Bismillahirrahmanirrahim

Tuesday, June 30, 2009

NARATHIWAT, Thailand 30 Jun - Seorang guru beragama Islam bersama seorang remaja terbunuh, dipercayai dilakukan oleh pejuang pemisah Islam di wilayah selatan negara ini.

Guru sekolah berusia 25 tahun dan remaja berumur 19 tahun itu dikatakan ditembak oleh dua pejuang pemisah Islam, yang mengekori mereka sebaik mereka keluar dari sekolah petang dengan menunggang sebuah motosikal.

Polis menemui 25 kelongsong peluru senjata M-16 di tempat kejadian dalam serangan yang berlaku di wilayah Narathiwat, kata polis.

Kedua-dua mangsa merupakan mangsa terbaru serangan pejuang pemisah Islam di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat.

Guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah agama sering menjadi sasaran kerana puak pemisah menganggap Bangkok menggunakan sistem pendidikan untuk mengembangkan budaya Buddha di wilayah selatan. - AFP

Kafe dibom: Tiga maut

COTABATO (Filipina): Letupan bom di sebuah kafe di selatan Filipina membunuh tiga pelanggan dan mencederakan 15 yang lain, semalam.

Seorang daripada tiga korban didakwa seorang lelaki yang meletakkan bom itu ke dalam tong sampah berhampiran kafe di Datu Saudi Ampatuan, kawasan yang didiami majoriti penduduk Islam di Mindanao.

“Sebutir bom meletup terlalu pantas menyebabkan pembawa bom terbunuh,” kata jurucakap tentera, Mejar Randolph Cabangbang.

Beliau mendakwa serangan dilakukan kumpulan serpihan Gerakan Pembebasan Islam Moro (MILF).

“Pakar bom melaporkan dua bom meletup serentak dan mereka masih mencari bom ketiga,” kata paderi Eduardo Vasquez yang menyaksikan letupan itu.

Bagaimanapun, MILF yang berjuang menuntut kemerdekaan di selatan Filipina menafikan terbabit dalam serangan dan menuduh pihak berkuasa Filipina yang bertanggungjawab melakukan serangan itu.

“Penduduk kampung melihat sekumpulan tentera tiba di kawasan itu sebelum subuh dan beberapa jam kemudian letupan itu berlaku,” kata jurucakap MILF, Eid Kabalu.

Serangan itu adalah yang kedua di wilayah itu sejak tiga hari lalu. Dalam serangan pertama, sembilan orang cedera selepas bom meletup di depot bas Tacurong. Polis turut menuduh MILF melancarkan serangan itu.

Krisis keselamatan di selatan Filipina kembali bergolak selepas mahkamah tinggi Filipina membatalkan perjanjian damai yang ditawar Presiden Gloria Arroyo kepada MILF.

Perjanjian itu dibatal kerana ia memberi hak pemerintahan autonomi kepada golongan Islam di wilayah selatan dan didakwa ahli politik Kristian tidak sepatutnya dilaksanakan. - AFP

Saturday, June 27, 2009

3 maut di selatan Thai

Ketegangan berlaku selepas pasukan peronda diserang

BANGKOK: Seorang anggota tentera, polis dan suspek pemisah maut dalam pertempuran di selatan Thailand yang bergolak, kata pasukan keselamatan semalam.

Wartawan Reuters yang berada di tempat kejadian melaporkan sekurang-kurangnya dua pemisah dikepung di dalam sebuah rumah selama lima jam tetapi berjaya melarikan diri, walaupun 200 anggota polis dan tentera mengepung bangunan berkenaan.

"Pasukan keselamatan merempuh rumah berkenaan selepas menunggu lima jam tetapi mereka hilang," kata seorang anggota polis.

Ketegangan berlaku selepas penyerang tidak dikenali menyerang pasukan peronda tentera dan polis awal semalam di Yala, sebuah daripada tiga wilayah berhampiran sempadan Malaysia yang menyaksikan hampir 3,500 orang terbunuh dalam pergolakan selama lima tahun.

Selepas anggota polis, tentera dan suspek militan maut dalam pertempuran, penyerang lain berundur ke sebuah rumah berhampiran dan tidak mengendahkan desakan pasukan keselamatan supaya mereka menyerah diri. � Reuters

Wednesday, June 24, 2009

'Jangan salahkan sekolah pondok'

PATTANI: Pertubuhan Pembebasan Bersatu Patani (Pulo) menolak laporan Kumpukan Krisis Antarabangsa (ICG) bahawa sekolah pondok adalah tempat merekrut militan di Selatan Thailand.

Ketua hal-ehwal luarnya, Kasturi Mahkota dalam satu kenyataan menyifatkan laporan ICG itu akan dieksploitasi kumpulan nasionalis ultra Thai serta menolak dakwaan bahawa sistem sekolah pondok digunakan untuk mempromosi keganasan, lapor akhbar Thailand, semalam.

Bagaimanapun, penganalisis ICG, Rungrawee Chalermsripinyorat, menegaskan laporan pertubuhan itu tidak menyatakan semua sekolah menjadi tempat merekrut dan mengakui mungkin beberapa sekolah pondok saja terbabit.

Katanya, tidak semua pentadbir, guru dan sekolah sedar aktiviti itu dan mustahil melepaskan mereka.

"Ada sekolah digunakan untuk menutup kegiatan subversif. Kami tidak menyalahkan semua institusi Islam.

"ICG sudah tentu tidak berniat menjejaskan sistem sekolah pondok di selatan Thailand. Kami percaya sekolah itu perlu untuk mendidik golongan muda Islam dan menjadi penting bagi masyarakat mereka," katanya.

"Kami tidak setuju dengan tindakan menutup sekolah itu. Kami menekankan perlunya kerajaan menangani faktor yang menjadi punca orang Melayu mengangkat senjata." � Agensi

BANGKOK 24 Jun – Satu kumpulan pemisah, yang berjuang bagi kemerdekaan tiga wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam di Selatan Thai, menafikan laporan Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) bahawa sistem sekolah pondok Islam digunakan untuk menyebarkan keganasan.

Ketua Hal Ehwal Antarabangsa bagi Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), Kasturi Mahkota berkata, pihaknya percaya laporan seumpama itu bertujuan untuk memburuk-burukkan sistem sekolah agama di wilayah selatan.

Tambahan pula katanya, kehidupan yang aman di pondok yang menjadi pusat pendidikan dan institusi yang dihormati masyarakat kini banyak diganggu dengan elemen campur tangan Thai.

“Daripada campur tangan dengan institusi agama di Pattani yang menekankan pengajaran dan nilai moral, kenapa tidak kerajaan Thai melihat sendiri keadaan sistem pendidikannya,” soal Kasturi dalam kenyataannya yang dimuatkan ke dalam laman web PULO.

Katanya, laporan “merekrut militan di selatan Thai” yang dikeluarkan pada Isnin lalu, nampak seolah-olah dibuat untuk kepentingan dan bagi pihak pergerakan ultra-nasionalis Thai yang jelas menunjukkan mengenai tipisnya etika kewartawanan yang neutral dalam membuat liputan mengenai konflik di Pattani.

Dalam laporan itu, ICG berkata, sekolah swasta Islam atau pondok telah menjadi pusat pembiakan bagi pemberontak memandangkan kumpulan pemisah menggunakannya sebagai tempat untuk merekrut dan melatih remaja Islam.

Lebih 3,500 orang terbunuh dalam siri keganasan sejak kumpulan pemisah menyambung semula kempen bersenjata pada Januari 2004 bagi mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat yang mempunyai penduduk majoriti Islam. – BERNAMA

Monday, June 22, 2009

Militan rekrut pelajar agama


GAMBAR 2004 menunjukkan pelajar di sebuah sekolah agama di Pattani.

Keganasan berpunca rebutan kuasa pemisah tempatan selatan Thailand

BANGKOK: Militan di selatan Thailand menggunakan sekolah agama untuk merekrut pejuang bagi pergelutan bersenjata etnik-nasionalis menentang kerajaan, menurut laporan dikeluarkan semalam.

Dalam kajian 20 muka, Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) berkata serangan hampir setiap hari di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani adalah sebahagian usaha merebut kuasa oleh pemisah yang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pelampau atau pergerakan jihad global.

Hampir 3,500 terbunuh sejak 2004 di wilayah bersempadan Malaysia yang menjadi empayar kesultanan Melayu Islam bebas sehingga dijadikan sebahagian Thailand beragama Buddha sekurun lalu.

"Bilik kelas adalah sasaran hubungan pertama," kata laporan.

"Pengambil rekrut menjemput mereka yang dilihat menepati ciri penganut Islam yang taat yang bersimpati dengan sejarah penindasan, layanan buruk dan idea jihad bersenjata untuk menyertai program penanaman fahaman di masjid atau pada latihan bola sepak yang disalah gunakan."

Kajian ICG dikumpul selama lebih 16 bulan dan pendedahannya dibuat selepas peningkatan keganasan yang menyaksikan 38 orang terbunuh dan lebih 60 cedera sejak dua minggu lalu antaranya tentera, polis, sami Buddha dan jemaah masjid.

Laporan berkata pergerakan penentang adalah perjuangan untuk melindungi identiti etnik rantau berbangsa Melayu dan pencabulan hak asasi manusia oleh pasukan keselamatan menambah sokongan kepada pergerakan pemisah."

"Sekolah agama penting dalam usaha meneruskan identiti Melayu Islam dan ramai pelajar mudah menerima pujukan untuk mengangkat senjata menentang kerajaan," kata ICG.

"Ini bukanlah pergelutan perpaduan dengan jihad global, ia berbentuk pemberontakan etnik-nasionalis mensasarkan merebut kembali apa yang dikatakan kesultanan bebas Pattani."

Laporan mendakwa pergerakan pemisah bergantung sepenuhnya kepada guru untuk merekrut pejuang muda, yang akan mengangkat sumpah komitmen dan kerahsiaan sebelum menyertai rangkaian sulit, pelbagai sel yang mana kepemimpinannya tidak pernah didedahkan namanya. - Reuters

BANGKOK 22 Jun – Sekolah pondok didakwa menjadi tempat melahirkan pemberontak di Selatan Thai dan kumpulan pemisah didakwa menggunakan mereka untuk merekrut dan melatih remaja Islam.

International Crisis Group (ICG), yang beribu pejabat di Brussels, Belgium dalam laporan terkini bertajuk: `Merekrut Militan di Selatan Thailand’ berkata, terdapat lebih 100,000 pelajar di sekolah-sekolah pondok, dengan pengambilan dianggarkan antara 1,800 hingga 3,000 pejuang.

“Mereka yang merekrut merayu etnik Melayu agar berbangga dengan nasionalisme kesultanan lama Pattani. Mereka memberitahu pelajar di sekolah-sekolah (pondok) bahawa adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Islam untuk mengambil balik tanah mereka daripada penganut Buddha yang kafir,” kata penganalisis ICG Thai Rungrawee Chalermsripinyorat.

Beliau berkata, kelas pondok merupakan permulaan hubungan juru rekrut mencari pelajar yang alim, kuat bekerja dan berperangai baik untuk menyertai program penyemaian aktiviti luar, sambil menambah kata bahawa pelajaran agama, aktiviti lawatan dan sukan menyediakan peluang bagi menilai pelajar dalam tempoh antara beberapa bulan dan setahun. – BERNAMA

Saturday, June 20, 2009

BANGKOK - Beberapa siri ujian saintifik dan DNA menunjukkan serangan yang berlaku di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, daerah Cho Airong di wilayah Narathiwat bukan dilakukan oleh anggota keselamatan Thailand.

Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban menegaskan ujian forensik yang dijalankan melalui data DNA yang dikumpulkan di tempat kejadian mengesahkan serangan berkenaan tiada kaitan dengan anggota polis atau tentera.

Dalam pada itu, satu kelopak senapang yang ditemui di tempat kejadian kini sedang diuji bagi mengesan pemilik sebenar senjata berkenaan.

Bagaimanapun, Suthep tidak mahu mendedahkan sebarang butiran lanjut berkenaan ujian itu dan pengumuman akan dilakukan selepas mendapat kebenaran pihak keselamatan.

Suthep menegaskan anggota polis dan tentera kini mengambil tindakan lebih keras agresif untuk mengawal keselamatan di wilayah selatan dan bertindak mengepung beberapa kawasan yang disyaki menjadi tempat persembunyian suspek.

Kelmarin, polis mendedahkan butiran lanjut mengenai empat militan yang maut dalam pertempuran dengan anggota keselamatan di daerah Bannang Sata di Yala pada Khamis lalu.

Kumpulan berkenaan dilaporkan mencetuskan gelombang ketakutan kepada penduduk Yala, termasuk membunuh penumpang van, memenggal kepala penoreh getah dan seorang pegawai polis.

Lima suspek militan dilaporkan turut berjaya ditahan dan mereka kini sedang disiasat bagi mengenal pasti serangan lain yang mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.

Friday, June 19, 2009

BAN TALUBOH, Thailand 18 Jun - Di sebuah perkampungan di kawasan penduduk Islam selatan Thailand, janji yang diberikan oleh Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva untuk menghulurkan bantuan pembangunan besar-besaran dalam usaha menangani pemberontakan, sudah jelak di fikiran penduduk.

"Wang tidak dapat mengubah apa yang sudah berlaku, tiada sesiapa yang mampu membayar penamat kepada masalah di sini.

"Polisi kerajaan Thailand yang perlu dipersalahkan. Mereka perlu memahami bahawa cara hidup kami adalah berlainan daripada penduduk Thai lain dan wang tidak memberi apa-apa perbezaan," kata Yousuf, merujuk kepada perjuangan pemisah yang telah meragut lebih 3,500 nyawa di Yala, Pattani dan Narathiwat.

Penduduk perkampungan lain juga mempunyai pandangan serupa mengenai rancangan Abhisit yang melibatkan perbelanjaan 54 bilion baht (RM5.58 bilion) bagi memenangi 'hati dan minda' penduduk di tiga wilayah bersempadan dengan Malaysia itu.

Majoriti penduduk adalah etnik Melayu beragama Islam yang menggunakan bahasa Thai sebagai bahasa kedua dan mereka menolak rancangan Abhisit untuk memajukan industri perikanan, penanaman getah dan kelapa sawit, menjadikannya satu lagi kegagalan Bangkok untuk memahami rakyatnya di sana.

"Pegawai yang rasuah akan menyimpan wang itu untuk diri sendiri. Ia adalah idea yang tidak berguna.

"Ia juga mungkin jatuh ke tangan kumpulan militan. Pelaburan tidak akan menghentikan keganasan," kata seorang lagi penduduk, Araware.

Seorang penduduk, Bearmah berpendapat bahawa cara terbaik adalah dengan memanggil pulang 30,000 askar yang dikerahkan di situ selain menghentikan darurat yang memberikan pasukan keselamatan kuasa penahanan.

Perjuangan pemisah sejak 1970-an dan 1980-an bangkit semula pada tahun 2004 dan cubaan kerajaan ketika itu untuk menanganinya dengan kekerasan tentera, pelaburan dan televisyen kabel percuma telah gagal.

Keganasan memuncak dua minggu lalu, dengan 31 terbunuh dan 50 cedera dalam serangan bersenjata dan bom namun tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab.

Ketegangan menambah lagi tekanan kepada kerajaan campuran Abhisit ketika beliau berusaha memulihkan ekonomi yang dilanda kemelesetan selain ketegangan politik sejak penggulingan Thaksin Shinawatra pada tahun 2006.

Terletak di kawasan hutan Pattani, Ban Taluboh adalah kubu kuat Parti Demokrat pimpinan Abhisit namun ramai penduduk masih tidak percaya kepada kemampuan kerajaan menangani keganasan. - Reuters

BANGKOK - Timbalan Perdana Menteri Thailand, Suthep Thaugsuban dan Ketua Polis, Patcharawat Wongsuwon melawat wilayah selatan negara itu semalam untuk meningkatkan kualiti pelan keselamatan bagi mengawal kawasan berkenaan daripada serangan kumpulan bersenjata.

Suthep yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan negara akan meminta anggota polis dan tentera sentiasa memastikan keselamatan guru, masjid dan penduduk kampung.

Beliau berkata akan melakukan susulan terhadap beberapa kes berbeza di wilayah bergolak itu.

Mengenai kritikan pedas yang dilemparkan terhadap usaha kerajaan menangani masalah di selatan Thai, Suthep berharap orang ramai faham tugas memulihkan kembali keamanan bukan mudah.

Menurutnya, kerajaan Thailand akan terus memainkan peranan penting dalam menyelesaikan krisis keselamatan di wilayah selatan dan menjalin kerjasama rapat dengan tentera.

Beliau turut menegaskan usaha memperkenalkan Akta Pusat Biro Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan akan membantu membangunkan kawasan berkenaan dan meningkatkan taraf hidup penduduk kampung.

Thursday, June 18, 2009



BANGKOK - Ketua Polis Thailand, Patcharawat Wongsuwon berkata krisis yang terus berlaku di tiga wilayah selatan Thai berpunca daripada konflik dalaman.

Namun, beliau berkata puak militan mahu menonjolkan konflik di wilayah majoriti penduduk Islam di Yala, Pattani dan Narathiwat ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pemberontak juga mencetuskan kekacauan bagi memudahkan urusan penyeludupan dadah.:

Beliau menggesa kerajaan meningkatkan keupayaan perisikan selepas pergolakan di rantau itu terus mengancam nyawa penduduk awam.

Patcharawat berkata angkatan keselamatan khas perlu diwujudkan di selatan negara itu bagi memastikan kemampuan untuk menangani ancaman.

Dalam kejadian di Yala semalam, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah restoran di daerah Bannang Sata.

Dua guru dan seorang sukarelawan keselamatan cedera dalam insiden itu.

Polis menyalahkan kumpulan pemisah bersenjata sebagai pihak yang bertanggungjawab mencetuskan se:rangan.

Tuesday, June 16, 2009

Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI

KRISIS politik di selatan Thailand terus memuncak dengan kejadian keganasan terus meningkat di tiga wilayah Islam di selatan negara itu sejak kebelakangan ini.

Kejadian terbaru ialah pembunuhan kejam ke atas 11 jemaah masjid di Kampung Air Tempayan, di wilayah Narathiwat.

Sekumpulan lelaki militan bersenjatakan rifel automatik menyerang Masjid Al-Furqan ketika kira-kira 50 jemaah menunaikan solat Isyak.

Mereka melepaskan tembakan rambang di dalam masjid itu, menyebabkan 11 jemaah terkorban termasuk imam masjid berkenaan.

Insiden itu bukanlah kejadian pertama melibatkan serangan ke atas masjid di selatan Thailand. Pada 28 April 2004, kejadian yang lebih gempar berlaku di Pattani apabila 32 orang terbunuh setelah tentera Thailand menggempur Masjid Kerisik atas arahan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra bagi menawan pejuang pemisah Islam yang didakwa bersembunyi di situ.

Tindakan keras yang digunakan oleh kerajaan Thaksin menyebabkan perasaan benci terhadap kerajaan Thai di kalangan penduduk Islam di wilayah itu semakin menebal dan perasaan dendam terus tersemat.

Kini, kerajaan baru Thailand di bawah Perdana Menteri, Abhisit Vijjajiva dilihat bersungguh-sungguh untuk memulihkan keamanan di wilayah selatan itu.

Abhisit memberi jaminan untuk membangunkan kawasan di selatan Thai bagi meningkatkan taraf hidup penduduknya.

Langkah Abhisit itu dilihat wajar pada masa ini bagi mengembalikan keyakinan penduduk Islam yang kini sangat kecewa dengan layanan buruk kerajaan.

Kerajaan selama ini didakwa mengabaikan kebajikan penduduk di selatan negara itu yang majoritinya beragama Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen Thailand untuk Keselamatan Negara, Jehrrming Tohtayong semasa melawat Masjid Al-Furqan mengakui perasaan dendam penduduk Islam terhadap kerajaan cukup tebal.

Ia memuncak daripada insiden di Masjid Kerisik dan kemudiannya tragedi di Tak Bai enam bulan kemudian yang mengorban 84 penduduk Islam. Kini ia diburukkan dengan insiden di Masjid Al-Furqan tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat insiden tembakan di Masjid Al-Furqan bagi menegakkan keadilan dan memastikan dalang kejadian itu diberkas.

Langkah kerajaan Abhisit itu mungkin atas kesedaran bahawa penduduk Islam begitu marah dengan kerajaan pimpinan Thaksin.

Selain itu, dua masalah utama lain di selatan Thailand yang perlu diberi perhatian ialah ekonomi dan pendidikan.

Daripada 76 wilayah, Yala, Pattani dan Narathiwat di selatan Thai berada di tangga terbawah daripada aspek ekonomi dan pendidikan.

Abhisit perlu membangunkan ekonomi dan pendidikan di selatan supaya ketiga-tiga wilayah yang bergolak itu dapat dibangunkan dan taraf hidup penduduknya ditingkatkan bagi mengelak kejadian keganasan terus berlaku.

Hanya dengan cara itu, keamanan di wilayah itu dapat dikembalikan dan masyarakat selatan Thailand yang beragama Buddha dan masyarakat yang beragama Islam dapat hidup bersama dalam aman damai.

BANGKOK 16 Jun — Kumpulan pemberontak menembak mati seorang guru wanita dan meletupkan sebutir bom yang membunuh dua anggota polis hari ini dalam siri serangan terbaru ke atas pegawai-pegawai kerajaan di kawasan selatan Thai yang bergolak.

Seorang jurucakap polis berkata dalam insiden pertama di daerah Raman di Yala, seorang guru berumur 52 tahun yang sedang menunggang motosikal ke sekolah diserang oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali.

Guru wanita itu ditembak di kepala dan mati di tempat kejadian. Lebih daripada 120 guru telah terbunuh sejak lima tahun kebelakangan ini termasuk seorang guru yang hamil lapan bulan awal bulan ini.

Di daerah Saiburi, Pattani, sebutir bom yang diletakkan pada motosikal meletup yang menyebabkan dua anggota polis terbunuh.

Jurucakap polis itu berkata insiden itu berlaku apabila beberapa anggota polis dari balai polis Saiburi mengalihkan sebuah motosikal yang dicurigakan dan membawanya balik ke balai polis untuk siasatan.

Lebih daripada 3,500 orang telah terbunuh dalam insiden keganasan sejak Januari 2004 apanila kimpulan pemisah menyambung semula kempen bersenjata bagi mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.

— BERNAMA

Tiga maut di selatan Thai

YALA - Suspek militan menembak mati seorang guru wanita beragama Buddha di selatan Thailand dan meletupkan bom yang menyebabkan dua anggota polis terbunuh dalam keganasan terbaru di selatan Thailand, semalam.:

:"Guru berumur 56 tahun itu ditembak di wilayah Yala ketika dia menunggang motosikal untuk pergi ke tempat kerja," kata jurucakap polis.

:Pembunuhan terbaru itu berlaku ketika meningkatnya krisis keganasan di wilayah bergolak di selatan Thai yang bersempadan dengan Malaysia.

:Mangsa adalah guru yang ke-117 dibunuh sejak kekacauan kembali meletus di Yala, Pattani dan Narathiwat pada Januari 2004.

:Guru-guru dan sekolah sering menjadi sasaran serangan di wilayah itu kerana militan melihat sistem pendidikan sebagai usaha Bangkok untuk memaksa penduduk yang kebanyakannya etnik Melayu menerima cara hidup agama Buddha.

:Kerajaan Thailand berusaha menangani peningkatan keganasan termasuk serangan di sebuah masjid di Narathiwat yang menyebabkan 10 terbunuh ketika menunaikan solat Isyak.

:Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva kelmarin memberitahu kemungkinan untuk mewujudkan zon pentadbiran khas di selatan Thai sebagai penyelesaian politik kepada pergolakan di rantau itu.

:Namun, beliau menolak kemungkinan untuk memberikan sebarang kuasa autonomi kepada ketiga-tiga wilayah majoriti penduduk Islam.

Penoreh getah, penjaga sekolah mangsa terbaru

YALA: Penyerang yang dipercayai anggota kumpulan pemisah memenggal kepala seorang penoreh getah dan menembak mati seorang penjaga sekolah yang kedua-dua mereka adalah penduduk Buddha dalam kejadian terbaru pemberontakan di Selatan Thailand.

Serangan berlaku di Yala dan Pattani, dua daripada tiga wilayah penduduk Melayu Islam di mana 29 orang dibunuh dan lebih 50 lagi cedera sejak 10 hari lalu antaranya termasuk askar, guru dan sami Buddha.

Mayat mangsa dan kepala penoreh getah berkenaan ditemui di sebuah rumah berhampiran dengan sebuah ladang di daerah Than To, Yala. Ia menjadikan bilangan mereka yang mati dipenggal di wilayah itu melebihi 40 orang sejak keganasan tercetus pada 2004 lalu.

Manakala penjaga sekolah terbabit ditembak mati sekumpulan lelaki bersenjata ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal di wilayah Pattani.

Serangan terhadap penduduk Buddha semakin meningkat sejak kejadian serangan dan tembakan terhadap sebuah masjid di Narathiwat minggu lalu di mana sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati 10 jemaah yang sedang bersolat dan mencederakan lebih 12 yang lain.

Penduduk menyalahkan pasukan keselamatan kerana serangan berdarah terbabit di mana ia dinafikan kerajaan negara itu.

Seorang buruh dari timur laut Thailand ditembak mati dua hari selepas itu dengan sepucuk nota ditinggalkan di tempat kejadian menyebut: "Anda membunuh penduduk kami yang tidak bersalah jadi kami membunuh orang anda."

Seorang sami Buddha ditembak mati manakala seorang lagi cedera parah Jumaat lalu apabila mereka diserang ketika sedang memungut derma daripada penduduk di Yala.

Satu laporan Nonviolence International yang dikeluarkan semalam berkata bahawa keputusan kerajaan melengkapi senjata kepada penduduk awam Buddha dan tiada peraturan jualan senjata menyebabkan ketegangan berterusan di kalangan penduduk Islam dan Buddha di wilayah terbabit.

Kajian terhadap dasar berkenaan menunjukkan bahawa penduduk Melayu Islam di negara itu merasakan mereka tidak mendapat keadilan dan menjadi mangsa diskriminasi.

Misteri terus berterusan membabitkan mereka bertanggungjawab dalam kejadian keganasan di wilayah selatan itu yang sebelum ini diperintah secara bebas oleh kesultanan Melayu Islam sehingga ditawan oleh Buddha Thailand sedekad lalu. � Reuters

Zon khas di selatan Thailand



BANGKOK - Kerajaan Thailand sedang mengkaji idea menjadikan tiga wilayah majoriti penduduk Islam di selatan Thai zon pentadbiran khas sebagai penyelesaian untuk menamatkan pergolakan di rantau itu.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata, kerajaan boleh menerima cadangan untuk menjadikan Yala, Pattani dan Narathiwat sebagai zon pentadbiran khas.

Namun cadangan itu tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan, katanya.

Beliau juga memberi amaran bahawa istilah zon pentadbiran khas itu mestilah tidak mewujudkan gambaran yang mengelirukan.

“Istilah itu boleh mewujudkan kekeliruan kerana ada yang menyifatkannya sebagai kawasan pemerintahan sendiri (autonomi). Ia bukan seperti itu,” kata Abhisit.

“Syarat utama ialah ia mesti tertakluk di bawah perlembagaan kerana Thailand ialah sebuah negara yang tidak boleh dipecahkan,” katanya.

Menurutnya, beberapa bentuk pentadbiran khas seperti pengurusan ekonomi dan kewangan di ketiga-tiga wilayah itu mungkin dibenarkan.

Abhisit juga menyebut kemungkinan menerima pelaksanaan beberapa undang-undang Syariah seperti melibatkan urusan harta pesaka dan hal keluarga.

Beliau menjelaskan soal pemilihan pemimpin sendiri secara langsung masih belum dapat diputuskan.

Sunday, June 14, 2009

6 terbunuh di selatan Thailand




SUTHEP (duduk tengah) memakai kasut selepas mengunjungi masjid di Narathiwat semalam.

Isteri ketua kampung antara mangsa keganasan pemisah

BANGKOK: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh dalam kejadian tembakan dan serangan bom berasingan di wilayah selatan Thailand selepas hampir seminggu kejadian serangan terhadap sebuah masjid yang menyaksikan 10 orang terbunuh.

Kejadian berlaku ketika Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban; Menteri Pertahanan, Prawit Wongsuwon dan komander tentera Jeneral Anupong Paojinda melawat wilayah selatan itu semalam bertujuan mempercepatkan siasatan terhadap kejadian tembakan di masjid yang membunuh jemaah ketika mereka sedang bersolat Isyak.

Dalam kejadian terbaru di Yala semalam, seorang penumpang wanita terbunuh manakala 13 yang lain cedera apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal melontarkan bahan letupan ke arah bas mini yang membawa pekerja, kata Leftenan Kolonel Wattanachai Chantimangkul.

Bas terbabit meninggalkan sebuah bandar di Yala apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal melontarkan bahan letupan ke arah bas berkenaan, membunuh seorang wanita dan mencederakan hampir semua penumpang kecuali seorang terselamat.

Juga di Yala, polis menemui mayat seorang lelaki berusia 36 tahun dan seorang wanita di tepi jalan tengahari semalam. Kedua-dua mereka dipercayai ditembak mati oleh pemisah.

Di wilayah berjiran, Narathiwat, seorang wanita berusia 31 tahun ditembak mati manakala yang lain cedera apabila sekumpulan lelaki bermotosikal melontarkan sebutir bom ke arah sekumpulan pelajar menyebabkan sekurang-kurangnya enam yang lain cedera.

Sementara itu pada malam sebelumnya, isteri seorang ketua kampung di Narathiwat ditembak mati apabila motosikal yang dinaiki bersama anak perempuannya diserang sekumpulan lelaki bersenjata.

Di Yala, seorang penduduk Islam berusia 19 tahun mati selepas ditembak ketika berada di rumahnya.

Timbalan perdana menteri, Suthep dalam lawatan beliau ke masjid di daerah Cho-Ai-Rong di Narathiwat di mana sekumpulan lelaki bertopeng melakukan serangan ketika penduduk sedang menunaikan solat Isnin lalu yang turut mencederakan 12 yang lain, meminta penduduk bersabar sementara kerajaan melakukan usaha untuk menangani keganasan di wilayah terbabit. � AP/AFP



NARATHIWAT - Masyarakat Islam di selatan Thailand semakin hilang keyakinan dengan kerajaan Thailand sekiranya pemerintah gagal menyelesaikan masalah di wilayah bergolak itu.

Ada beberapa penduduk mendakwa pasukan keselamatan terlibat secara terbuka dalam kejadian itu berdasarkan kepada pakaian dan percakapan mereka walaupun kerajaan telah menafikan perkara itu.

Seorang penduduk kampung berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mat mendakwa kawasan masjid yang diterangi dengan lampu dapat mengecam beberapa anggota pasukan keselamatan keluar dan masuk semula ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das tembakan lagi bagi memastikan mangsa benar-benar mati.

“Semua penduduk yang melihat (kejadian) menegaskan itu adalah tentera, walaupun kerajaan menafikannya,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang enggan dikenali mendakwa tiada kumpulan pemisah di selatan Thailand seperti didakwa kerajaan dan dia sendiri tidak pernah melihat kumpulan sebegitu.

Sementara itu, Gabenor Pattani, Ponthep Siyapan berkata kumpulan pemisah kini beralih menyerang institusi agama di tiga wilayah di selatan Thailand bagi menarik perhatian antarabangsa khususnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memudahkan usaha mendapat autonomi.

Dalam pada itu, Di Yala semalam, seorang penyerang melemparkan bom tangan ke dalam sebuah bas mini menyebabkan seorang maut dan 12 lagi cedera.

Satu lagi insiden di wilayah sama, menyaksikan dua penduduk beragama Buddha mati ditembak lelaki tidak dikenali.

Di sebalik tragedi solat Isyak


Tragedi Masjid Al-Furqan di Narathiwat, Thailand baru-baru ini mengimbas kekejaman peristiwa Masjid Kerisek dan insiden Tak Bai pada 2004.




BAU hanyir darah menyambut orang ramai yang berpusu-pusu untuk melihat Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Narathiwat, Thailand.

Lokasi itu, pada malam 8 Jun lalu, telah menyaksikan kejadian serangan sekumpulan enam pengganas berbaju hitam dan bertopeng hingga mengorbankan 11 nyawa jemaah yang sedang khusyuk mengerjakan solat Isyak.

Untuk sampai ke kampung tersebut, penulis perlu menempuh hampir 10 sekatan jalan oleh anggota polis atau pasukan tentera. Wajah mereka nampak bengis dan melihat setiap kenderaan yang lalu dengan penuh curiga.

Meskipun kedudukannya hanya sejauh 50 kilometer dari Sungai Golok yang mengambil masa sejam perjalanan dengan kereta, sesi soal jawab dan pemeriksaan ketat oleh pihak keselamatan Thailand begitu merimaskan.

Mujur, penulis dan jurugambar dapat melepasi pemeriksaan itu dan dibenarkan untuk memasuki lokasi kejadian. Kehadiran kami mengundang rasa ajaib kepada penduduk tempatan.

“Macam mana boleh lepas sekatan? Kalau ikutkan kawalan askar, orang luar tak dibenarkan masuk ke sini,” kata seorang penduduk kampung itu.

Mengetahui kami wartawan dari Malaysia, penduduk kampung menyambut baik kehadiran kami.

“Nakau (wartawan) dari mana? Harap dapat tunjukkan kebenaran dan tolonglah bantu mengurangkan kesengsaraan kami,” luah seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail.


MASJID TENGAH PATTANI pernah menyaksikan penganjuran demonstrasi aman yang membantah cara layanan Kerajaan Thailand dan anggota tentera terhadap oleh umat Islam Selatan Thai.


Menurut beliau, orang tempatan sudah hilang kepercayaan kepada media Thailand yang berat sebelah dalam melaporkan berita di wilayah yang sebahagian besar penduduknya berketurunan Melayu itu.

Bagi seorang anak jati kampung itu, Wan Kamaruzaman Wan Latiff, perasaan kecewa dan kecil hati kerap menimpa mereka kerana masyarakat Islam seringkali dipersalahkan setiap kali ada keganasan yang berlaku tanpa ada penghakiman dan pembuktian yang adil.

“Tuhan tidak kurniakan ‘syahid’ kepada jemaah yang mati tempoh hari jika orang Islam benar-benar menjadi dalangnya.

“Sesuatu yang bodoh bagi kami untuk mengorbankan saudara seagama untuk matlamat yang masih kabur,” luahnya yang merupakan adik kepada Wan Abdullah Wan Latiff, 62, imam masjid tersebut yang turut terbunuh.

Kemarahan yang memuncak

Kisah duka rumah Allah dicemari tumpahan darah di Selatan Thailand bagaikan kengerian yang berulang. Dalam pada birokrasi Bangkok sering mengetepikan siasatan, hukuman dan keputusan mahkamah mengenai keterlibatan anggota keselamatan mereka, ada sesuatu yang membakar hati orang Islam di wilayah itu.

Apa yang dimaksudkan adalah api kemarahan dan dendam pemberontakan. Sedangkan semua sifat itu sepatutnya tidak meracuni fikiran orang Islam yang diajar mencintai keamanan dan kesejahteraan.


AGENDA 'pengsiaman' Melayu giat dijalankan, kononnya atas dasar nasionalisme.


“Lebih malang dan licik, kemarahan itu dimanipulasi pula kumpulan rahsia yang bertindak dalam samaran bagi melaga-laga hubungan antara Melayu Islam dan Siam Buddha,” kata Zolkipli Ghofur, 42.

Pembekal makanan kering dari Yala yang sering berulang-alik ke Kuala Lumpur itu mendakwa kerajaan Thailand sering berprasangka terhadap orang Melayu. Pemerintah mengesyaki terdapat gerakan bawah tanah yang memusuhi kerajaan, tali barut kerajaan, tentera dan orang Siam Buddha.

“Tetapi akhirnya, orang Melayu juga yang bercerai nyawa. Para ulama dan anak-anak muda ditembak tanpa usul periksa hanya kerana dipercayai merancang keganasan.


SELATAN Thai sebenarnya kaya dengan hasil ekonomi namun dibelenggu kerenah birokrasi.


Zolkipli turut menyebut kematian secara tidak diduga ini boleh berlaku sama ada dengan serangan bom, serang hendap bersenjata, ataupun kejadian pandu tembak di jalanan seperti yang ditakuti penduduk Pattani yang menggunakan jalan raya pada waktu malam.

“Kalau bukan terang-terangan orang Melayu mati di hujung senjata anggota keselamatan kerajaan, ada kes-kes tertentu yang dicanangkan sebagai serangan balas orang Siam Buddha.

“Sampai bilakah helah mencetus kebencian ini hendak dimainkan?” ujar Zolkipli yang tidak mahu gambarnya dirakamkan Jurnal.

Kain kapan dan telur ayam

Dalam sebuah kajian yang dibuat oleh Dr. Sisomphop Jitphiromsi dari Universiti Songkhla Nakharin, Pattani, dalam kebanyakan kes pembunuhan orang Melayu Thai, isyarat maut akan dihantar sebelum pembunuhan dilakukan.


SERANGAN kejam di Masjid al-Furqan mengorbankan 11 orang jemaaah.


Pasir, beras, kain kapan dan telur ayam diletakkan di depan rumah orang yang akan dibunuh. Beberapa hari selepas itu, orang yang diberi isyarat maut itu akan ditembak. Kebanyakan mereka yang menjadi mangsa pembunuhan seperti itu adalah orang bekerja untuk kerajaan (tali barut).

“Jika benar pun ia dilakukan oleh orang Melayu Islam, kami sangat kesal jika ada saudara-mara kami yang berjuang secara sebegitu. Mana mungkin kami boleh kejam terhadap bangsa sendiri, apatah lagi mencemar kemuliaan masjid atas nama mencetus isyarat perjuangan,” kata Zolkipli.

Walau apa pun latar belakang dan niat puak pemisah itu, orang Melayu yang akhirnya dilabel sebagai berbahaya, militan atau ektremis.


SEORANG jemaah tidak dapat menahan hiba tatkala berdoa selepas solat di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan selepas kejadian serangan.


Siri serangan yang mengorbankan nyawa orang Melayu Islam dan Siam Buddha berlarutan sejak hampir sekurun lalu. Sama ada secara rawak atau terancang, prasangka buruk terhadap orang Melayu dirasakan paling buruk ketika Thailand di bawah pentadbiran Thaksin Shinawatra.

Tragedi di Masjid Al-Furqan mengimbas kekejaman kes Masjid Kerisek, Pattani pada tahun 2004 yang mengorbankan seramai 32 orang. Tidak lupa juga, konflik di Tak Bai yang mencalar kesucian Ramadan pada tahun yang sama.

Rentetan tiga tahun selepas itu, penciptaan sengketa Islam-Buddha sudah melonjakkan angka korban di Selatan Thai kepada kira-kira 3,000 orang. Namun, siapa yang mampu menoktahkan semua itu?

Masyarakat Islam Thai sangsi


NARATHIWAT – Masyarakat Islam di selatan Thailand bertambah kurang yakin dengan kerajaan Thailand sekiranya pemerintah gagal menyelesaikan masalah di wilayah tersebut.

Penduduk di kawasan itu mahu kerajaan menyiasat mereka yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan 10 orang jemaah masjid di Kampung Air Tempayang Mukim Choi-Airong di sini Selasa lalu.

Seorang wakil penduduk yang dikenali sebagai Mat memberitahu, ada beberapa penduduk mendakwa pembabitan pasukan keselamatan secara terbuka dalam kejadian itu berdasarkan kepada pakaian dan percakapan mereka walaupun kerajaan telah menafikannya.

Mat berkata, memandangkan kawasan masjid yang diterangi dengan lampu penduduk dapat mengecam beberapa anggota pasukan tersebut yang keluar dan masuk semula ke masjid itu dan melepaskan beberapa das tembakan lagi bagi memastikan mangsa benar-benar mati.



WARIS dan penduduk kampung melihat ahli keluarga mereka yang mati ditembak pengganas.


KEJAM dan tidak berperikemanusiaan. Hanya itulah yang boleh dikatakan apabila melihat deretan mayat mereka yang sedang menunaikan solat Isyak ditembak dengan tidak berperikemanusiaan oleh beberapa orang lelaki yang bersenjatakan senapang automatik pada Selasa lepas.

Dalam kejadian yang berlaku di sebuah masjid di daerah Cho-ai-rong dalam wilayah Narathiwat, lima atau enam orang lelaki telah melepaskan tembakan terhadap sekumpulan jemaah yang sedang menunaikan solat Isyak mengakibatkan 11 orang terbunuh termasuk imam manakala 19 yang lain cedera.

Setelah hampir lima tahun selepas insiden Tak Bai yang mengakibatkan kematian 85 penunjuk perasaan beragama Islam dan dilihat sebagai satu daripada pencetus konflik di Selatan Thai, sekali lagi peristiwa menyedihkan sebegini berulang.

Namun kali ini ia lebih menyedihkan kerana berlaku ketika mereka ini sedang menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan akhirnya tanpa disangka-sangka terkorban tanpa mengetahui siapa dalang sebenar di sebalik tragedi ini.

Apa yang memusykilkan kejadian kali ini berlaku selepas Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melakukan lawatan sehari ke negara ini pada Isnin lepas.

Lawatan tersebut yang juga merupakan yang pertama bagi beliau sejak menyandang jawatan tersebut pada 17 Disember tahun lepas walaupun singkat tetapi sangat bermakna.

Ini kerana fokus utama yang ditumpukan ialah isu di Selatan Thailand yang berlarutan sejak sekian lama malah beliau turut menyatakan kesungguhan untuk memperbaharui komitmen penyelesaian.

Pengakuan Abhisit bahawa kesilapan-kesilapan dasar berhubung masalah Selatan Thailand sebagai punca permusuhan menunjukkan keikhlasan beliau untuk memulihkan keadaan.

Janji beliau untuk mengambil pendekatan perdamaian dalam menyelesaikan masalah tersebut merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan bukan sahaja penduduk di Selatan Thai tetapi majoriti penduduk negara ini yang sememangnya bersimpati dengan nasib mereka.

Namun sesungguhnya apa yang berlaku ini tidak memberi sebarang makna kepada pihak yang bertanggungjawab bertindak menembak orang Islam di dalam masjid.

Hanya sehari selepas lawatan Abhisit, mereka ini menunjukkan belang dengan menembak orang yang tidak berdosa dan sedang menunaikan ibadah tanpa sebarang tujuan yang jelas.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atau menyatakan apakah tujuan sebenar mereka melakukan tindakan serupa binatang ini.

Adakah mereka ini mahu mencabar kesabaran Abhisit dan pihak tentera atau apakah mereka ini sengaja mahu menghalang pembangunan dan keamanan di Selatan Thai dengan sentiasa mencetuskan keadaan panik dan huru-hara?

Ada yang menyatakan pihak tentera yang bertanggungjawab di atas kejadian ini. Tetapi pihak tentera menuduh ia dilakukan oleh pejuang Islam sendiri sesuatu yang mungkin dilihat agak dangkal memandangkan serangan ini dilakukan di dalam sebuah masjid yang dianggap sebagai kawasan suci oleh orang Islam.

Menuding jari

Terdapat cakap-cakap perkara ini dilakukan oleh kumpulan ekstremis Buddha malah tidak kurang juga yang menuding jari kepada kumpulan penjenayah. Secara teorinya perkara sebegini dilakukan bagi mengabui pihak keselamatan yang terlalu sibuk memantau keadaan maka perbuatan jenayah terutama pengedaran dadah boleh dilakukan tanpa sebarang pemeriksaan yang ketat.

Adegan tuduh-menuduh ini sememangnya sesuatu yang sudah dijangka dan akan terus menghantui penduduk Selatan Thai kerana setakat ini masih belum terdapat cara penyelesaian yang benar-benar kukuh bagaimana untuk mengenal pasti mereka yang terlibat serta kenapa mereka bertindak sedemikian.

Untuk pengetahuan umum, kejadian menyayat hati ini berlaku setelah lebih dua minggu sebuah mahkamah Thailand memutuskan bahawa tiada sebarang salah laku di pihak pegawai keselamatan dalam insiden di Tak Bai.

Panel dua hakim dalam inkues post-mortem membuat kesimpulan bahawa pegawai tentera dan polis bertindak mengikut undang-undang, menggunakan pertimbangan mereka untuk menangani keadaan yang mendesak dan melakukan yang terbaik berdasarkan situasi ketika itu.

Hakim-hakim yang bersidang dalam keputusannya menyatakan para pegawai hanya menjalankan tugas mereka dan mempunyai alasan kukuh bagi mengangkut lebih 1,000 penunjuk perasaan yang ditahan ke kem tentera di Patani atas sebab keselamatan.

Dalam kejadian yang berlaku pada 25 Oktober 2004, lebih 1,500 orang menyertai tunjuk perasaan di hadapan Balai Polis Tak Bai bagi mendesak pembebasan enam sukarelawan pertahanan kampung yang ditahan kerana disyaki membuat laporan palsu kepada polis membabitkan rompakan senapang patah yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Polis menggunakan semburan air dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan, manakala peluru hidup ditembak ke udara dan ke arah orang ramai bagi menyuraikan tunjuk perasan itu yang mengakibatkan tujuh orang terbunuh.

Hampir 1,300 orang ditahan oleh pihak berkuasa dan mereka ini telah dipukul dan ditendang sebelum dimuatkan ke dalam trak serta diletak bertindih-tindih dan dihantar ke Kem Tentera Ingkayuthaborihaan. Sejumlah 78 orang ditemui mati dalam trak itu dalam kejadian yang berlaku dalam bulan Ramadan.

Pastinya keputusan mahkamah itu sukar diterima oleh ahli keluarga mangsa yang sekian lama mengharapkan pembelaan dan keadilan yang sewajarnya.

Sebelum itu satu lagi kejadian berdarah berlaku di wilayah Patani pada 28 April 2004 di mana sekurang-kurangnya 108 orang yang disyaki pejuang Islam yang bersenjatakan parang bertempur dan melancarkan serangan di beberapa balai polis dan pos keselamatan di wilayah Patani, Yala dan Songkhla.

Pertempuran yang berlaku selepas waktu subuh dan berlarutan selama sembilan jam itu berakhir di Masjid Kerisik (Krue Se) Patani dan disifatkan sebagai permulaan kepada permusuhan yang berlanjutan sehingga sekarang.

Sejak dari peristiwa Masjid Kerisik dan Tak Bai ini berlaku, keadaan di Selatan Thai kini tidak lagi sama seperti sebelumnya. Ada sahaja peristiwa berdarah dilaporkan hampir setiap minggu sama ia membabitkan penduduk tempatan yang beragama Islam, anggota tentera serta orang kebanyakan yang tidak berdosa..

Sesungguhnya satu jalan penyelesaian yang benar-benar berkesan dan memuaskan hati semua pihak terlibat perlu dicapai bagi menyelesaikan kemelut ini.

Janji-janji

Rakyat Selatan Thai tidak harus lagi dimomokkan dengan janji-janji manis kerajaan bahawa perubahan akan dilakukan bagi memenangi hati mereka.

Janji untuk menukar dasar di Selatan Thailand, bermula dengan soal pembangunan dan pendidikan selain ingin menjadikan pendekatan 'mesra rakyat Selatan Thai' sebagai langkah penyelesaian perlu dijadikan satu realiti yang sememangnya telah lama diidamkan mereka.

Perlu ada kejujuran dan keikhlasan dalam membantu masyarakat minoriti Islam di Selatan Thai ini kerana apa yang mereka mahukan hanyalah satu permintaan yang wajar sebagai seorang manusia yang tinggal dan menetap bersama rakyat keturunan lain di negeri negeri bertuah ini.

Jika sebelum ini sekalipun kejujuran itu ada, tindakan yang dilakukan adalah terlalu sedikit mengakibatkan usaha merawat luka yang parah menjadi sukar.

Oleh itu, tidak ada perkara lain yang lebih utama dalam menyelesaikan konflik di selatan Thailand melainkan pihak berkuasa harus berlaku jujur dan ikhlas kepada masyarakat di situ yang juga merupakan sebahagian daripada rakyat Thailand.

TERUS BERMANDI DARAH



PENDUDUK kampung membantu mengangkat seorang mangsa yang cedera dalam serangan bom ke atas sebuah bas mini di Yala, semalam. – Reuters


KETEGANGAN di selatan Thailand terus meningkat dan keadaan keselamatan di sana semakin membimbangkan dengan bilangan kematian angkara kumpulan militan terus bertambah.

Enam orang menjadi mangsa terbaru dalam kejadian keganasan di selatan Thailand semalam, disyaki tindakan balas dendam ke atas tragedi serangan ke atas Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, wilayah Narathiwat ketika penduduk sedang menunaikan solat Isyak pada malam Selasa lalu.

Seramai 11 jemaah terkorban dalam serangan yang dilakukan oleh enam lelaki bertopeng diikuti dengan beberapa kejadian keganasan selepas itu, termasuk pembunuhan seorang sami yang ditembak beberapa kali di Yala kelmarin.

Saturday, June 13, 2009

KORONADAL, Filipina 12 Jun - Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo hari ini menyuarakan kesediaan kerajaan beliau untuk menyambung semula rundingan damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), sekalipun pertempuran meletus semula di selatan Filipina baru-baru ini.

Ketika berucap pada satu majlis sempena hari ulang tahun ke-111 perisytiharan kemerdekaan Filipina daripada penjajahan Sepanyol, Arroyo berkata, kerajaan Malaysia sedang berusaha untuk menyambung semula rundingan yang tergendala pada Ogos lalu selepas beberapa komander MILF menyerang penduduk Kristian.

"Kita menantikan nasihat daripada fasilitator pihak ketiga kita, iaitu kerajaan Malaysia, mengenai tarikh untuk menyambung semula rundingan damai," kata Arroyo.

Beliau berkata, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi 'jaminan mengenai sokongan negara beliau terhadap proses damai' dengan MILF.

Menurut Arroyo, seorang perunding kerajaan kini melakukan perbincangan di sebalik tabir dengan puak pemisah itu berhubung agenda rundingan damai.

Bagaimanapun, ketua perunding MILF, Mohagher Iqbal menafikan adanya hubungan langsung antara kedua-dua pihak.

"Tidak ada rundingan langsung di sebalik tabir. Tidak ada juga maklum balas daripada Malaysia berhubung rundingan.

"Saya tidak pasti sama ada rundingan akan disambung semula di bawah pentadbiran Arroyo kerana situasi di selatan Filipina kini bergolak. Apa sahaja boleh berlaku," kata Mohagher.

Rundingan antara kedua-dua pihak bermula ekoran gencatan senjata pada 2003, tetapi digantung pada Ogos lalu selepas Mahkamah Agung menyekat perjanjian yang akan membolehkan MILF menguasai satu kawasan yang luas di selatan negara ini.

Sejak beberapa minggu lalu, pertempuran meletus semula di Pulau Mindanao, dengan tiga kem MILF ditawan oleh tentera kerajaan dan sekurang-kurangnya 30 anggota pemisah itu terbunuh. - AFP



Gambar yang dikeluarkan oleh polis Thai merakamkan mayat sami Buddha yang terbunuh setelah ditembak oleh pejuang pemisah, terbaring di tepi jalan sambil diperhatikan oleh anggota tentera Thai, di wilayah Yala, selatan thailand semalam. – AFP


YALA 12 Jun - Dua lelaki menembak mati seorang sami Buddha dan mencederakan seorang lagi hari ini ketika mereka keluar untuk memungut derma di selatan Thailand.

Sami berusia 60 tahun itu mati di tempat kejadian selepas ditembak beberapa kali oleh dua lelaki yang menyamar sebagai pelajar di pekan Yala, kata polis.

Rakannya yang berusia 24 tahun cedera parah dan dimasukkan ke hospital.

Keganasan terus meningkat di selatan Thai sejak serangan ke atas sebuah masjid di Kampung Air Tempayan, wilayah Narathiwat yang meragut nyawa 11 jemaah pada malam Selasa lalu.

Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva hari ini telah mengarahkan dua menteri kerajaan dan ketua tentera Thai, Jeneral Anupong Paojinda pergi ke selatan Thai esok untuk mempercepatkan siasatan mengenai serangan di masjid terbabit.

Anupong berkata, beliau berharap hasil siasatan itu akan menyangkal dakwaan penduduk kampung bahawa serangan tersebut dilakukan oleh pasukan keselamatan.

"Kami akan berkata benar tetapi kami tidak boleh membuat spekulasi mengenai penyerang tanpa bukti," kata beliau.

Lebih 3,700 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera sejak keganasan yang meletus pada Januari 2004. - AFP

Thursday, June 11, 2009

YALA 11 Jun - Sekumpulan penyerang tidak dikenali menembak mati empat orang termasuk seorang wanita mengandung dalam empat serangan berasingan di selatan Thailand hari ini.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa jam sebelum Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva dijadual mengadakan mesyuarat khas Kabinet bagi menangani keganasan yang memuncak, baru-baru ini, yang telah menyebabkan 29 orang maut dalam beberapa serangan sejak Selasa minggu lepas.

Dalam kejadian di wilayah Narathiwat, seorang lelaki Buddha berusia 35 tahun dan isterinya, 30, yang hamil empat bulan, ditembak ketika sedang menjual makanan daripada trak pikap milik mereka.

Ibu kepada lelaki berkenaan turut cedera parah.

Juga di wilayah sama, seorang lelaki Islam berusia 44 tahun terbunuh selepas ditembak individu menaiki kenderaan.

Dalam kejadian berasingan di Yala malam tadi, penyerang bermotosikal melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki berusia 43 tahun, selepas mereka mengekori trak pikapnya di pekan Pattani, kata polis.

Di sebuah lagi daerah di wilayah Pattani, dua lelaki Buddha cedera ditembak oleh penyerang yang menaiki kenderaan malam tadi.

Serangan-serangan itu meningkatkan lagi ketegangan di selatan Thai berikutan pembunuhan 11 jemaah di sebuah masjid di Kampung Air Tempayan, wilayah Narathiwat semasa mereka sedang mengadakan solat Isyak malam kelmarin.

Pertubuhan hak asasi manusia menuduh tentera Thai mencabul hak asasi manusia di selatan negara ini sejak pergolakan meletus pada Januari 2004.

Tentera kelmarin menafikan dakwaan penduduk kampung bahawa askar Thai melancarkan serangan ke atas masjid itu. - AFP



Seorang pegawai penjara berdiri sebelah sebuah kenderaan yang terbakar di sebuah penjara wilayah di bandar Kidapawan, Mindanao akibat diserang oleh pejuang pemisah MILF, semalam. Seorang pegawai penjara terbunuh manakala dua yang lain cedera dalam serangan itu. - AFP


ZAMBOANGA 11 Jun - Dua askar dan enam anggota kumpulan pejuang yang menawan seorang tebusan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), terbunuh dalam satu pertempuran hebat dengan tentera kerajaan di selatan Filipina hari ini.

Jurucakap tentera laut, Leftenan Kolonel Edgard Arevalo berkata, keadaan tebusan itu, Eugenio Vagni, 62, rakyat Itali yang diculik kumpulan Abu Sayyaf bersama-sama dua lagi pekerja bantuan yang telah dibebaskan hampir lima bulan lalu, masih belum diketahui.

Menurut beliau, satu pertempuran tercetus antara sekumpulan tentera marin dengan 150 anggota bersenjata Abu Sayyaf berhampiran bandar Indanan, di selatan Pulau Jolo pada waktu subuh.

''Pertempuran itu disusuli dengan kejadian tembak menembak dahsyat dan ia masih berterusan,'' ujarnya.

Arevalo berkata, dua askar dan enam pejuang Abu Sayyaf maut, sementara empat askar cedera dalam pertempuran tersebut.

Tambahnya, kumpulan pejuang itu diketuai Albader Parad dan Abu Pula, dua komander kanan Abu Sayyaf yang dipercayai menahan Vagni.

Menurut Arevalo, laporan dari lokasi pertempuran menunjukkan bahawa anggota militan Jemaah Islamiah (JI), Umar Patek, dipercayai membantu Abu Sayyaf dalam penculikan tersebut.

Dua lagi rakan Vagni yang juga petugas ICRC, masing-masing warganegara Sweden dan rakyat tempatan, telah dibebaskan secara berasingan pada April lalu.

Setiuasaha Dalam Negeri, Ronaldo Puno pada minggu lalu berkata, usaha menyelamatkan Vagni agak perlahan disebabkan periuk api yang ditanam kumpulan pejuang tersebut. - AFP

Wanita mati ditembak di Yala

YALA - Seorang wanita Thailand mati ditembak di sini semalam dalam satu kejadian yang dipercayai sebagai satu perbuatan balas dendam oleh militan, dua hari selepas 11 orang mati ditembak di sebuah masjid di Narathiwat.

Polis menyatakan empat suspek gerila pemisah yang menunggang motosikal menyerang wanita beragama Buddha ketika dia sedang makan tengah hari bersama dua rakan lelaki di Yala.

Militan-militan itu meninggalkan sekeping nota yang bertulisan tangan di tempat kejadian.

Nota itu menyatakan: "Anda sudah membunuh orang tidak bersalah dan saya perlu melakukan pembunuhan bagi tujuan balas dendam."

Dua rakan wanita itu dihantar ke sebuah hospital selepas cedera akibat terkena tembakan.

Pada malam Isnin lalu, sekumpulan lelaki bertopeng menyerbu sebuah masjid di Narathiwat dan membunuh 11 orang selain mencederakan 12 lagi.

Ketua Tentera Thai, Anupong Paojinda menuduh gerila pemisah melakukan serangan itu tetapi dinafikan oleh penduduk tempatan yang mendakwa pasukan keselamatan menjadi dalang kejadian. - AFP

YALA 10 Jun - Seorang wanita Thailand ditembak mati hari ini oleh empat individu disyaki pejuang, dalam satu kejadian yang disifatkan sebagai tindakan membalas dendam ke atas insiden 11 jemaah terkorban dalam kejadian sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dalam sebuah masjid di selatan negara ini, malam kelmarin.

Menurut polis, empat lelaki bersenjata tersebut dipercayai menunggang motosikal dan menyerang mangsa yang berusia 25 tahun itu ketika dia sedang menikmati makan tengah hari bersama-sama dua rakan lelaki di wilayah Yala, di sini, tengah hari ini.

Polis berkata, suspek turut meninggalkan dua nota tulisan tangan yang bertulis:''Anda telah membunuh orang tidak berdosa, jadi saya perlu membunuh bagi membalas dendam'.

Rakan-rakan lelaki mangsa turut dihantar ke hospital bagi menjalani pembedahan setelah cedera terkena tembakan.

Pada malam Isnin lalu, sekumpulan lelaki bersenjata yang memakai topeng menyerbu sebuah masjid di wilayah Narathiwat dan menembak mati 11 jemaah serta mencederakan 12 yang lain.

Ia merupakan episod keganasan terburuk dalam masa lima tahun pergolakan di selatan Thailand yang telah mengorbankan kira-kira 3,700 orang.

Jurucakap kerajaan, Panitan Wattanayagorn hari ini menjangkakan lebih banyak serangan akan berlaku, terutamanya di kawasan-kawasan yang dihuni masyarakat Melayu.

''Bermula dari sekarang, serangan demi serangan mungkin akan meningkat dan ia mungkin lebih mendatangkan kemusnahan dengan insiden pengeboman serta tembakan yang disasarkan kepada penduduk awam termasuk guru, pelajar dan kakitangan kesihatan,'' ujarnya. - AFP

BANGKOK - Tragedi pembunuhan di Masjid Al-Furqan di Narathiwat, selatan Thailand mungkin angkara `kumpulan bayangan' yang mahu menyemai rasa tidak percaya dan konflik antara penduduk yang majoritinya umat Islam dengan penganut Buddha dan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Parlimen Thai mengenai Keselamatan Nasional, Jehrrming Tohtayong berkata, beliau percaya ia dilakukan oleh kumpulan baru yang mahu menimbulkan kekacauan dan keganasan antara penduduk tempatan.

“Kami mempunyai maklumat seorang penduduk menghilangkan diri beberapa hari sebelum insiden itu. Sesetengah orang kata dia tidak bersetuju dengan kumpulan militan sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Jehrrming berkata, bukan mudah untuk menentukan orang yang sebenarnya terbabit dalam serangan itu yang menyaksikan 10 jemaah masjid terbunuh ketika menunaikan solat Isyak manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Sambil mengakui kumpulan pemisah terbabit dalam kebanyakan insiden keganasan di wilayah itu, beliau berkata ada juga kumpulan dadah dan mafia tempatan terbabit dalam sesetengah kekacauan.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Anupong Paochinda menafikan tuduhan bahawa pasukan keselamatan menjadi dalang dalam tragedi pembunuhan di masjid itu.

Lebih 3,500 orang terbunuh sejak Januari 2004 apabila kumpulan pemisah menyambung semula kempen bersenjata bagi mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.

Jehrrming berkata kerajaan yang ada sekarang di bawah pentadbiran Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva mendapat kerjasama baik daripada rakyat.

Tetapi ramai takut untuk bekerjasama secara terbuka bagi mengekalkan keamanan di wilayah itu berikutan tindak balas daripada kumpulan pemberontak.

Seorang wanita ditembak mati


PENDUDUK Muslim berdoa untuk mangsa serangan masjid selepas bersolat di Narathiwat. - Foto AFP

Serangan balas dendam selepas 11 jemaah dibunuh dalam sebuah masjid

YALA: Seorang wanita Thailand ditembak mati semalam dalam satu kejadian serangan balas oleh kumpulan pemisah di wilayah selatan, kira-kira dua hari selepas 11 jemaah ditembak mati dalam satu serangan di ke atas sebuah masjid.

Polis berkata sekurang-kurangnya empat suspek menaiki motosikal menyerang seorang penduduk wanita berusia 25 tahun ketika mangsa sedang makan tengah hari bersama dua rakan kerja lelakinya di sebuah kawasan pembinaan longkang di wilayah Yala.
Lelaki bersenjata terbabit turut meninggalkan nota bertulisan tangan dalam bahasa Thailand yang tertulis: "Anda membunuh penduduk tidak berdosa jadi saya melakukan pembunuhan untuk balas dendam."

Dua rakan sekerja wanita terbabit dibawa ke hospital kerana cedera parah akibat tembakan terbabit.

Sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata menyerang sebuah masjid di wilayah berjiran, Narathiwat Isnin lalu dan melepaskan tembakan ke arah jemaah yang sedang menunaikan solat, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 12 yang lain cedera.
Ketua tentera, Anupong Paojinda mendakwa kumpulan pemisah melancarkan serangan itu, menafikan dakwaan penduduk kampung bahawa ia dilakukan pasukan tentera.

Ia adalah antara kejadian keganasan terburuk dalam pemberontakan pemisah sejak lima tahun lalu yang membunuh sekurang-kurangnya 3,700 penduduk.

Jurucakap kerajaan, Panitan Wattanayagorn semalam meramalkan lebih banyak serangan di masa depan di wilayah dengan majoriti penduduk beragama Islam dan etnik Melayu itu.

"Mulai sekarang serangan mungkin akan semakin meningkat dan menjadi lebih teruk dengan bom berkereta dan tembakan di kumpulan khalayak serta di kawasan tempat awam membabitkan guru, pelajar, dan kakitangan kesihatan," kata Panitan.
Perdana Menteri, Abhisit Vejajiva mengakui kerajaan beliau gagal untuk menangani pemberontakan tetapi berikrar untuk mengatasi keganasan di wilayah terbabit. � AFP

Tuesday, June 9, 2009

Filipina tawan 2 kem pejuang MILF

COTABATO, Filipina 8 Jun - Dua buah kem pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di selatan Filipina berjaya ditawan tentera kerajaan, semalam.

Menurut tentera hari ini, angka pejuang MILF yang terkorban juga meningkat kepada 35 orang.

Jurucakap tentera darat wilayah, Leftenan Kolonel Jonathan Ponce berkata, serangan bertubi-tubi dari udara serta tembakan meriam ke atas lokasi pejuang itu membuahkan hasil apabila kem-kem berhampiran bandar Guindulungan itu berjaya ditawan semalam.

''Jumlah kematian di kalangan anggota MILF juga meningkat kepada 35, selain 28 orang yang lain dilaporkan cedera.

''Hanya lima anggota tentera kerajaan cedera semasa serangan itu,'' katanya.

Ponce berkata, maklumat lain mengenai kem yang ditawan itu tidak boleh didedahkan.

Kelmarin, sebuah kem latihan MILF juga berhampiran Guindulungan, berjaya ditakluk tentera kerajaan selepas beberapa hari berlaku pertempuran.

Tentera melaporkan mayat-mayat pejuang turut dikeluarkan dari sebuah lubang dalam yang digali MILF.

Turut ditemui semasa serbuan ke atas kem pertama itu adalah kubu bawah tanah, tempat menyimpan senjata dan sebuah pejabat pentadbiran.

Pangkalan-pangkalan di Guindulungan dipercayai menjadi kubu kuat komander MILF, Ameril Umbrakato, salah seorang daripada dua komander kanan pejuang yang membatalkan gencatan senjata pada Ogos lalu dan menawan beberapa bandar Kristian.

Sejak itu, lebih 3,000 pejuang dan orang awam terbunuh dalam pertempuran tersebut, sementara beratus-ratus yang lain dipindahkan.

Serangan tersebut berlaku selepas mahkamah menolak draf perjanjian damai antara MILF dengan kerajaan Presiden Gloria Arroyo, yang menawarkan pemerintahan autonomi kepada pejuang di sebuah kawasan yang luas di selatan negara ini.

MILF yang dianggotai 12,000 pejuang mula melancarkan pemberontakan sejak 1978 bagi membentuk sebuah negara Islam di bahagian selatan Filipina. - AFP

NARATHIWAT, Thailand 8 Jun - Militan Islam membunuh seorang penoreh getah dan mencederakan sembilan anggota tentera dengan melontar bom di tepi jalan di Selatan Thailand, hari ini.

Penoreh getah penganut Buddha itu ditembak mati oleh seorang lelaki tidak dikenali yang sedang menaiki motosikal di wilayah Rangea hari ini, kata polis.

Di daerah berjiran, Rueso pula, sembilan anggota tentera cedera dan seorang daripadanya parah apabila sebutir bom dicampak ke bawah trak tentera meledak di tepi jalan.

Sejak Jumaat lalu, sembilan orang terbunuh dalam kejadian tembakan dan letupan bom berasingan di wilayah selatan Thailand.

Bagaimanapun tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap semua serangan tersebut. - Agensi

Friday, June 5, 2009

YALA 5 Jun - Lima orang terbunuh dalam keganasan terbaru di selatan Thailand hari ini, beberapa jam sebelum Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva dijadual menemui para pegawai tertinggi tentera untuk membincangkan langkah keselamatan di wilayah bergolak itu.

Polis berkata, lima lelaki terdiri daripada dua renjer tentera, dua pengawal keselamatan sekolah dan seorang ahli politik tempatan terbunuh dalam empat serangan berasingan.

Seorang lelaki Islam yang mengetuai badan pentadbiran tempatan di pekan Pattani ditembak mati oleh sekumpulan penyerang yang disyaki pemisah pagi ini.

Tiga jam kemudian dua pengawal keselamatan sekolah, seorang Muslim dan seorang lagi beragama Buddha, ditembak mati dalam serangan berasingan di sebuah daerah berdekatan.

Sejurus sebelum tengah hari, dua renjer tentera yang melakukan rondaan dengan berjalan kaki di daerah sama maut dalam satu letupan bom di tepi jalan yang turut mencederakan dua yang lain.

Abhisit dijadual bermesyuarat dengan pegawai tertinggi pertahanan di Bangkok petang ini untuk membincangkan strategi kerajaan bagi menangani keganasan di selatan Thai. - AFP

Thursday, June 4, 2009

NARATHIWAT 4 Jun - Sekurang-ku rangnya lima cedera dalam satu kejadian letupan bom dan seorang ditembak mati oleh kumpulan disyaki pemisah di selatan Thailand, menurut jurucakap polis hari ini.

Keganasan itu berlaku sehari sebelum Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva dijadual mengadakan mesyuarat keselamatan di rantau berkenaan.

Jurucakap polis berkata, dua adik beradik perempuan yang mengajar di sebuah sekolah rendah di wilayah Narathiwat cedera parah awal hari ini apabila suspek militan meletupkan bom yang dipasang di tepi jalan menggunakan isyarat telefon bimbit ketika mangsa melalui jalan tersebut dengan menaiki motosikal.

Tiga lagi anggota polis turut cedera dalam kejadian letupan bom yang lain di wilayah Yala sekitar masa yang sama.

Seorang lelaki Islam pula ditembak mati oleh penyerang dari sebuah kenderaan di wilayah Pattani lewat semalam.

Serangan terbaru itu berlaku selepas kejadian lelaki bersenjata menyamar sebagai askar kerajaan mendirikan sekatan jalan raya kelmarin dan menahan sekumpulan guru sebelum membunuh dua daripadanya termasuk seorang yang mengandung lapan bulan.

Abhisit telah mengarahkan pegawai keselamatan atasan untuk menghadiri mesyuarat esok dan beliau mempertahankan tindakan kerajaannya untuk mengawal situasi di selatan Thai sejak mengambil alih pucuk pimpinan pada Disember lalu.

Beliau mengaku kerajaan telah diberi amaran mengenai kemungkinan serangan dilancarkan ke atas guru selepas bermulanya penggal baru persekolahan baru-baru ini.

Sekolah dan guru kerap menjadi sasaran serangan di selatan Thai kerana kumpulan pemisah melihat sistem pendidikan sebagai usaha oleh Bangkok untuk melaksanakan budaya Thai Buddha di rantau yang majoriti penduduknya etnik Melayu. - AFP

Monday, June 1, 2009

MILF bantu bebaskan tawanan

MANILA 31 Mei - Tentera Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), hari ini menjalinkan kerjasama yang jarang sekali berlaku, bagi memaksa kumpulan penculik membebaskan seorang pelancong Cina yang dilarikan ke selatan negara yang bergolak itu.

Pihak berkuasa kerajaan dan 11,000 anggota MILF telah terbabit dalam pertempuran berkala sejak Ogos lalu, apabila rundingan Malaysia antara kumpulan itu gagal mencapai keputusan.

Gabenor Utara Cotabato, Jesus Sacdalan berkata, pegawai kerajaan dan pejuang Islam itu berjanji untuk bekerjasama bagi membebaskan Afen Ma Wu.

Dua pihak itu sebelum ini, pernah bersetuju untuk bekerjasama bagi memerangi penjenayah dan pengganas. Mereka membentuk satu jawatan kuasa bersama bagi memantau kerjasama itu yang masih wujud walaupun berlaku pertempuran baru.

Kata Sacdalan, seramai 10 orang penculik telah menyerahkan Wu dan penculik itu melarikan diri selepas tentera dan pejuang MILF menghalang laluan mereka di sebuah kubu MILF.

Penculik-penculik yang melarikan diri dan sedang diburu oleh tentera, adalah dari kumpulan dinamakan Pentagon, yang terdiri daripada bekas anggota pejuang dan gengster tempatan, kata Sacdalan.

Wu yang hanya mengalami kesan lebam-lebam dan gigitan nyamuk pada anggota badannya, telah dikembalikan kepada ahli keluarganya selepas menjalani pemeriksaan perubatan. Tiada wang tebusan dibayar kepada kumpulan itu.

Jurucakap kumpulan pejuang MILF, Eid Kibalu berkata, kerjasama itu menunjukkan bahawa MILF dan tentera kerajaan boleh bekerjasama dalam mencapai proses damai.

"Jika objektif itu untuk memerangi penjenayah, kita boleh berganding tangan," katanya.

Wu, 24, dari wilayah Fujian, China melawat ahli saudaranya di Utara Cotabato, Filipina apabila dua lelaki berpistol mengheret dia ke dalam sebuah kereta. - AP

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal