkenaan.

“Penduduk dapat mengenali, memahami dan mempercayai askar yang berada di situ bagi melaksanakan program bantuan kerajaan,” kata Ketua Turus Tentera Unit Komunikasi Divisyen Pertama Pengawal Diraja Thailand, Songwit Noonpakdee.
Kira-kira 30,000 askar melakukan tugas meronda, memantau dan menjaga keamanan selain terbabit dalam program tajaan kerajaan itu. Hasilnya, kes keganasan yang berlaku berkurangan sejak enam tahun lalu.

Pada 2004, 1,700 kes keganasan dicatat dan meningkat kepada 2,100 pada 2005 dan 2006 sebelum menurun kepada 800 kes pada tahun lalu dan 500 kes tahun ini, hingga bulan Jun.

Songwit percaya, peruntukan yang diberikan kerajaan kepada wilayah selatan sebanyak 63 bilion baht (RM6.3 juta) bagi membangunkan ekonomi penduduk akan menjadi faktor mengurangkan keganasan.

Kepercayaan itu dikongsi bersama Imam Masjid Jumiah, Hussain Azam Tarip yang berkata peruntukan kerajaan itu yang juga dalam bidang pendidikan akan menghasilkan lebih ramai graduan Muslim.

Pada masa sama, beliau mengingatkan kerajaan bahawa penduduk Islam belum melupakan tragedi Tak Bai apabila 60 warga tempatan maut ketika dalam tahanan askar.

Selain itu, pengabaian pemerintah terhadap masyarakat Muslim selama beberapa dekad juga bermain di fikiran.

Ditanya sama ada penduduk masih menyimpan dendam atau curiga dengan kerajaan, beliau berkata: “Keluarga mangsa mungkin ada yang mahu menuntut bela. Wajib menuntut bela jika ada kezaliman.

“Kebanyakan orang jika anda tanya, tidak ramai yang mempercayai kerajaan. Mereka takut juga, lain di mulut lain di hati.”

Pada masa sama, beliau percaya, penduduk Islam di selatan tidak mahu keluar daripada pemerintahan Thailand kerana mereka sudah selesa di sini.

“Jika Kementerian Dalam Negeri tanya sama ada penduduk Islam mahu berpisah dengan Thailand, 80 peratus akan kata tidak mahu,” katanya.

Tuesday, July 20, 2010

BANGKOK: Kerajaan Thailand semalam mengumumkan membatalkan perintah darurat di tiga wilayah utara negara itu tetapi tidak di Bangkok.

Undang-undang yang melarang perjumpaan umum dan membenarkan pihak berkuasa menahan mana-mana suspek selama sebulan tanpa sebarang alasan itu akan dikekalkan di 16 wilayah lain di Thailand. Awal bulan ini, Thailand melanjutkan tempoh undang-undang darurat di wilayah tertentu selama tiga bulan menimbulkan kebimbangan kumpulan hak asasi manusia dan negara sekutunya, Amerika Syarikat. Jurucakap kerajaan, Supachai Jaismut berkata, Kabinet memutuskan untuk membatalkan perintah darurat di wilayah Lampang, Roi Et dan Sakon Nakhon.


“Tiada gerakan politik di tiga wilayah terbabit dan kerajaan yakin pihak berkuasa di wilayah berkenaan dapat mengendalikan keamanan jika tercetus kejadian tidak diingini,” katanya.


Kerajaan melaporkan keadaan di 16 lagi wilayah masih membimbangkan. - AFP

Abhisit tumpu selatan Thailand

Laporan Azman Abdul Hamid di Narathiwat, Thailand
bhnews@bharian.com.my
2010/07/21

TENTERA Thailand berlindung daripada serangan bom  di Narathiwat   yang mencederakan sembilan orang termasuk empat orang awam, tiga tentera  dan dua anggota  keselamatan, kelmarin.
TENTERA Thailand berlindung daripada serangan bom di Narathiwat yang mencederakan sembilan orang termasuk empat orang awam, tiga tentera dan dua anggota keselamatan, kelmarin.
PM anggapnya kunci penyelesaian konflik

BANGKOK: Belum ada individu atau kumpulan yang berani mendakwa bertanggungjawab atas keganasan di selatan Thailand, kata Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva.

Beliau percaya, perkara itu menjadi tidak penting kerana dasar pentadbirannya memberi tumpuan kepada masalah penduduk adalah kunci penyelesaian.

Selain itu, usaha meluluskan satu rang undang-undang pusat pentadbiran wilayah selatan bulan depan diharap dapat memperkukuhkan usaha pemulihan di selatan.

“Meskipun keganasan sudah lama berlaku, tiada individu atau kumpulan yang mendakwa bertanggungjawab atau membuat tuntutan tertentu,” katanya kepada 14 wakil media negara Asia termasuk Malaysia, di sini.

Abhisit mengakui gembira dengan hasil pelan ekonomi menyeluruh dan dasar berunding serta undang-undang memerlukan anggota keselamatan memikul tanggungjawab setiap kali melakukan operasi.

Katanya, kemajuan besar dicapai dalam menangani keganasan di selatan negara itu selepas kerajaan melaksanakan pelan ekonomi bagi meningkatkan pendapatan penduduk.
“Kami juga menemui penduduk kampung bagi membincangkan projek ekonomi tertentu dengan mereka. Ini menghasilkan kemajuan besar,” katanya lagi.

Pada Oktober 2009, Thailand melancarkan pelan ekonomi bagi lima wilayah selatan bernilai 68.7 bilion baht (RM220 juta) bagi menyokong usaha dalam sektor pelancongan, perikanan, pengeluaran getah, minyak sawit dan industri makanan halal.

Selain itu, katanya, dasar mengadakan rundingan oleh kerajaan pusat membenarkan penduduk selatan rasa lebih selamat.

Sementara itu, Duta di Kementerian Luar yang ditugaskan mengendali aspek keselamatan Thai, Isorn P mendedahkan antara petunjuk keamanan di selatan Thai ialah bilangan penghijrahan warga tempatan ke bandar.

Katanya, kadar penghijrahan penduduk dari selatan termasuk Pattani, Yala, Narathiwat, Satun dan sebahagian Songkhla ke luar kawasan mereka didapati berkurangan.

Suara selatan Thai diambil kira

BANGKOK 20 Julai – Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva berkata, kerajaannya akan mengambil kira “suara” rakyat di wilayah selatan yang bermasalah, dalam undang-undang baru yang akan diluluskan oleh Parlimen tidak lama lagi.

Beliau mengakui bahawa pendekatan seumpama itu adalah penting untuk memastikan isu yang telah lama berlarutan di tiga wilayah di selatan itu - Narathiwat, Yala dan Pattani - akan diselesaikan.

“Dengan undang-undang baru yang akan diluluskan, kerajaan akan mendapatkan input terus daripada penduduk tempatan di wilayah selatan,” katanya.

Abhisit berkata demikian ketika bercakap kepada 14 wartawan dari negara-negara Asia yang menghadiri program media di sini (dari 18 hingga 24 Julai) di pejabatnya, semalam.

Lebih 3,500 orang terbunuh sejak kumpulan pemisah melancarkan semula gerakan bersejata pada Januari 2005 untuk menuntut kemerdekaan di tiga wilayah yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam tersebut iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat.

Bangkok menghantar lebih 60,000 anggota pasukan keselamatan untuk memerangi kumpulan pemberontak yang sering melancarkan keganasan melalui letupan bom jalanan, melepaskan tembakan dan pelbagai taktik keganasan yang lain.

Abhisit berkata, kerajaan Thai telah mengadakan perbincangan dan dialog dengan masyarakat tempatan serta pemimpin agama di wilayah itu, mengenai apa yang mereka inginkan.

Beliau turut menegaskan bahawa sehingga kini, tiada individu atau kumpulan yang tampil mengaku bertanggungjawab apabila sesuatu kejadian keganasan berlaku di wilayah selatan.

“Walaupun keganasan berlaku, tiada individu atau kumpulan mengaku bertanggungjawab atau membuat tuntutan,” katanya.

Abhisit berkata, kerajaan Thai juga telah merangka program pembangunan yang menyeluruh termasuk dalam bidang ekonomi dan keselamatan untuk penduduk tempatan dalam usaha menyelesaikan konflik di wilayah selatan.

Dengan pelbagai program dirancang, beliau yakin kerajaan berada di landasan yang betul untuk menyelesaikan konflik yang telah lama berlanjutan di sana.

Menganggap isu di wilayah selatan sebagai penting dalam dasar kerajaan, kerajaan Thai menubuhkan jawatankuasa mengenai pembangunan Zon Khas Lima Sempadan Wilayah Selatan, yang dipengerusikan sendiri oleh Abhisit, untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan dalam memenuhi keperluan penduduk tempatan.

Pada Oktober 2009, kerajaan Thai melancarkan pelan pembangunan empat tahun (2009-2012), untuk lima wilayah di selatan dengan peruntukan sebanyak 68.7 bilion baht (RM220 juta) bagi membantu dan meningkatkan sektor pelancongan, perikanan, hasil getah, pengeluaran minyak sawit dan industri makanan halal. – BERNAMA

3 lagi maut di selatan Thailand

YALA: Suspek pemisah menembak mati tiga orang, termasuk seorang warga Malaysia, dalam keganasan terbaru di selatan Thailand, kata polis semalam.

Rakyat Malaysia berusia 57 tahun ditembak mati awal pagi semalam dalam premis karaoke miliknya di bandar sempadan Sungai Kolok di wilayah Narathiwat.

Pada hari sama di wilayah berjiran Pattani, seorang guru Buddha berusia 50 tahun ditembak mati di rumahnya oleh suspek militan, sementara lelaki Islam berusia 54 tahun dibunuh dalam serangan bermotosikal di hadapan sebuah masjid, kata polis.

Thailand minggu lalu melanjutkan pemerintahan tentera di tiga wilayah selatan bergolak sehingga Oktober ini ketika ia bertungkus-lumus menghalang kekacauan yang menyebabkan lebih 4,100 maut dalam tempoh enam tahun lalu.

Serangan oleh militan pemisah dan pelampau menyasarkan kedua-dua penduduk Buddha dan Islam, termasuk orang awam.

Gabenor wilayah ini, Krisada Boonrach berazam mengenakan tindakan keras ke atas militan selepas dua terbunuh akibat periuk api dalam satu taktik baru oleh suspek militan, yang sering menggunakan senapang atau bom tepi jalan. – AFP

Thursday, July 15, 2010

MANILA 15 Julai - Presiden baru Filipina, Benigno Aquino hari ini mengumumkan beliau akan meneruskan rundingan damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bagi menamatkan pemberontakan kumpulan itu selama beberapa dekad yang telah meragut berpuluh ribu nyawa.

Aquino melantik seorang tokoh akademik, Marvic Leonen untuk menyambung semula rundingan rasmi dengan MILF yang mempunyai 12,000 anggota.

Presiden itu juga menjelaskan bahawa perdamaian akan diadakan mengikut Perlembagaan yang menolak penubuhan sebuah negara merdeka.

Leonen, dekan sekolah undang-undang di Universiti Filipina akan mengetuai pasukan perunding kerajaan.

"Saya sudah mengarahkan panel itu supaya mengkaji semula semua perjanjian yang lepas dan mengesyorkan cara untuk memajukan proses damai dengan menyedari batasan-batasan yang bakal dihadapi oleh kedua-dua pihak," kata Aguino dalam kenyataan yang dibacakan oleh jurucakap Presiden, Teresita Deles.

Kata Deles, panel tersebut akan cuba memulakan perhubungan dengan pihak MILF tidak lama lagi.

"Hari ini kita memajukan proses untuk menghidupkan semula proses damai yang tergendala dan meneruskan usaha bagi mencapai perdamaian yang saksama untuk penduduk Mindanao," katanya.

Pengumuman kerajaan itu disambut dengan sikap berhati-hati oleh Timbalan Ketua MILF, Mohagher Iqbal.

"Pendirian kami jelas. Rundingan damai hendaklah bermula dari peringkat kita menghentikan rundingan," kata beliau kepada wartawan dari pangkalannya di selatan negara ini.

Iqbal yang mengetuai rundingan dengan kerajaan pimpinan Presiden Gloria Macapagal Arroyo sebelum ini merujuk kepada tawaran dalam perjanjian damai yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung untuk berkongsi hasil cukai daripada penggunaan sumber asli Mindanao dan meluaskan kawasan autonomi. - AFP

Monday, July 5, 2010

PATTANI: Sebutir bom dipasang di tepi jalan meletup, membunuh dua anggota separa tentera dan mencederakan dua yang lain.

Jurucakap polis semalam berkata, kejadian berlaku kelmarin ketika sekumpulan lapan anggota keselamatan meronda di jalan Yala.

Minggu lalu, dua letupan bom berasingan di selatan Thailand yang terus bergolak, menyebabkan lapan orang terbunuh. - AP

Thursday, July 1, 2010

NARATHIWAT, Thailand: Kumpulan pemisah disyaki meletupkan bom di tepi jalan dan melepaskan tembakan terhadap pasukan keselamatan di selatan Thailand semalam, menyebabkan lima anggota pasukan peronda itu terbunuh.

Lebih 4,000 orang terbunuh dalam pertempuran di antara kumpulan pemisah dan tentera kerajaan di wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat.

“Pasukan itu dalam operasi rondaan malam dalam pikap apabila mereka diserang hendap," kata Left Pairat Kiatjaroensiri sambil menambah penyerang terbabit melarikan empat senjata api.

Tiga daripada lima mangsa itu beragama Islam manakala dua lagi Buddha. - Reuters

MANILA 1 Julai - Pentadbiran Presiden baru Filipina, Benigno Aquino III akan menyambung semula rundingan damai dengan gerila komunis dan puak pemisah Islam bagi menamatkan pemberontakan oleh kedua-dua kumpulan itu tetapi akan mengkaji semula struktur proses damai.

Penasihat Perdamaian presiden, Teresita Quintos Deles hari ini berkata, pentadbiran Aquino akan juga menubuhkan sebuah dana dalam tempoh 100 hari akan datang untuk membantu penduduk yang melarikan diri berikutan pertempuran di Mindanao.

"Penyelesaian politik menerusi rundingan ialah satu-satunya cara untuk menamatkan konflik bersenjata dalam erti kata sebenar. Rundingan sudah tentu akan dijalankan," kata Deles.

Kerajaan Filipina memerangi dua pemberontakan, satu oleh gerila komunis dan satu lagi oleh puak pemisah Islam sejak akhir 1960-an lagi.

Ancaman keselamatan domestik itu menyebabkan program pembangunan tergendala di beberapa wilayah di negara ini, terutamanya di Mindanao yang kaya dengan sumber asli.

Rundingan damai dengan kumpulan komunis, Barisan Demokratik Kebangsaan (NDF) dan puak pemisah Islam terbesar, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) merupakan proses yang kerap tergendala dan perjanjian yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak masih sukar dicapai.

"Kita mahu memantapkan pasukan perunding dan melibatkan pihak berkepentingan yang lain, termasuk ahli Kongres dan pegawai tempatan, dan mengelakkan kesilapan silam," kata Deles kepada wartawan.

Seluruh dasar perdamaian akan dikaji semula, termasuklah peranan perantara asing, ujar beliau.

Malaysia menganjurkan rundingan antara Manila dengan MILF sejak 2001, dan turut mengetuai pasukan pemantau perdamaian antarabangsa di Mindanao. manakala Norway membantu mengatur rundingan dengan NDF. - Reuters

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal