Bismillahirrahmanirrahim

Monday, September 28, 2009

NARATHIWAT: Kumpulan pemberontak didakwa menembak mati tiga penduduk tempatan dalam kejadian berasingan, kata polis semalam.

Seorang pegawai tentera berpangkat sarjan dan isterinya diserang tiga lelaki bersenjata petang kelmarin ketika mereka pulang menaiki motosikal.

Polis berkata, pegawai tentera itu mati di tempat kejadian, manakala isterinya di hospital.

Semalam, seorang pengawal sukarela maut dan seorang ketua kampung cedera apabila sebutir bom diletupkan berhampiran sebuah masjid di Yala. - AFP

Saturday, September 26, 2009

MILF mahu Jepun sertai ICG

MAGUINDANAO - Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mahu Jepun terus aktif dan memainkan peranan penting dalam proses damai di selatan Filipina.

Pengerusi MILF, Al Haj Murad semalam berkata, Jepun menunjukkan keikhlasan dengan pendirian konsistennya dalam mendesak Manila memberikan keadilan, keamanan dan pembangunan di wilayah ini.

Beliau menyifatkan usaha menjemput Jepun menyertai Kumpulan Hubungan Antarabangsa (ICG) bagi memudahkan proses damai sebagai langkah yang tepat.

"Kami mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan bahawa MILF sudah memutuskan untuk menjemput kerajaan Jepun, berdasarkan prosedur sedia ada, untuk turut serta dengan ICG dalam proses damai GRP-MILF," katanya kepada menteri politik di Kedutaan Jepun, Hitoshi Ozawa kelmarin.:

Satu artikel yang disiarkan dalam laman web MILF semalam mendakwa Ozawa bertemu Al Haj di Kem Darapanan MILF di bandar Sultan Kudarat dalam wilayah Muguindanao kelmarin.:

Thursday, September 24, 2009

Filipina tahan komander MILF

COTABATO: Tentera Filipina semalam mendakwa menahan pemimpin kanan kumpulan pemisah negara itu yang dikehendaki kerana terbabit dalam beberapa serangan.

Bagaimanapun, kumpulan berkenaan berkata, tentera tersilap orang.

Pemimpin kanan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) Camarudin Hadji Ali yang juga dikenali sebagai Panglima Mudi, ditahan semalam ketika melawat isterinya di sebuah bandar di selatan Filipina, kata jurucakap tentera, Kolonel Jonathan Ponce.

“Camaruddin ialah pemimpin Markas ke-105 MILF di bawah pemerintahan Ameril Umbrakato. Kedua-dua mereka dikehendaki kerana terbabit dalam serangan yang menyebabkan kematian di Mindanao tahun lalu,” kata Ponce.

Ameril dan seorang lagi panglima MILF mencabuli gencatan senjata lima tahun tahun lalu dan melancarkan serangan terhadap tentera kerajaan di Mindanao selepas merasa ditipu oleh pihak berkuasa Filipina.

Serangan itu menyebabkan 300 orang mati dan lebih 750,000 penduduk menjadi pelarian. Ia menyusuli keputusan Mahkamah Agung Filipina menolak rangka perjanjian damai antara kerajaan dengan MILF yang akan membolehkan kumpulan itu menguasai sebahagian besar Mindanao.

Kerajaan sebelum ini menawarkan hadiah RM73,000 kepada sesiapa yang dapat menangkap atau membunuh Camarudin.

Bagaimanapun, jurucakap MILF, Eid Kabali berkata, tidak ada pegawai kanan kumpulan itu ditangkap.

“Tentera tersilap orang,” katanya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa lelaki yang ditangkap itu juga bernama Camarudin. - AP

Tuesday, September 22, 2009

MILF berhati-hati

SEKUMPULAN mujahidin yang bersenjata berat mengawal ketat kawasan sekitar sebuah pejabat dua tingkat ketika pemimpin mereka berjalan perlahan-lahan memasukinya.

Pada usia 61 dan bercermin mata, Murad Ebhraim kelihatan lebih kepada seorang datuk berbanding pemimpin Barisan Pembebasan Islam Filipina (MILF) yang sudah sekian lama memperjuangkan sebuah negara Islam yang merdeka di Mindanao daripada Filipina yang majoriti penduduknya penganut Katolik.

Bagaimanapun, kecacatan pada jarinya menjadi bukti kepada pembabitannya selama beberapa tahun sebagaii ketua Angkatan Tentera Islam Bangsamoro sebelum memegang jawatan pengerusi pertubuhan itu pada 2003.

Kini, dengan usia yang semakin meningkat bekas pelajar kolej kejuruteraan awam itu berkata, dia mahu melihat keamanan dan menyelamatkan generasi muda Islam Moro daripada terus hidup sengsara.

“Pucuk kepimpinan MILF sungguh ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk berdepan dengan proses keamanan,” kata Murad kepada sekumpulan wartawan yang mengunjunginya di Kem Dapanan, sebuah wilayah besar yang bersempadan dengan beberapa bandar Mindanao yang dianggap kerajaan sebagai pusat politik kumpulan itu.

Menurutnya, perjuangan mendapatkan sebuah negara merdeka di selatan telah mengorbankan begitu banyak nyawa.

Beliau mahu menyekatnya sebelum ia MILF dikuasai pejuang muda yang semakin radikal.

“Sudah 40 tahun sengketa berdarah ini berlaku dan ia boleh berlarutan ke generasi akan datang dan seterusnya generasi berikutnya,” katanya.

Lebih 150,000 orang terbunuh sepanjang tempoh itu.

Ia satu perjalanan yang jauh bagi Murad yang dilahirkan pada 1948 di bandar Sultan Kudarat yang serba daif yang juga menjadi kubu kuat MILF.

Beliau mula terbabit dalam perjuangan itu pada 1960-an ketika menuntut di Universiti Notre Dame yang dikendalikan oleh kumpulan Katolik di Mindanao ,

Walaupun tidak mengesahkannya, sumber kerajaan Filipina percaya beliau menyertai mujahidin anti-Soviet yang berjuang di samping pemimpin al-Qaeda ketika ini, Osama bin Laden, di Afghanistan pada 1980-an.

Murad mula menjadi pejuang pada usia 22 selepas bertemu dengan Nur Misuari dan ulama yang mendapat pendidikan Mesir, Salamat Hashim, pemimpin gerakan kemerdekaan Islam yang dikenali sebagai barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Perbezaan pendapat antara mereka memaksa Murad dan Salamat keluar dari MNLF dan menubuhkan MILF.

MNLF kemudian menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada 1996 sementara MILF meneruskan perjuangan mereka.

Tetapi kini Murad bercakap mengenai kesan kebimbangannya terhadap sengketa yang berlaku, lebih-lebih lagi sepanjang 12 bulan lalu.

Sengketa terbatu itu bermula dengan keputusan kerajaan Filipina yang membatalkan persetujuan yang akan membolehkan MILF menguasai politik dan ekonomi di 700 wilayah di Mindanao yang didakwanya sebagai tanah pusaka bangsa Moro.

Sebagai tindak balas, dua panglima MILF bertindak melancarkan serangan terhadap tentera Filipina menyebabkan pertempuran meletus, meragut lebih 300 nyawa dan lebih 750,000 penduduk menjadi pelarian.

“Kita menyaksikan penderitaan orang awam sepanjang 12 bulan lalu. Kehidupan mereka begitu sengsara,” katanya.

Kedua-dua pihak akhirnya mengisytiharkan gencatan senjata baru Julai lalu dan baru-baru ini menunjukkan hasrat untuk meneruskan rundingan damai.

Rundingan itu mungkin peluang terakhir untuk mencapai keamanan kerana barisan berikut yang bakal mengetuai MILF adalah pejuang berusia antara 30-an dan 40-an tahun yang tidak tahu apa-apa kecuali berperang.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalamannya, Murad memberi amaran, di samping memburu keamanan, MILF juga meningkatkan kekuatannya sebagai persediaan jika kerajaan Filipina sekali lagi menipu dan membatalkan perjanjian yang sudah dipersetujui.

“Latihan untuk pemimpin muda kini tertumpu kepada pembinaan negara dan ke arah keamanan.

“Tetapi pada masa sama, ia juga ditumpukan ke arah keadaan yang akan memaksa kami mempertahankan diri,” katanya. - AFP

Sunday, September 20, 2009

MILF beri amaran terakhir

SULTAN KUDARAT, Filipina 19 Sept. - Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ibrahim hari ini memberi amaran, rundingan damai akan datang mungkin menjadi peluang terakhir untuk menyelesaikan konflik dengan kerajaan Filipina secara aman.

Murad juga memberi amaran 'huru-hara' akan meletus jika kerajaan gagal memeteraikan perjanjian damai dengan pertubuhannya.

"Jika siri rundingan kali ini tidak berjaya, saya tidak nampak kemungkinan satu siri lagi akan diadakan. Kami merasakan huru-hara boleh meletus jika rundingan kali ini tidak mencapai kemajuan," katanya kepada AFP.

Kegagalan itu boleh membawa kepada situasi di mana gerila MILF tidak lagi dapat dikawal, tegas beliau.

"Keadaan sedemikian akan berlarutan daripada generasi ke generasi," katanya, sambil menambah kata, kebanyakan pejuang MILF, kini berusia antara 30-an hingga 40-an, membesar semasa kemuncak pertempuran dan mereka kini 'lebih berani dan lebih radikal'.

Beliau menuduh kerajaan hanya berpura-pura menyokong proses damai dan menggunakan proses itu sebagai sebahagian pelan antipemberontakan, bukan sebagai cara untuk mencapai perdamaian.

Menurut Murad, MILF akan menerima apa sahaja yang dapat mereka tuntut dalam rundingan di bawah kerajaan Presiden Gloria Macapagal Arroyo tetapi 'yang penting ialah kami memperlihatkan kejujuran kami'.

Pengerusi itu turut menegaskan bahawa MILF tidak akan menyerahkan dua komandernya kepada kerajaan, sekalipun mereka melancarkan serangan berdarah pada tahun lepas.

Beliau yang bercakap di sebuah kem MILF di pinggir bandar Cotabato, selatan Filipina hari ini berkata, MILF tidak akan tunduk kepada tuntutan supaya mereka menyerahkan Ameril Umbrakato dan Abdulrahman Macapaar yang didakwa melancarkan serangan ke atas perkampungan majoriti penduduk Kristian di pulau Mindanao pada Ogos 2008.

"Tidak mungkin kami menyerahkan mereka. Kerajaan telah memfailkan kes terhadap mereka tetapi kami tidak mengiktiraf kes itu," katanya kepada AFP.

Menurut Murad, siasatan mengenai insiden tersebut perlu dijalankan oleh pihak ketiga dan jika kedua-dua mereka didapati melanggar undang-undang tertentu, 'maka kami perlu menghukum mereka berdasarkan undang-undang kami'.

Beliau memberi amaran, 'keyakinan dan kepercayaan hancur sama sekali' selepas Mahkamah Agung Filipina pada tahun lepas membatalkan draf perjanjian damai dengan MILF ekoran bantahan meluas daripada masyarakat Kristian.

Tindakan mahkamah itu mendorong Ameril dan Abdulrahman melancarkan serangan yang menyebabkan berpuluh-puluh orang maut dan lebih setengah juta penduduk terpaksa melarikan diri.

MILF menandatangani perjanjian dengan kerajaan Filipina di Malaysia pada Rabu lalu bagi membenarkan perantara damai antarabangsa menyertai rundingan untuk menamatkan pemberontakan di selatan negara ini sejak puluhan tahun lalu. - AFP

Friday, September 18, 2009

YALA: Suspek pemisah Islam menembak mati dua anggota polis dan dua orang awam di selatan Thailand ketika keganasan melingkari Ramadan yang menuju penamatnya, kata polis semalam.

Serangan di rantau majoriti Islam bersempadan Malaysia semakin memuncak ketika bulan puasa tradisi dan bersolat, menambah jumlah sekitar 3,900 orang yang maut dalam pemberontakan lima tahun.

Lelaki bersenjata menembak mati seorang sarjan polis pengawal sempadan beragama Buddha ketika dia sedang memandu untuk mengambil isterinya, seorang guru di wilayah bergolak Pattani kelmarin, kata polis.

Seorang lagi anggota polis Buddha terbunuh dalam satu serbuan ketika berkawal di wilayah Pattani lewat kelmarin ketika dua lagi anggota pengawal cedera parah, kata mereka.

Juga di Pattani, lelaki bersenjata menembak seorang penolong ketua kampung di sebuah pasar makanan kelmarin dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, kata polis.

Dalam kejadian berasingan seorang lelaki Islam ditembak mati dan terbunuh dalam kedai runcitnya di wilayah Narathiwat oleh dua lelaki yang berpura-pura menjadi pelanggan, kata mereka. - AFP

Wednesday, September 16, 2009

MANILA 16 Sept. - Kerajaan Filipina hari ini mengumumkan pihaknya telah bersetuju untuk membenarkan perantara damai antarabangsa terlibat dalam rundingan dengan pejuang pemisah Islam yang memperjuangkan kemerdekaan di selatan negara ini sejak berdekad-dekad lalu.

Persetujuan untuk melibatkan perantara terdiri daripada wakil Persidangan Pertubuhan Islam (OIC), Kesatuan Eropah (EU) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menandakan satu 'kemajuan besar' dalam usaha mencari perdamaian, menurut satu kenyataan kerajaan.

Kerajaan dan kumpulan pejuang pemisah terbesar di negara ini, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menandatangani perjanjian bagi membentuk rangka kerja pembentukan 'Kumpulan Hubungan Antarabangsa' (ICG) semasa rundingan tertutup di Malaysia malam tadi.

Manila awal semalam mengumumkan bahawa ia menjangka rundingan damai rasmi dengan MILF disambung semula selepas berakhirnya bulan Ramadan pada minggu depan.

"Pembabitan ICG adalah kemajuan besar dalam usaha untuk mencapai perdamaian berkekalan di Mindanao," kata ketua perunding kerajaan, Rafael Seguis dalam satu kenyataan.

Pusingan rundingan sebelum ini dihentikan pada tahun lalu selepas dua komander kanan MILF melancarkan serangan bersepadu di beberapa pekan dan wilayah majoriti penduduk Kristian di pulau Mindanao.

Mereka bertindak demikian selepas Mahkamah Agung Filipina menolak draf perjanjian yang memberi kuasa autonomi kepada MILF ke atas 'tanah warisan' mereka yang meliputi lebih 700 pekan dan kampung di selatan negara ini.

Dalam pertempuran yang meletus kemudian antara kedua-dua pihak di Mindanao, lebih 300 penduduk awam, askar kerajaan dan pejuang MILF terbunuh, manakala 750,000 lagi penduduk terpaksa melarikan diri.

Gencatan senjata diadakan pada Julai lalu ketika kedua-dua pihak berusaha untuk menyambung semula rundingan.

MILF sudah lama mengambil pendirian, syarat untuk mereka kembali ke meja rundingan ialah penubuhan sebuah panel perantara damai bagi memantau dan menyelia rundingan.

"ICG akan menjadi pihak ketiga yang duduk di meja rundingan apabila kami menyambung semula rundingan.

"Mereka akan membantu panel-panel perunding MILF dan kerajaan dalam usaha untuk mencapai perjanjian damai akhir. Mereka akan duduk semeja dengan kami untuk bertindak sebagai fasilitator," kata perunding kanan Manila, Avelino Razon. - AFP

Filipina guna broker perdamaian

MANILA: Kerajaan Filipina bersetuju membenarkan broker antarabangsa menjadi orang tengah dalam rundingan dengan pemisah di selatan negara itu.

Ketua perunding kerajaan, Rafael Seguis dalam satu kenyataan berkata, persetujuan membabitkan orang tengah yang akan dipilih daripada Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) adalah 'kejayaan besar' dalam meneruskan rundingan damai.

"Pembabitan 'Kumpulan Hubungan Antarabangsa' (ICG) adalah kejayaan besar dalam usaha mewujudkan perdamaian di Mindanao.

"Kerajaan dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) kumpulan pemisah terbesar, bersetuju menerima kehadiran ICG kelmarin dalam rundingan yang diadakan di Malaysia," katanya.

Manila sebelum itu mengumumkan pihaknya menjangka rundingan dengan MILF disambung semula selepas berakhirnya Ramadan minggu depan. � AFP

Monday, September 7, 2009

YALA: Tiga penduduk Islam, termasuk seorang ketua kampung dan anak perempuannya ditembak mati penyerang tidak dikenali di selatan Thailand, semalam.

Ketiga-tiga mangsa ditembak mati di hadapan rumah ketua kampung itu.

Jurucakap tentera, Kolonel Sawasdi Tiavirat berkata, sekurang-kurangnya tiga lelaki bersenjata M-16 dan AK-47 menyerang hendap mangsa selepas sembahyang Asar.

“Mangsa adalah ketua kampung berusia 61 tahun, anak perempuannya, 35, dan menantunya, 42. Ketiga-tiga mangsa ditembak di dada dan kepala,” katanya.

Serangan itu menyusuli letupan bom trak yang membunuh seorang polis dan mencederakan 10 penduduk kampung Jumaat lalu. Pada Khamis, letupan bom motosikal mencederakan 22 orang.

Kira-kira 3,500 mangsa dilapor terbunuh sejak krisis keselamatan melanda Yala, Pattani dan Narathiwat di selatan Thailand lima tahun lalu. - Reuters

Saturday, September 5, 2009


YALA - Polis Thailand kini memburu Muhammad Ayub Pathan yang dipercayai suspek utama dalam serangan bom di pusat bandar daerah Muang, Yala kelmarin yang menyebabkan seorang pegawai polis maut dan 12 lagi cedera.

Timbalan Gabenor Yala, Krisda Boonrat mengarahkan polis menyiasat rakaman daripada kamera litar tertutup berhampiran kawasan insiden letupan bom kereta itu berlaku.

Namun polis gagal menemui sebarang bukti yang mampu membawa kepada penangkapan suspek pengebom tersebut.

Beberapa saksi mendakwa trak pikap itu sudah berada di kawasan letupan tersebut sejak beberapa hari lalu.

Susulan daripada itu polis bertindak menyiarkan lakaran wajah Muhammad Ayub sambil merayu penduduk di bandar itu membantu pihak berkuasa menjejaki suspek.

Sementara itu, dua remaja lelaki cedera dalam satu pertempuran bersenjata di daerah Yaha dalam wilayah sama pada awal pagi kelmarin.

Di Patani, dua mangsa yang parah akibat terkena letupan bom dalam serangan bom kereta kelmarin kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Dalam insiden berasingan di wilayah sama, seorang ketua kampung dan anak lelakinya maut di Panare pada tengah hari kelmarin selepas diserang hendap pemberontak.

Friday, September 4, 2009

COTABATO (Filipina): Seorang pemberontak pemisah yang dikehendaki kerana terbabit dalam kejadian pengeboman dan membakar dengan sengaja ditahan di selatan Filipina, kata polis, hari ini.

Polis berkata, Smawtin Basilan, ahli kepada kumpulan pemisahan Moro Islamic Liberation Front (MILF) dengan ganjaran AS$12,000 untuk kepalanya, ditahan di kediamannya di bandar Midsayap.

Basilan dipercayai adalah Leftenan tertinggi kepada komander Ameril Umbrakato MILF, satu daripada dua pemimpin MILF yang dikehendaki kerana terbabit dengan serangan berskala besar terhadap bandar kristian dan wilayah di selatan, Ogos lalu. - AFP

Serangan bom di selatan Thai

PATTANI, Thailand 4 Sept. - Letupan sebuah bom di sebuah restoran dipercayai angkara kumpulan pejuang pemisah Islam hari ini, menyebabkan seorang anggota polis terkorban, manakala 12 yang lain cedera.

Jurucakap tentera, Kolonel Parinya Chaidilok berkata, bom seberat 50 kilogram tersebut disembunyikan di dalam trak pikap di luar sebuah restoran di bandar Yala.

Dua daripada mereka yang cedera dalam letupan bom itu adalah anggota polis dan selebihnya orang awam yang berada berhampiran tempat kejadian.

Letupan tersebut turut memusnahkan tiga kenderaan termasuk trak pikap yang membawa bom berkenaan.

Semalam, seramai 11 orang terbunuh, termasuk seorang askar dalam beberapa kejadian keganasan di selatan Thailand, insiden berdarah terburuk sejak beberapa bulan lalu di wilayah bergolak ini.

"Penembak telah menembak mati seorang askar ketika dia sedang menunggang motosikal di wilayah Narathiwat pada malam semalam, manakala seorang timbalan ketua kampung ditembak mati di sebuah kedai teh, di wilayah yang sama beberapa jam kemudian.

"Di wilayah jiran Pattani, seorang guru agama Islam dan anak lelakinya berumur 13 tahun terbunuh selepas mengikutinya melalui pusat wilayah pada lewat semalam," kata polis.

Sebelum itu, penembak turut menembak mati seorang calon pentadbiran tempatan Islam ketika pulang mengerjakan solat di sebuah masjid di Pattani.

Dalam kejadian lain, tiga lelaki Islam turut ditembak mati di wilayah yang sama.

"Penyerang turut menyerbu sebuah rumah di wilayah Yala lalu menembak mati seorang lelaki Islam ketika dia sedang berbuka puasa semalam," kata polis.

Sejak umat Islam di selatan Thailand memulakan ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan, berlaku peningkatan dalam kadar keganasan dan kehadiran kawalan keselamatan yang lebih besar gagal mengekangnya. - AP

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal