Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, June 28, 2011



Abhisit Vejjajiva menerima bunga daripada penduduk semasa berkempen pilihan raya di wilayah Narathiwat pada 21 Jun lalu. - AFP

YALA 27 Jun - Pemberontakan di selatan Thailand menjadi fokus perbahasan politik menjelang pilihan raya umum pada 3 Julai ini, selepas beribu-ribu terbunuh di wilayah itu dalam keganasan yang berlaku hampir setiap hari sejak tujuh tahun lalu.

Konflik berlarutan di wilayah selatan Thai mendedahkan penduduknya yang majoriti beragama Islam kepada tembakan, letupan bom dan serangan lain yang didakwa dilakukan oleh puak pemisah yang tidak dikenali dan tidak diketahui matlamat sebenar mereka.

Pengkritik menuduh kerajaan gagal meredakan rasa tidak puas hati penduduk Islam, termasuk pelanggaran hak asasi manusia yang didakwa dilakukan oleh tentera dan tanggapan bahawa identiti etnik, bahasa dan agama mereka tidak dihormati.

Walaupun parti-parti utama yang bertanding dalam pilihan raya umum pada bulan depan turut berkempen di selatan Thai, tidak ramai penduduk di wilayah ini berasa optimis pengundian itu akan membawa masa depan lebih cerah kepada mereka.

"Semua parti itu lebih kurang sama, sesetengahnya lebih baik sedikit, setengahnya lebih teruk sedikit, tetapi kesemua mereka melayan kami dengan buruk," kata seorang lelaki Islam berusia 48 tahun yang datang untuk mendengar ucapan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva yang mengadakan kempen kepada pengundi.

Seorang lagi lelaki Islam, Peng, 50, berikrar dia akan mengundi 'Tidak', sebagai sokongan kepada kempen untuk membiarkan kertas undi kosong.

"Orang dalam kerajaan tidak pernah menunaikan janji mereka, kerana itu saya sudah bosan dengan politik," katanya.

Kerajaan bagaimanapun mendakwa keadaan semakin bertambah baik.

"Langkah yang jelas telah diambil ke arah mewujudkan keamanan dan kestabilan.

"Terdapat sikap saling mempercayai yang lebih ketara antara penduduk dengan pegawai tempatan," kata Abhisit semasa kunjungan singkat ke selatan Thai pada minggu lepas.

Beliau mengakui keganasan terus berlaku dari semasa ke semasa tetapi yakin kitaran keganasan yang berpunca daripada pihak kerajaan tidak akan berulang. - AFP

MILF-Filipina mulakan rundingan

KUALA LUMPUR 27 Jun - Rundingan antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bermula di sini hari ini dalam usaha untuk merangka perjanjian damai bagi menamatkan pemberontakan berpuluh-puluh tahun di selatan Filipina.

Seorang pegawai Malaysia mengesahkan rundingan dua hari itu sudah bermula di sebuah hotel di sini, tetapi dia tidak dapat memberikan butir lanjut.

MILF melancarkan perjuangan bersenjata untuk mendirikan sebuah negara Islam merdeka di wilayah Mindanao pada 1978 dan sejak itu lebih 150,000 orang terbunuh.

Gencatan senjata ditandatangani pada 2003 untuk membuka laluan bagi mengadakan rundingan damai tetapi proses damai tergendala.

Rundingan bagi menamatkan pemberontakan selama 33 tahun di selatan negara itu dihidupkan semula pada Februari lalu, dengan Malaysia bertindak sebagai pengantara.

MILF mengemukakan draf perjanjian dalam sesi pada April lalu dan kerajaan Filipina kini dijangka mengemukakan cadangan balas.

Perunding kerajaan enggan mendedahkan kandungan dokumen cadangan balas itu tetapi seorang anggota kanan panel perunding Manila berkata, usul kerajaan boleh membawa kedua-dua pihak lebih hampir kepada penyelesaian konflik.

"Kami berhasrat untuk merapatkan jurang antara apa yang berlaku di meja rundingan dengan pelaksanaan sebenar, dan kami akan mengemukakan cadangan balas kepada mereka," kata pegawai itu.

Katanya, panel perunding juga akan menyatakan penghargaan kepada MILF kerana membantu polis menyelamatkan seorang ahli perniagaan wanita Filipina yang diculik oleh sekumpulan penculik pada bulan lepas.

"Bantuan itu memberikan sedikit keyakinan, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan," kata pegawai tersebut. - AFP

Friday, June 17, 2011

PATTANI: Kumpulan pemisah Islam disyaki membunuh empat anggota tentera dalam satu serbuan di pasar yang sesak di wilayah selatan Pattani sebelum melarikan diri menaiki trak pikap bersama raifal M-16 yang dirampas daripada mangsa, kata polis, semalam.

Polis berkata, kumpulan lelaki bersenjata itu menjejaki anggota tentera berkenaan dan menembak mereka dengan pistol pada jarak dekat ketika mereka melakukan rondaan mengawal keselamatan di pasar itu. Seorang wanita Islam turut cedera di kaki terkena peluru sesat.

Etnik Melayu Islam mewakili majoriti populasi di Pattani dan Yala serta Narathiwat, tiga wilayah di selatan Thailand yang didominasi penduduk beragama Buddha. - Reuters

Saturday, June 4, 2011

BANGKOK: Panglima tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha semalam mendakwa gerakan pemisah di selatan negara itu diarah oleh pihak asing dari seberang laut.

Prayuth berkata demikian sebelum berlepas ke selatan untuk melihat sendiri usaha tentera mengawal keganasan yang melanda wilayah itu sejak awal 2004.


Prayuth turut memberitahu, masalah di selatan negara itu kini menjadi semakin rumit selepas beberapa kumpulan baru juga terbabit.

Beliau yang enggan menamakan kumpulan itu berkata, ia adalah rahsia.


Namun, menurutnya, pertubuhan asing berusaha menguasai pertubuhan politik atau kumpulan perniagaan haram dengan mempengaruhi mereka untuk memburukkan lagi kekacauan,.


“Kami berusaha mengawal keadaan seperti yang anda lihat dari segi penangkapan suspek,” katanya.

Menurut Prayuth, pihaknya hanya akan mengundurkan tentera dari wilayah Selatan, khususnya Narathiwat, Yala dan Pattani sekiranya keadaan semakin pulih.


Sementara itu, tentera Thai mengesahkan, tiga militan yang terbunuh dalam pertempuran di Narathiwaat kelmarin ialah anggota Runda Kumpulan Kecil (RKK), sebuah pertubuhan pemisah. - Agensi

Thursday, June 2, 2011

NARATHIWAT: Tiga suspek militan terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan selepas mereka enggan menyerah ketika dikepung, kata polis semalam.

Sumber berkata, 30 polis mengepung sebuah rumah dipercayai tempat persembunyian sehingga 10 militan Islam di Narathiwat.


Katanya, berlaku tembak-menembak selama 20 minit di situ dan tujuh daripada militan terbabit berjaya melarikan diri.

“Tiga lagi terbunuh,” katanya.


Polis turut menemui dua raifal M-16 dan satu pistol di rumah berkenaan.

Kelmarin, beberapa jerangkap samar ditanam militan di Yala meletup dan membunuh dua kakitangan kerajaan tempatan dan empat lagi cedera. Sementara itu, di Narathiwat dua pemberontak terbunuh apabila bom yang mereka sediakan meletup tiba-tiba. - Reuters

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal