Bismillahirrahmanirrahim

Saturday, August 29, 2009

YALA - Seorang warga tua maut dan 17 lagi cedera dalam letupan bom tangan yang dibaling ke arah sekumpulan penduduk Islam yang sedang bermain permainan petanque di wilayah selatan Thailand, kata polis semalam.

Serangan berpunca daripada bom yang dilemparkan oleh seorang penunggang motosikal tidak dikenali pada tengah malam kelmarin di Patani,

Dalam satu lagi serangan berasingan di selatan Thailand, dua orang mati ditembak di wilayah Narathiwat, kata pihak berkuasa.

Serangan tersebut meningkatkan lagi jumlah mangsa yang: maut akibat pelbagai insiden keganasan di kawasan ladang getah.

Dalam masa 10 hari saja, seramai 19 orang terbunuh dengan lebih 60 lagi cedera.

Yala, Patani dan Narathiwat adalah sebahagian daripada pemerintahan kesultanan Melayu Islam sebelum wilayah tersebut dikuasai kerajaan Thailand Buddha seabad lalu.

Sejak itu, tiga wilayah tersebut tidak pernah sunyi daripada pelbagai insiden keganasan daripada kumpulan pemisah yang menuntut sebuah kerajaan merdeka daripada Bangkok.

Sebahagian besar penganut Islam menentang kehadiran puluhan ribu tentera, askar dan pengawal bersenjata di wilayah berkenaan berikutan penyalahgunaan kuasa oleh pasukan keselamatan kerajaan.

Komplot mahu lancar keganasan besar-besaran di bandar

BANGKOK: Pemberontak dari Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (Pulo) dan Kerjasama Barisan Revolusi Nasional yang terlatih dalam pembuatan bom di luar negara sudah menyusup masuk ke selatan negara ini dalam persediaan untuk serangan besar-besaran, kata satu sumber perisikan.

Militan muda itu didakwa menyeberangi sempadan di antara Narathiwat dan Kelantan, akhbar Bangkok Post memetik seorang sumber yang tidak dinamakannya.

Mereka kini berada di dalam dan sekitar Yala, Pattani, Narathiwat dan sebahagian Songkhla dan sedang berkomplot melakukan kempen keganasan besar-besaran di kawasan bandar pada masa akan datang, kata sumber.

Awae Kaelae, seorang suspek pemimpin Pulo, menyelinap masuk ke rantau ini daripada persembunyiannya di luar negara untuk memimpin sepenuhnya pemberontakan, kata sumber.

Serangan mungkin disasarkan ke atas perkampungan terpencil dan kawasan pergunungan berbanding kawasan pinggir bandar, kata sumber lagi.

Pemberontak cuba untuk menakut-nakutkan penduduk tempatan yang mana pengeboman kereta Selasa lalu yang mencederakan 42 orang di Narathiwat adalah contohnya, katanya.

Pegawai polis dan Porntip Rojanasunan, Pengarah Institut Sains Forensik Pusat kelmarin terus mencari bengkel kenderaan yang digunakan penyerang dalam usaha mereka untuk mendapat petunjuk terhadap pengeboman terbabit.

Sebuah trak pikap digunakan dalam serangan bom itu dipercayai dicat di bengkel itu di daerah Muang selepas pemimpin pemberontak disyaki, Amran Ming, 28, dan anggotanya didakwa mencurinya dari daerah Bacho.

Pegawai polis di 13 daerah Narathiwat semalam dilatih mengendalikan tiga pengesan bom GT 200 yang dibekalkan tentera bagi menambah keupayaan menghalang pengeboman.

Di Yala, seorang warga emas terbunuh dan 17 orang cedera apabila sebutir bom dibaling ke atas sekumpulan penduduk Islam sedang bermain 'boules' di selatan Thailand, kata polis semalam.

Seorang penyerang menaiki motosikal melontar bom tangan ke arah kumpulan itu pada tengah malam di Pattani.

Serangan itu menyebabkan tambahan angka kematian di rantau kaya tanaman getah kepada 17 orang sejak 10 hari lalu dengan lebih 60 orang cedera. - Agensi/Reuters

Friday, August 28, 2009

ZAMBOANGA - Ribuan penduduk yang hilang tempat tinggal di Mindanao, selatan Filipina, menghadapi risiko diculik atau dibunuh, kata pertubuhan hak asasi Amnesty International (AI).

Menurutnya, berpuluh-puluh penduduk dibunuh atau hilang, dipercayai menjadi sasaran anggota tentera yang mengesyaki mereka mempunyai hubungan dengan pejuang-pejuang Islam.

Pertubuhan itu memberi amaran mengenai krisis hak asasi di pulau itu apabila lebih 700,000 penduduk terpaksa melarikan diri akibat pertempuran antara pasukan tentera dengan Barisan Pembebasan Islam Moro.

Ia mendedahkan ramai orang awam menghadapi risiko pembunuhan tanpa mengikut undang-undang dan penderaan.

Thursday, August 27, 2009

Tiga orang awam ditembak di Yala

YALA: Tiga orang awam beragama Islam dibunuh dalam kejadian berasingan semalam, kata polis dalam keganasan terbaru di wilayah bergolak selatan Thailand.

Kejadian pertama membabitkan seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk mengerjakan solat Subuh di daerah Krong Pinang.

Pembunuhan kedua berlaku terhadap seorang kakitangan kerajaan ketika dia menaiki motosikal menuju ke pejabat di Bannang Sata.

Mangsa ketiga membabitkan seorang wanita yang terbunuh apabila sebutir bom meletup di depan kilang getah tempatnya bekerja.

Kejadian itu berlaku menjelang subuh di Yaha. - Reuters

BANGKOK: Sebuah kereta perisai tentera menjadi sasaran bom di Bannang Sata, Yala, semalam ketika Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, memberi amaran kemungkinan keganasan semakin meningkat.

Menurut laporan Agensi Berita Thai (TNA), tiada kemalangan dilaporkan, tetapi empat sekolah terpaksa ditutup atas sebab keselamatan.

Kelmarin, 42 orang pelanggan sebuah restoran cedera apabila sebuah kereta berisi bom diletupkan di Narathiwat.

Polis mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang suspek yang imejnya dirakam kamera keselamatan di situ.

Pada masa sama, Abhisit mengarahkan kawalan keselamatan dipertingkat di selatan Thailand kerana maklumat risikan mendapati, pemberontak merancang menggiatkan serangan sempena Ramadan. - Bernama

Monday, August 24, 2009

2 askar Thai terbunuh

PATTANI: Dua anggota tentera Thai semalam terbunuh dalam serangan yang mensasarkan pusat pemeriksaan kerajaan di selatan negara itu semalam.

Menurut pegawai kanan polis, Thongchai Pookapan, sekurang-kurangnya 10 lelaki, disyaki anggota pemisah, melancarkan serangan awal pagi itu di wilayah Narathiwat.

Katyanya, tiga orang, seorang tentera, seorang polis dan seorang sukarelawan cedera dalam kejadian berkenaan.

Penyerang melarikan diri dalam beberapa pikap selepas kejadian tembak-menembak selama kira-kira 10 minit.

Lebih 3,700 orang terbunuh di tiga wilayah paling selatan Thai itu sejak gerakan pemisah meletus pada Januari 2004.

Kehadiran besar-besaran tentera di wilayah berkenaan gagal mengekang keganasan daripada terus berlaku. - AP

Saturday, August 22, 2009

4 lagi maut

YALA: Dua tentera terbunuh selepas sebuah pikap dan dua motorsikal tentera terkena serpihan bom tepi jalan Narathiwat, semalam.

Kumpulan tentera yang mengiringi van membawa guru kemudian bertempur dengan kumpulan disyaki pemisah menyebabkan pertempuran berlaku lebih 15 minit.

Seorang prebet 23 tahun mati serta-merta manakala seorang tentera 48 tahun maut ketika pertempuran.

Pihak berkuasa turut melaporkan, dua orang awam ditembak mati di Pattani. - AFP

Tuesday, August 18, 2009

MANILA: Kerajaan Filipina semalam memberi amaran, langkah mengadakan perdamaian dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) terancam berikutan bukti menunjukkan kumpulan itu terbabit dalam pertempuran yang meragut 43 nyawa,

Setiausaha Pertahanan, Gilberto Teodoro berkata, anggota MILF yang didapati membantu kumpulan Abu Sayyaf akan dianggap musuh yang tidak dilindungi oleh gencatan senjata yang dikuatkuasakan bulan lalu.

Kenyataannya itu dibuat selepas pertempuran Rabu lalu di mana anggota MILF didakwa menyerang hendap askar yang menawan kem latihan Abu Sayyaf di Pulau Basilan.

“Saya berpendapat, ia menjejaskan kredibiliti MILF sebagai pertubuhan untuk rakyat Filipina dalam sebarang usaha damai,” kata Teodoro.

Katanya, pucuk kepimpinan MILF sepatutnya mengarahkan anggotanya di Basilan supaya tidak campur tangan.

Dua puluh tiga tentera Filipina dan 20 pejuang Abu Sayyaf mati dalam kejadian itu. - AP

Tuesday, August 11, 2009

Wakil OIC lawat selatan Thailand


BANGKOK - Perwakilan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang diwakili 42 duta negara anggotanya dan pihak media melawat tiga wilayah bergolak di selatan Thailand kelmarin.

Lawatan dua hari ke wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat itu bertujuan untuk memberi peluang kepada setiap duta melihat sendiri bagaimana cara kerajaan Thailand menangani masalah di selatan Thailand.

Semua perwakilan juga diberi penjelasan berhubung rancangan kerajaan meningkatkan kualiti hidup penduduk Islam tempatan dan merangsang ekonomi.

Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya berkata, lawatan berkenaan menunjukkan dedikasi kerajaan terhadap isu yang menjadi perhatian itu.

"Tiada apa yang hendak kita sembunyikan dan kita mahu orang ramai melihat kerajaan Thailand bersungguh-sungguh untuk memulihkan keamanan di wilayah selatan dan meningkatkan taraf hidup penduduk," katanya.

Beliau berkata, wartawan dari negara-negara Islam juga dibenarkan membuat laporan dan memberikan penjelasan sebenar mengenai apa yang berlaku di wilayah itu.

Menurutnya, komuniti antarabangsa dan dunia Islam kini lebih faham dengan keikhlasan Thailand untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di ketiga-tiga wilayah itu.

Sementara itu, seorang pegawai perisikan Thailand yang bertugas di wilayah selatan menyifatkan kekacauan di sana lebih buruk daripada gerakan penentangan komunis yang berlaku kira-kira dua dekad lalu.

Monday, August 3, 2009

PATTANI: Seorang lelaki Buddha ditembak mati di selatan Thai semalam, mangsa terbaru keganasan yang melanda rantau itu sejak lima tahun lalu.

Jurucakap tentera Thai, Kolonel Parinya Chaidilok berkata, dua lelaki bermotosikal menembak pengawal keselamatan itu yang dalam perjalanan pulang selepas bekerja syif malam di sebuah kilang getah di Pattani.

Lebih 3,700 penduduk Islam dan Buddha terbunuh sejak keganasan melanda di tiga wilayah paling selatan negara itu pada Januari 2004.

Polis mendakwa pejuang pemisah mensasar orang yang mereka percaya bersekongkol dengan kerajaan. - AP

MANILA 2 Ogos - Selepas rundingan khas selama dua hari di Kuala Lumpur, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sedang menanti lebih banyak perbincangan awal bagi membolehkan rundingan damai berjalan.

MILF berkata, kedua-dua pihak mungkin dapat membincangkan beberapa isu termasuk Memorandum Persetujuan Tanah Pusaka Turun Temurun (MOA-AD), yang mana pembatalan oleh Mahkamah Agung mencetuskan serangan di Mindanao.

MILF dalam artikel di laman webnya (www.luwaran.net) malam Rabu lalu menyatakan, perkara yang diperbincangkan adalah isu-isu tertunggak berkaitan MOA-AD yang diusahakan tetapi tidak ditandatangani, pengumuman penghentian permusuhan terbaru (SOMA dan SOMO) oleh MILF dan kerajaan Filipina (GRP) dan impak mengenepikan komander penyangak MILF oleh kerajaan.

Antara lain yang disuarakan adalah usul mewujudkan mekanisme melindungi orang awam dari serangan dan sebuah kumpulan hubungan dari masyarakat antarabangsa bagi menyokong usaha damai MILF-GRP serta memastikan pelaksanaan perjanjian di masa depan.

Kedua-dua pihak bersetuju menyambung perbincangan awal secepat mungkin selepas 'persetujuan' dicapai dalam isu-isu tersebut, tambah MILF.

Ketua Fasilitator dari Malaysia, Datuk Othman Razak mengatur dan mempengerusikan pertemuan dua hari yang dihadiri panel damai dari kedua-dua pihak, Mohagher Iqbal mewakili MILF manakala duta Rafael Seguis mewakili kerajaan.

Rundingan damai antara kerajaan dan MILF tertangguh Ogos tahun lalu selepas Mahkamah Agung membatalkan MOA-AD yang seterusnya menyebabkan dua komander MILF melancarkan serangan di beberapa kawasan di Mindanao.

Namun kerajaan pada 23 Julai lalu mengisytiharkan penangguhan operasi tentera diikuti dengan perisytiharan MILF dua hari kemudian. - Agensi

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal