Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, September 29, 2010

5 dibunuh di selatan Thailand

PATTANI: Lima penduduk kampung mati ditembak dalam keganasan berterusan di selatan Thai semalam.

Menurut polis, sekurang-kurangnya lima lelaki bersenjata yang menaiki trak melepaskan tembakan terhadap penduduk kampung dan peniaga buah-buahan di Pattani, menyebabkan empat lelaki dan seorang wanita terbunuh awal pagi semalam.

Penyerang turut membakar trak milik seorang mangsa sebelum meninggalkan tempat kejadian.

Tiga mangsa berkenaan beragama Islam dan dua Buddha.

Tiga orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun cedera dalam kejadian itu.

Lebih 4,100 orang terbunuh sejak keganasan meletus di selatan Thai enam tahun lalu.

Penduduk Islam di wilayah itu sudah sekian lama mendakwa ditindas oleh kerajaan pusat yang dikuasai penganut Buddha. - AFP

Militan tembak mati 5 penduduk

YALA: Suspek pemberontak membunuh lima orang dan mengakibatkan tiga parah, termasuk dua kanak-kanak dalam satu serangan tembakan tepi jalan di selatan Thailand, kata polis semalam.

Lima militan berpakaian seperti polis memberhentikan trak pikap mereka awal petang kelmarin berdekatan sebuah gerai buah-buahan di wilayah Pattani dan melepaskan tembakan ke arah penjual dan pelanggan.

Empat lelaki dan seorang wanita, 35, ditembak dan meninggal dunia di hospital berhampiran sementara tiga lain, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, budak lelaki, 7, dan seorang pemuda, 24, cedera parah, kata polis.

Selepas itu, penyerang membakar kereta tanpa penumpang. Kedua-dua penduduk Buddha dan Islam menjadi sasaran penyerang dalam tempoh lebih enam tahun sejak pemberontakan pemisah meletus di wilayah selatan pada Januari 2004. Lebih 4,300 orang terkorban di rantau itu. AFP

Wednesday, September 22, 2010

COTABATO: Kerajaan Filipina akan menawarkan wang dan kerja kepada masyarakat di selatan negara itu ketika Manila mengadakan semula rundingan damai dengan kumpulan pemberontak Muslim di wilayah berkenaan.

Program bantuan itu akan membuka peluang kepada berpuluh ribu penduduk di wilayah bergolak itu mendapat capaian kepada infrastruktur asas dan perkhidmatan kesihatan selain bantuan untuk membina semula kediaman mereka, kata Penasihat kepada Presiden Filipina, Teresita Deles. Kerajaan mahu mengurangkan jurang berikutan apa yang berlaku di meja rundingan dan apa yang dialami penduduk yang terjejas teruk dengan konflik bersenjata yang berlangsung sekian lama, kata Deles. Manila berhasrat memulakan semula rundingan damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) seawal-awalnya Oktober depan.

Kumpulan dengan keahlian 12,000 orang itu sudah melancarkan pemberontakan sejak 1978 untuk mendapatkan tanah air sendiri di wilayah selatan negara yang dikuasai penduduk Katolik itu.

Pemberontakan itu sudah menyaksikan hampir 150,000 orang terkorban sejak 1978.
Pertempuran terbaru pada Ogos 2008 menyaksikan hampir 400 orang terkorban dan lebih 750,000 penduduk terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka dan duduk di pusat perlindungan sementara.
Deles berkata kerajaan akan melaksanakan skim jaminan kerja kepada sekurang-kurangnya seorang dalam satu keluarga yang terjejas oleh konflik berkenaan, manakala latihan kemahiran juga akan ditawarkan.

Ketika rundingan dijalankan, kerajaan akan meneruskan usaha untuk memberi bantuan kepada penduduk di kawasan terjejas, kata Deles.

Program ini yang akan memuncak pada Januari tahun depan akan mempunyai tempoh tiga tahun, katanya. AFP

Sekolah jadi markas askar

BANGKOK: Sekolah dibakar dan guru pula dibunuh militan Islam di selatan Thailand ekoran daripada tindakan tentera Thai menggunakan sekolah berkenaan sebagai markas tentera.

Sesetengah guru terpaksa membawa senjata api bagi mempertahankan diri sementara peluru pula dibekalkan secara percuma oleh pihak berkuasa Thailand, lapor Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan dalam 111 halaman laporan mereka. Kumpulan yang beribu pejabat di New York itu menggesa kerajaan Thailand supaya melarang pihak tentera menggunakan sekolah sebagai markas kerana tindakan itu membahayakan nyawa pelajar, di samping menjejaskan pendidikan mereka.


Menurut laporan itu, kira-kira 327 sekolah kerajaan dibakar dan 135 guru serta kakitangan sekolah terbunuh diserang militan.


Militan Islam mula melakukan pemberontakan pada 2004 dan menyebabkan kira-kira 4,200 nyawa terkorban di wilayah selatan Thailand. Tiga wilayah yang menjadi sasaran serangan ialah Yala, Pattani dan Narathiwat yang majoritinya dihuni umat Islam. - AP

Sunday, September 19, 2010

Pemisah tembak 4 penduduk

NARATHIWAT: Suspek pemisah menembak dan membunuh empat penduduk Buddha di selatan bergolak Thailand sebelum membakar rumah mangsa, kata polis semalam.

Sekumpulan 10 lelaki bersenjata berpakaian seragam rasmi, menaiki trak pikap dan motosikal, menyerbu tiga rumah di wilayah ini lewat kelmarin dan melepaskan tembakan ke arah penduduk sebelum membakar rumah mereka.

Seorang lelaki 83 tahun, wanita 76 tahun dan pasangan suami isteri keduanya berusia 58 tahun terkorban dalam serangan itu, kata polis tempatan, menambah bahawa mereka percaya pemberontak mahu mengusir penduduk Buddha keluar dari perkampungan itu.
Sejak militan memulakan pemberontakan pada Januari 2004, lebih 4,300 orang kedua-duanya penduduk Buddha dan Islam dibunuh di wilayah selatan majoriti Islam itu. AFP

Monday, September 13, 2010

Pemisah Islam sedia runding

MANILA: Pemisah Islam di selatan Filipina semalam berkata, mereka sudah bersedia untuk kembali mengadakan rundingan dengan kerajaan.

Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dalam satu kenyataannya berkata, mereka sudah mewujudkan semula pasukan perunding dan kini menunggu maklumbalas dari Malaysia mengenai tarikh rundingan di Kuala Lumpur.

“Perkembangan ini bermakna kami sudah bersedia untuk mengadakan semula rundingan.

“Kami sudah mengemukakan senarai nama jawatankuasa damai kepada Kuala Lumpur dan kami berharap kerajaan jujur dalam rundingan,” kata ketua perunding, Mohagher Iqbal.

MILF yang mempunyai 12,000 anggota sudah mengadakan pemberontakan sejak lebih tiga dekad untuk mewujudkan sebuah negara Islam berasingan di kepulauan Mindanao, di selatan negara itu.

Lebih 150,000 orang terbunuh di wilayah itu yang turut menjejaskan perkembangan ekonomi Mindanao yang kaya sumber asli.

Presiden Benigno Aquino sebelum ini berkata, rundingan dengan MILF akan diadakan selepas Ramadan, tetapi tidak menyatakan tarikh sebenar. – AFP

Tuesday, September 7, 2010

NARATHIWAT: Empat orang terbunuh dalam keganasan di selatan Thai semalam, termasuk seorang guru yang kematiannya mencetuskan gesaan supaya sekolah di seluruh wilayah terbabit ditutup.

Guru berusia 54 tahun itu ditembak mati, dipercayai oleh kumpulan pejuang pemisah ketika dalam perjalanan ke sekolah di Narathiwat bersama isterinya yang cedera dalam serangan itu.


Mangsa adalah guru yang ke-134 mati di wilayah yang dilanda keganasan itu sejak awal 2004.


Sehubungan itu, Persatuan Guru Narathiwat menggesa semua sekolah di wilayah itu ditutup selama tiga hari untuk membolehkan pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan.


“Kami tidak mahu lebih ramai guru mati kerana mereka tidak diberi perlindungan,” kata ketua persatuan, Boonsom Thongsriplai.


Sebahagian daripada lebih 400 sekolah kerajaan di wilayah itu dipercayai sudahpun ditutup. - Reuters

YALA: Insiden tembakan dan pengeboman menyebabkan sekurang-kurangnya enam terbunuh, termasuk seorang guru dan mencederakan 13 yang lain dalam kejadian terbaru di wilayah selatan Thailand.

Guru berusia 54 tahun berkenaan terbunuh manakala isterinya cedera ketika pasangan terbabit dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah sekolah di wilayah Narathiwat pagi semalam. Beliau adalah guru ke-134 yang terbunuh sejak pemberontakan melanda wilayah terbabit pada 2004.

Dalam kejadian berasingan di wilayah Pattani, seorang penduduk kampung berusia 52 tahun ditembak mati ketika meninggalkan rumah mereka lewat kelmarin manakala seorang pengawal keselamatan berusia 55 tahun terbunuh ketika beliau dalam perjalanan ke sebuah sekolah.

Kejadian tembakan lain membabitkan seorang wanita Islam berusia 51 tahun yang terbunuh ketika beliau berjalan ke sebuah masjid tempatan bagi menunaikan solat, dalam kejadian di wilayah berjiran, Yala.

Pada hari yang sama di Yala, dua letupan mencederakan enam orang termasuk seorang askar manakala satu kejadian pengeboman tepi jalan di bahagian lain di wilayah itu menyebabkan tiga askar cedera ketika dalam rondaan berjalan kaki.

Tiga penduduk Islam juga cedera akibat tembakan yang dilepaskan ke arah trak pikap mereka dalam kejadian di Narathiwat.

Lebih 4,300 orang kehilangan nyawa dalam kejadian di wilayah selatan Thailand sejak keganasan tercetus lebih enam tahun lalu di mana militan sering mensasarkan penduduk Islam dan Buddha termasuk kebanyakan mereka adalah penduduk awam. – AFP

Friday, September 3, 2010

YALA: Dua orang terbunuh dalam pertempuran antara pemisah selatan Thai dengan tentera negara itu di sini, semalam.

Mereka yang terbunuh dalam pertempuran selama 20 minit itu ialah seorang sarjan tentera, berusia 28 tahun dan seorang lelaki berumur 27 tahun yang didakwa terbabit dalam satu serangan bom sebelum ini.

Dua lagi anggota tentera cedera dalam kejadian di Kampung Yupo itu.

Menurut polis, pertempuran berkenaan meletus apabila sembilan anggota tentera cuba menyerbu sebuah rumah yang disyaki didiami kumpulan pemisah.
Lebih 4,300 orang terbunuh di selatan Thai sejak keganasan mula meletus pada awal 2004. - AFP

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal