Bismillahirrahmanirrahim

Monday, March 21, 2011

YALA: Dua tentera Thailand terbunuh dalam satu insiden tembak-menembak dengan kumpulan pemisah, semalam di wilayah selatan negara itu, kata polis. Ia adalah mangsa terbaru dalam kejadian keganasan yang memuncak sejak akhir-akhir ini.

Dua anggota tentera itu daripada sebahagian pasukan yang membuat kawalan rutin ketika ditembak di kawasan berbukit di Narathiwat, satu daripada tiga wilayah yang majoritinya dihuni umat Islam.


Kejadian tembak-menembak itu berterusan selama 10 minit sebelum dua anggota tentera itu terbunuh. Kumpulan pemisah kemudian melarikan diri.

Insiden semalam sama seperti kejadian tembak-menembak Sabtu lalu di wilayah Yala apabila dua anggota tentera juga terkorban. - Reuters

Saturday, March 19, 2011

2 serang askar Thailand maut

ANGGOTA tentera  Thailand memeriksa mayat anggota puak pemisah  dalam serangan di Yala, semalam.
ANGGOTA tentera Thailand memeriksa mayat anggota puak pemisah dalam serangan di Yala, semalam.

YALA: Dua lelaki bersenjata disyaki anggota puak pemisah, terbunuh dalam pertempuran di wilayah selatan Thailand yang bergolak, selepas melancarkan serang hendap ke atas pasukan keselamatan semalam, kata polis.

Seorang pegawai kanan polis berkata lelaki terbabit melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan dan renjer separa tentera awal pagi di kawasan pergunungan di wilayah Yala.
“Serangan itu dibalas pasukan keselamatan, menyebabkan berlaku pertempuran. Dua anggota pemisah terbunuh dalam serangan itu,” katanya.
Beliau berkata anggota lain kumpulan itu kemudian melarikan diri, manakala pasukan keselamatan berjaya merampas tiga laras raifal M-16 di lokasi kejadian.

Serangan itu adalah yang terbaru selepas kerajaan Thailand mengumumkan peningkatan keganasan di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat yang bersempadan dengan Malaysia dan mempunyai majoriti penduduk Muslim.

Sementara itu di wilayah Pattani, dua lelaki bersenjata membunuh seorang penjaja dalam satu kejadian tembakan dari kenderaan, manakala tiga renjer tentera di Narathiwat cedera dalam serangan bom tangan.

Keganasan di selatan Thailand bermula sejak 2004 dan setakat ini sudah mengorbankan lebih 4,500 orang. – Reuters

Wednesday, March 16, 2011

YALA: Lapan orang terbunuh dalam beberapa serangan sepanjang tempoh 24 jam di Thai selatan semalam.

Kejadian berlaku seminggu selepas kerajaan berkata keganasan semakin meningkat di wilayah berkenaan.


Seorang guru penganut Buddha berusia 52 tahun ditembak awal semalam ketika melakukan kerja sampingannya, menoreh di sebuah ladang getah di Songkhla.

Seorang pekerja ladang juga mati akibat ditembak sementara isterinya cedera selepas mereka diserang ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di wilayah yang sama.


Tidak lama kemudian, tujuh lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah kedai minum di sebuah kampung di Pattani, menyebabkan tiga lelaki Islam berusia antara 42 dan 60 tahun mati, diikuti dengan serangan di Yala yang mengorbankan seorang lelaki Islam berusia 69 tahun.


Polis berkata, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah kedai minum di Narathiwat, menyebabkan dua lelaki Buddha terbunuh dan seorang cedera.

Pengkritik berkata, keganasan yang bermula sejak awal 2004 itu berpunca daripada kegagalan kerajaan menangani kekecewaan penduduk Islam yang menjadi penduduk majoriti di selatan negara itu, termasuk dakwaan menjadi mangsa pencabulan tentera. - AFP

Wednesday, March 9, 2011

BANGKOK: Keganasan semakin rancak di kawasan bergolak selatan Thailand, selepas beberapa lagi serangan bom dan senjata berlaku di rantau majoriti penduduk Islam, kata pihak berkuasa Thai, semalam.

“Saya mengakui pergolakan kian meningkat, namun pegawai kami bertungkus lumus untuk bekerja keras sehabis baik bagi menyelesaikan masalah itu,” kata Tawin Pleansri, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Nasional memberitahu media.

“Agak sukar mengawasi kawasan yang sebegitu luas. Walaupun kurang insiden berlaku, kebelakangan ini keadaan berada pada tahap paling serius,” katanya.

Pemisah Islam melancarkan pemberontakan di rantau paling selatan Thailand sejak awal 2004, menyebabkan lebih 4,400 orang maut, membabitkan penduduk Islam dan Buddha.

Keganasan semakin hebat baru-baru ini dengan beberapa serangan bom berlaku termasuk dalam kejadian Januari lalu yang mengorbankan sembilan orang.

Satu serangan berani luar biasa seminggu sebelumnya ke atas sebuah pangkalan tentera menyebabkan sekurang-kurangnya empat askar terbunuh.

Pihak berkuasa berkata, pemberontak jelas menukar taktik mereka dengan memfokuskan lebih banyak serangan secara ganas.

Thailand menempatkan 60,000 anggota pasukan keselamatan di wilayah terjejas akibat keganasan bagi menentang militan yang belum diketahui matlamat mereka.
Pihak berkuasa berkata, agak mustahil untuk menamatkan konflik itu dengan segera.

“Masalah ini tidak dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan,” kata Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban, yang bertanggungjawab menguruskan keselamatan negara.

Pengkritik menuduh kerajaan gagal menangani kesengsaraan minoriti Islam Melayu Thailand, termasuk dakwaan mereka didera tentera yang turut dianggap kurang hormat ke atas identiti etnik, bahasa dan agama orang tempatan.

Mangsa terbaru termasuk seorang pesara polis Buddha berusia 61 tahun yang terkorban kelmarin dalam satu tembakan penunggang motosikal yang menyebabkan cucu perempuannya parah di wilayah Pattani. – AFP

Monday, March 7, 2011

Dua cedera mangsa bom tangan

NARATHIWAT: Seorang anggota polis dan orang awam cedera dalam serangan bom tangan yang kemudian disusuli oleh bom kereta yang memusnahkan 18 kenderaan serta flet polis di Si Sakhon di sini, semalam, kata polis.

Serangan pertama berlaku kira-kira jam 11.50 pagi di sebuah kediaman yang diubah suai kepada kedai runcit dimiliki seorang pegawai polis, Sarjan Mejar Manit Kwansuk. Bom itu dibaling dua penyerang bermotosikal. Manit dan seorang penduduk kampung cedera dalam serangan itu.


Sekumpulan anggota tentera dan polis dikejarkan ke tempat kejadian dari pangkalan mereka sejauh satu kilometer. Ketika kenderaan mereka melalui kawasan flet polis yang baru dibina kira-kira 50 meter dari kediaman Manit, sebutir bom meletup dari kereta yang diletakkan di bawah bangunan itu, kata seorang saksi. Letupan itu menyebabkan kebakaran di tingkat bawah flet berkenaan dan menyambar 14 lagi kenderaan di situ.

Bekalan air ke bangunan terbabit dipotong. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam letupan itu. Pegawai penyiasat melaporkan 50 kilogram bom di dalam silinder gas diletakkan di bawah tempat duduk penumpang di bahagian depan sebuah trak pikap di bawah flet itu. - BP

PATTANI: Sekumpulan lelaki disyaki pemberontak Islam menembak mati seorang anggota polis dan dua penganut Buddha dalam dua serangan berasingan di selatan Thai semalam.

Pesara polis berusia 64 tahun itu sedang bersenam bersama beberapa rakan apabila dia ditembak oleh dua penyerang tidak dikenali di Pattani, kata polis.


Seorang lagi anggota polis dan dua guru cedera parah.

Sementara itu, seorang lelaki Buddha berusia 23 tahun dan ibunya juga terbunuh selepas ditembak oleh penyerang yang menunggang motosikal, juga di Pattani.


Lebih 4,500 orang terbunuh sejak penduduk tempatan bangkit untuk menuntut pemerintahan autonomi daripada kerajaan Thailand di selatan negara itu sejak awal 2004.


Serangan semalam menyusuli pembunuhan seorang sami Buddha Sabtu lalu yang turut mencederakan dua sami lain, seorang daripadanya parah. Penduduk Islam tempatan menentang kehadiran puluhan ribu anggota polis, tentera dan pengawal penganut Buddha di Pattani, Yala dan Narathiwat yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada wilayah kerajaan bersultan sebelum ia dikuasai oleh Thailand kira-kira seabad lalu. - Reuters

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal