Bismillahirrahmanirrahim

Friday, July 24, 2009

BANGKOK - Sebuah kumpulan pemisah di selatan Thai menuduh kerajaan Thailand sengaja tidak mempedulikan insiden pembunuhan 11 penganut Islam di sebuah masjid di daerah Cho I Rong dalam wilayah Narathiwat pada 8 Jun lalu.

Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (Pulo) dalam kenyataan di laman web berkata, kerajaan menghantar militia terlatih untuk melancarkan serangan ke atas jemaah di masjid al-Furqan.

Serangan itu menyebabkan pelbagai siri keganasan terus berlaku melibatkan penganut Islam dan Buddha di selatan negara ini.

Pulo turut menyifatkan tindakan Thailand meluluskan Suruhanjaya Hak Asasi Asean sebagai topeng bagi menutup tindakan keganasan yang dilakukan kerajaan terhadap etnik Melayu di selatan negara ini.

Sementara itu, delegasi Asean semalam diminta bertenang berikutan penemuan mencurigakan sebuah motosikal yang diletakkan tidak jauh dari tempat mesyuarat di Phuket.

Pihak berkuasa keselamatan menjumpai sebuah motosikal yang mencetuskan keraguan di hadapan sebuah hotel di Phuket Laguna sekitar jam 9 pagi.

Mesin pengesan bom menghantar beberapa isyarat menunjukkan motosikal itu mungkin mengandungi beberapa bahan peledak.

Tuesday, July 21, 2009

COTABATO: Seorang militia prokerajaan terbunuh manakala enam lain cedera dalam kejadian letupan berasingan di selatan Filipina semalam.

Kejadian berlaku apabila suspek menaiki sebuah motosikal meletupkan bom di jalan yang sibuk menjelang tengah hari di Cotabato.

"Enam orang termasuk seorang pegawai polis cedera dalam kejadian itu. Seorang daripada mangsa dilaporkan kritikal di hospital," kata ketua polis tempatan, Pesuruhjaya Kanan Willie Dangane.

Empat jam sebelum itu, seorang militia prokerajaan terbunuh apabila sebuah bahan letupan berkuasa tinggi diletupkan di depan penempatan tentera di bandar Upi berhampiran Cotabato, kata tentera.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan semalam tetapi jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Jonathan Ponce berkata mereka mengesyaki pemisah Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dalang letupan terbabit. MILF disalahkan dalam siri letupan yang melanda wilayah selatan awal bulan ini membunuh sekurang-kurangnya lapan orang dan mencederakan lebih 100 yang lain.

MILF melanggar gencatan senjata lima tahun pada Ogos tahun lalu, dengan menjalankan serangan berterusan di seluruh Mindanao selepas rancangan mereka untuk rundingan damai dengan kerajaan ditolak oleh mahkamah.

Pertempuran turut menyebabkan krisis kemanusiaan di mana hampir setengah juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan ramai penduduk awam serta pejuang terbunuh. - AFP


Thursday, July 16, 2009

MANILA 16 Julai - Peningkatan jumlah kejadian pengeboman di selatan Filipina yang dilakukan oleh kumpulan pemisah Islam, ia tidak menjadi batu penghalang ke arah usaha menyambung semula rundingan damai.

Manila telah menerima jaminan daripada kepimpinan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang mempunyai 12,000 anggota, yang bersedia kembali ke meja rundingan, kata ketua perunding kerajaan, Avelino Razon, hari ini.

Menurutnya, tentera juga 'telah mengurangkan operasi' seperti yang diminta sebelum ini oleh MILF dan kedua-dua pihak sedang mencari tarikh sesuai untuk berbincang.

"Pemimpin MILF telah memberi jaminan untuk terus mengusahakan proses damai. Kita hanya menunggu sedikit masa lagi," katanya kepada pemberita dalam satu forum keamanan dan keselamatan di sini.

Tambahnya, jumlah kejadian pengeboman yang meningkat sejak dua minggu lalu yang meragut nyawa sekurang-kurangnya lapan orang dan menyebabkan lebih 100 cedera di tiga bandar di Pulau Mindanao tidak akan mempengaruhi rundingan.

"Kita tidak menjadikannya penghalang kepada penyambungan semula rundingan damai," tegas Razon.

Pihak tentera menyalahkan MILF berhubung dua serangan bom yang berlaku di bandar Illigan dan Cotabato.

Kumpulan Abu Sayyaf yang dikatakan mempunyai kaitan dengan al-Qaeda pula dituduh bertanggungjawab ke atas serangan ketiga yang berlaku di Pulau Jolo. - AFP

Friday, July 10, 2009

POLIS memeriksa trak tentera yang terbalik akibat letupan bom di Yala, kelmarin.

PATTANI: Seorang anggota tentera terbunuh dan lima lagi cedera apabila sebutir bom didakwa pihak berkuasa dipasang pemisah di tepi jalan meletup dalam keganasan terbaru di selatan Thailand.

"Askar berkenaan dalam rondaan selepas mengiringi sekumpulan guru ke sekolah awam apabila sebutir bom kecil meletup di wilayah Pattani," kata pegawai polis, Kolonel Poonsak Prasertmet.

Lebih 3,500 maut membabitkan penduduk Buddha dan Islam dalam pemberontakan di selatan Thailand sejak Januari 2004.

Pemisah tidak membuat komen tetapi dipercayai berjuang untuk mendapatkan negara Islam bebas.

Guru sekolah awam sering menjadi sasaran kerana mereka dilihat simbol kekuasaan kerajaan. Lebih 100 guru terbunuh sejak pemberontakan lima tahun lalu.

Kebanyakan guru diiringi tentera, tetapi mereka juga menjadi sasaran.

Bulan lalu, sekurang-kurangnya 36 terbunuh di wilayah terbabit dan lebih 100 cedera.

Kejadian terburuk mengorbankan 10 penduduk Islam dalam serangan di masjid Narathiwat 8 Jun lalu. AP

Wednesday, July 8, 2009

YALA 8 Julai - Tiga terbunuh setelah ditembak sekumpulan lelaki disyaki pejuang pemisah Islam di wilayah selatan negara ini, sementara satu letupan bom lagi mencederakan lima askar semalam.

Menurut polis, seorang lelaki Buddha berusia 40 tahun ditembak mati ketika sedang membeli barang di sebuah kedai runcit di wilayah Pattani semalam.

Polis berkata, lewat malam tadi, dua remaja lelaki Islam berusia 17 tahun yang sedang menaiki motosikal mati ditembak sekumpulan lelaki bersenjata di wilayah Narathiwat.

Polis berkata, dalam kejadian berasingan, lima askar cedera dengan dua daripada mereka parah apabila sebuah bom meletup lewat malam tadi di Yala.

Lebih 3,700 penduduk terbunuh dalam tempoh lima tahun pergolakan di selatan Thailand di Narathiwat, Yala dan Pattani, malah keganasan di wilayah-wilayah itu juga semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu. - AFP

Monday, July 6, 2009



MANILA - Sebutir bom meletup di luar sebuah gereja di selatan Filipina pada pagi semalam dan menyebabkan lima orang terbunuh serta 35 lain cedera.

Bom tersebut dipercayai diletakkan kumpulan pemberontak berhampiran sebuah warung makanan di luar gereja dekat Bandar Cotabato.

Menurut Kolonel Jonathan Ponce bom itu kemudian diletupkan menggunakan alat kawalan ketika sebuah trak tentera melalui kawasan tersebut.

"Ini adalah kerja kumpulan pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Mereka berada dalam keadaan terdesak dan sukar memilih sasaran sebenar mereka. Mereka kini menyerang beberapa tempat suci agama," kata Ponce.

Seorang penjual daging mati serta merta di tempat kejadian, manakala empat lain termasuk seorang askar dan kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun meninggal dunia di hospital berhampiran.

Lima daripada 35 yang cedera ialah anggota tentera kerajaan.

Menurut saksi, letupan kedengaran ketika paderi baru saja selesai membacakan khutbah kepada orang ramai di gereja berkenaan.

"Letupan tersebut sangat kuat seolah-olah gereja itu akan runtuh," kata saksi, Meryl Sandoval.

Friday, July 3, 2009

MILF bunuh 500 tentera

MANILA: Gerila Gerakan Pembebasan Islam Moro (MILF) mendakwa membunuh 548 tentera kerajaan dalam tempoh 10 bulan yang lalu.

MILF turut menuduh tentera sengaja membakar 2,000 rumah dan membunuh penduduk kampung yang disyaki menyokong mereka, mengebom masjid dan menyekat bekalan makanan untuk penduduk yang menjadi pelarian.

Ketua Perunding MILF, Mohagher Iqbal berkata, tindakan tentera melakukan bedilan tanpa had menyebabkan kerosakan teruk di kawasan didiami masyarakat Islam menyebabkan komander dibenar membalas serangan.

“Kami cuba mematuhi gencatan senjata tapi bila mereka menyerang kami, kami terpaksa mempertahankan diri,” katanya.

Thursday, July 2, 2009

ZAMBOANGA - Kumpulan pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mengarahkan 12,000 anggotanya menghentikan segera operasi penculikan untuk mendapatkan wang tebusan di kepulauan Mindanao.

MILF turut mengarahkan semua anggotanya menangkap mana-mana penculik yang melakukan kegiatan berkenaan di kawasan mereka.

Ini adalah kali kedua dalam masa tujuh tahun MILF mengeluarkan arahan sama.

"Jawatankuasa pusat MILF mengarahkan semua anggota menangkap mana-mana pihak yang melakukan kegiatan penculikan di kawasan kami," kata kenyataan kumpulan itu.:

Arahan itu ditandatangani oleh ketua staf MILF, Sammy al-Mansur dan Naib Pengerusi Ehwal Politik MILF, Ghazali Jaafar.

Arahan itu turut menyebut, satu pasukan khas antipenculikan akan digerakkan secepat mungkin untuk menguatkuasakan perintah itu.

MILF sering dituduh terlibat dalam pelbagai aktiviti penculikan untuk mendapatkan dana bagi menampung perbelanjaan pembelian senjata dan pergerakan kumpulan itu.

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal