Bismillahirrahmanirrahim

Monday, February 15, 2010

Empat wanita ditembak mati di selatan Thai


SEORANG wanita dipercayai ibu mangsa diiringi ahli keluarganya melihat mayat anak perempuannya yang dipercayai dibunuh oleh puak pemisah di Narathiwat, selatan Thailand, semalam. - AFP


NARATHIWAT 15 Feb. - Empat orang ditembak mati dalam dua insiden di selatan Thailand sejak dua hari lalu, kedua-duanya melibatkan seorang wanita dan anak perempuannya.

Seorang wanita Islam dan anak perempuannya ditembak mati di sebuah kebun getah di wilayah Narathiwat hari ini, kata pegawai polis, Kapten Heraman Jaedee.

Katanya, wanita berkenaan telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa keselamatan dan mungkin dibunuh untuk menghalangnya daripada menyalurkan maklumat kepada mereka.

Dalam insiden semalam, seorang wanita beragama Buddha dan anak perempuannya berusia 14 tahun ditembak mati oleh penyerang berkenderaan ketika mereka menaiki motosikal untuk pulang ke rumah di wilayah Pattani, kata Kolonel Polis, Naraecha Suwanlapa.

Lebih 3,900 orang terbunuh dalam pergolakan di selatan Thai sejak enam tahun lalu.

Keganasan itu termasuk tembakan dari kenderaan, serangan bom dan kepala mangsa dipenggal.

Mangsa serangan selalunya terdiri daripada penduduk beragama Buddha dan Islam yang ada kaitan dengan kerajaan Thai, seperti anggota polis, askar, pegawai kerajaan dan guru.

Penempatan puluhan ribu anggota polis dan askar di bawah undang-undang keselamatan yang ketat belum dapat membendung keganasan tersebut.

Wilayah-wilayah Pattani, Yala dan Narathiwat adalah sebahagian daripada sebuah kesultanan Melayu sebelum ditawan oleh Thailand seabad yang lalu. - Reuters

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal