Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, August 23, 2011

COTABATO 22 Ogos - Beberapa jam sebelum rundingan damai dengan kerajaan Filipina disambung semula di Kuala Lumpur hari ini, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) secara rasminya menyingkirkan seorang komander kanannya yang menubuhkan kumpulan bersenjata sendiri di selatan Filipina.

Jurucakap MILF, Von Al Haq yang bercakap menerusi telefon dari kubunya di wilayah Maguindanao berkata, MILF tidak akan memberi bantuan jika tentera Filipina melancarkan serangan udara dan darat ke atas Ameril Umbra Kato, ketua Barisan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF).

Kata Al Haq, Ameril yang dilihat oleh Manila sebagai ancaman terhadap rundingan damai dengan MILF, digugurkan secara rasmi oleh Jawatankuasa Pusat pertubuhan itu daripada senarai anggota mereka disebabkan keingkarannya.

"Tidak ada lagi kata dua untuk dia kembali ke pangkuan kami dan dia disingkirkan kerana ingkar arahan.

"Kami telah menghantar beberapa utusan termasuk mereka yang lebih kanan daripadanya tetapi tidak mendapat keputusan positif," kata Al Haq.

Timbalan jurucakap Presiden Filipina, Abigail Valte berkata, panel perunding damai kerajaan dijangka membincangkan isu Ameril dengan perunding MILF.

Ameril, lewat 60-an, yang mengetuai 200 hingga 300 anggota BIFF, memutuskan untuk berpecah daripada MILF kerana tidak bersetuju dengan pengendalian proses damai dan kerana MILF didakwa membelakangkannya selepas dia melancarkan serangan besar-besaran pada 2008 berikutan keputusan Mahkamah Agung menolak draf perjanjian damai yang dirangka oleh kerajaan.

Pada Disember lepas, dia mengisytiharkan keluar daripada MILF dan mengumumkan penubuhan BIFF sambil menyeru jihad dilancarkan bagi mendirikan sebuah negara Islam merdeka. - Bernama

Sunday, August 21, 2011

MANILA: Filipina akan memberi tekanan kepada kumpulan pemisah Islam supaya menangkap anggotanya yang membentuk kumpulan serpihan yang akan mengancam rundingan damai, kata pembantu pegawai tinggi kerajaan, semalam.

Unit gerila Ameril Umbrakato, Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro menjadi agenda utama dalam rundingan damai yang bermula hari ini di Malaysia, kata Teresita Deles yang menjadi penasihat presiden dalam rundingan itu. “Ameril pasti menjadi agenda rundingan bersama Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang bermula esok (hari ini),” katanya.

Ameril, komander kanan MILF membawa 300 anggota di bawah pimpinannya keluar daripada MILF bagi meneruskan pemberontakan 33 tahun yang telah mengorbankan 150,000 nyawa itu. - AFP

MANILA 21 Ogos - Kerajaan Filipina akan mendesak pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) supaya mengambil tindakan ke atas seorang bekas komander kanannya yang bertindak keluar daripada MILF dan menubuhkan pasukan gerila serpihan yang boleh merosakkan rundingan damai.

Pasukan gerila baru yang ditubuhkan oleh komander Ameril Umbrakato dikenali sebagai Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro akan menjadi agenda utama dalam rundingan damai yang disambung semula di Malaysia esok, kata pembantu kanan kerajaan, Teresita Deles, hari ini.

"Ameril sudah tentu termasuk dalam agenda rundingan antara Manila dengan MILF yang bermula esok," kata Deles kepada AFP.

Ameril membawa kira-kira 300 anggota MILF bersama-samanya untuk meneruskan perjuangan bersenjata bagi menuntut sebuah negara merdeka di selatan Filipina.

Beliau menolak rundingan damai dan menuduh bekas rakan seperjuangannya membatalkan pemberontakan bersenjata untuk mendirikan sebuah negara Islam merdeka di Pulau Mindanao.

Deles berkata, walaupun tindakan kerajaan ke atas Ameril akan bergantung kepada penjelasan MILF mengenai status sebenar bekas komandernya itu, tindakan ketenteraan masih boleh diambil.

Katanya, kerajaan boleh menggunakan perjanjian dengan MILF sebelum ini, yang menuntut kedua-dua pihak membantu satu sama lain untuk menangkap atau menawan anasir jenayah yang bergerak di kawasan masing-masing.

Selepas berminggu-minggu menafikan MILF menghadapi pemberontakan di kalangan anggotanya, pertubuhan itu kelmarin menyifatkan pasukan Ameril sebagai kumpulan yang tidak lagi mematuhi arahannya dan kini bergerak sendirian.

Ameril adalah antara dua komander kanan MILF yang melancarkan serangan besar-besaran di seluruh Mindanao pada Ogos 2008 selepas Mahkamah Agung mengharamkan draf perjanjian damai yang memberi MILF kuasa terhadap banyak kawasan di selatan Filipina.

Kira-kira 400 orang terbunuh dan 750,000 lagi melarikan diri akibat serangan itu. - AFP

Saturday, August 20, 2011

Tak sehaluan

MANILA: Bekas pemerintah tentera Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang didakwa bertanggungjawab terhadap beberapa serangan ganas sepanjang beberapa tahun lalu keluar daripada kumpulan itu kerana menentang rundingan damai dengan kerajaan.

Ameril Umbrakato membawa bersama-samanya 300 penyokong meninggalkan MILF dan membentuk kumpulan sendiri, kata Naib Presiden MILF, Ghazali Jaafar.


“Dia (Ameril) mahu kami menghentikan rundingan dengan alasan, perdamaian dengan kerajaan tidak akan membawa kami ke mana-mana,” katanya.

MILF dengan kekuatan 12,000 pejuang melancarkan gerakan ketenteraan sejak lebih 30 tahun, mulanya untuk mendapatkan sebuah negara merdeka di selatan negara yang majoriti penduduknya beragama Katolik.


Ia kini lebih tertumpu kepada usaha mendapatkan autonomi.


Sengketa itu meragut lebih 150,000 nyawa dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi di selatan Filipina yang kaya dengan sumber asli.

Pemimpin kanan MILF dan kerajaan Presiden Benigno Aquino mengadakan rundingan damai sejak awal tahun ini dan pusingan terbaru dijadual berlangsung di Kuala Lumpur minggu depan.


Ameril yang berusia awal 70-an, membentuk kumpulan baru tahun lalu selepas menyerah jawatan sebagai pemerintah satu unit penting MILF atas alasan kesihatan.

“Dia berulang kali menolak rayuan supaya kembali kepada kami. Dia mahukan kemerdekaan, sesuatu yang bertentangan dengan pendirian MILF,” kata Ghazali.


Kumpulan serpihan yang diketuai Ameril bertempur dengan tentera MILF awal bulan ini menyebabkan 16 orang terbunuh serta memaksa 3,000 orang awam meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari perlindungan.


Ameril juga bertanggungjawab mengetuai serangan di Mindanao oleh kumpulan serpihan MILF pada 2008 selepas Mahkamah Agung Filipina mengharamkan deraf perjanjian damai yang memberi MILF hak penguasaan terhadap kawasan yang luas di selatan Filipina.


Kira-kira 400 orang terbunuh dalam pertelingkahan itu. - AP

Monday, August 15, 2011

Komander MILF ditembak mati

ZAMBOANGA: Tentera Filipina semalam menembak mati seorang komander kumpulan pejuang Islam selatan negara itu.

Kejadian itu dijangka merumitkan lagi rundingan damai yang dijadualkan minggu depan, kata seorang pejuang, semalam.

Komander Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) Abdulmajid Abdulham dibunuh dalam pertempuran dengan tentera dan polis yang dihantar ke kawasan pertanian di Sibuco, untuk menangkapnya.

MILF berkata Abdulmajid ditembak mati ketika dia menunai solat Subuh. Mereka berkata, tindakan itu jelas melanggar syarat perjanjian perdamaian - AFP

Monday, August 8, 2011



Pertemuan rahsia Benigno Aquino (kanan) dengan Pengerusi MILF, Murad Ibrahim di Tokyo, 4 Ogos lalu. - REUTERS


MANILA 7 Ogos - Pertemuan sulit antara Presiden Filipina, Benigno Aquino dengan Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim di Tokyo Khamis lalu, memulihkan kembali harapan rundingan damai berhubung pergolakan di selatan negara ini.

Naib Presiden MILF, Ghadzali Jaafar berkata, pertemuan tersebut telah mengubah persepsi kumpulan pemberontak yang sebelum ini ragu-ragu dengan proses rundingan bersama kerajaan.

"Sebelum ini terdapat kesangsian di kalangan jawatankuasa pusat MILF berhubung keikhlasan serta keseriusan kerajaan terhadap pentadbiran Aquino tentang proses rundingan.

"Namun, pertemuan di Tokyo itu menjadi satu suntikan kepada pemimpin-pemimpin kami untuk meneruskan rundingan," katanya.

Ghadzali bagaimanapun memberi amaran, pihak pembangkang mungkin akan mencari alasan bagi membantah penyelesaian krisis MILF dengan kerajaan sebelum tempoh penggal Aquino berakhir pada 2016.

Pemimpin lain turut menyatakan kebimbangan mereka berhubung pertemuan Aquino dengan pemimpin pergerakan itu, yang bertanggungjawab di atas kematian lebih 150,000 nyawa.

Kerajaan Filipina dan (MILF) Khamis lalu bersetuju mempercepat rundingan damai bagi mengakhiri konflik di selatan negara ini.

Persetujuan itu dicapai menerusi pertemuan pertama antara Presiden Filipina dalam tempoh 14 tahun selama hampir dua jam dengan Murad. - AFP

Friday, August 5, 2011

MANILA: Presiden Filipina, Benigno Aquino menemui pemimpin kumpulan pemisah Islam terbesar di negara itu di sebuah hotel di Tokyo, dengan harapan dapat meneruskan rundingan damai, kata kerajaan dan kumpulan pemisah, semalam.

Benigno menemui Murad Ebrahim daripada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) selama dua jam di hotel dekat Lapangan Terbang Narita malam, kelmarin. Mereka turut disertai oleh pemimpin dari kedua-dua belah pihak.

“Ia satu pertemuan mesra tetapi mengandungi pertukaran pendapat secara jujur mengenai rundingan damai yang berterusan dan beberapa pendekatan yang mungkin dapat diambil kedua-dua belah pihak untuk mencapai rundingan damai,” kata ketua panel perundingan kerajaan, Marvic Leonen dalam satu sidang akhbar di Manila. “Kedua-dua belah pihak bersetuju pelaksanaan mana-mana perjanjian perlu dilakukan dengan pentadbiran yang ada sekarang. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mencapai matlamat perundingan,” katanya. - AFP

MANILA 5 Ogos - Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) bersetuju mempercepatkan rundingan damai bagi mengakhiri konflik di selatan negara ini.

Persetujuan itu dicapai selepas Presiden Benigno Aquino mengadakan pertemuan pertama dalam tempoh 14 tahun selama hampir dua jam dengan pemimpin MILF, Murad Ebrahim di sebuah hotel berhampiran Lapangan Terbang Nikita, Tokyo, hari ini.

"Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mempercepatkan proses rundingan damai bagi mengakhiri konflik di selatan negara ini.

"Persetujuan tersebut merupakan sesuatu yang boleh kita harapkan namun masih banyak langkah-langkah yang perlu diambil kira," kata seorang panel pengaman menerusi telefon.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin tersebut akan mengadakan pertemuan kedua di Kuala Lumpur pada 15 Ogos ini dengan mengutarakan isu berkaitan struktur pendudukan masyarakat Islam di selatan Filipina yang kebanyakannya didominasi penganut agama Roman Katolik.

Sementara itu, Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) berkata, pertemuan rahsia tersebut merupakan strategi yang berisiko kerana kumpulan pemberontak berasa ragu-ragu dengan kesungguhan Manila untuk mencapai kedamaian.

"Rundingan tersebut dilihat berisiko kepada pentadbiran Aquino dan akan memberi kesan negatif, sekiranya kata persetujuan gagal dicapai," katanya.

Pada 1996, Presiden Filipina ketika itu, Fidel Ramos berjaya mencapai kata putus dalam rundingan damai dengan MILF apabila mewujudkan kerajaan autonomi bagi masyarakat Islam di selatan negara ini. - Reuters/AFP

Empat Muslim mati ditembak

YALA: Militan dipercayai menembak mati empat penduduk Islam semalam dalam beberapa serangan berasingan di selatan Thailand.

Ketika memberitahu pembunuhan itu, pegawai mengakui bimbang keganasan akan meningkat pada Ramadan.

Seorang guru agama berusia 39 tahun ditembak awal pagi di rumahnya di Pattani ketika mangsa sedang mandi.

Dalam kejadian kedua, satu pasangan suami isteri berusia 30-an pula dibunuh ketika dalam perjalanan pulang dari sawah padi.

Di Yala, seorang sukarelawan keselamatan berusia 38 tahun pula mati ditembak penyerang yang berada dalam kenderaan, kata polis.

Panglima tentera Thailand memberi amaran awal minggu ini bahawa kekacauan mungkin meletus di rantau itu ketika bulan puasa seperti yang berlaku sejak militan melancarkan keganasan pada 2004 yang mengorbankan 4,700 orang. - AFP

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal