Bismillahirrahmanirrahim

Monday, August 16, 2010

Manila beri tempoh enam tahun damai

MANILA: Kerajaan Filipina berkata semalam, ia yakin dapat menandatangani perjanjian damai dengan pemisah Islam Moro dalam tempoh enam tahun.
Marvic Leonen, seorang peguam yang mengetuai panel rundingan kerajaan dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), berkata gencatan senjata berjaya dipertahankan sejak beberapa bulan lalu memberi keyakinan baru sebelum rundingan dijangka diteruskan bulan depan.

“Apa yang kami bawa ke meja rundingan adalah satu harapan bahawa kita dapat capai penyelesaian dalam tempoh enam tahun atau lebih awal,” kata Leonen. Leonen berkata kerajaan bersedia meminda perlembagaan agar dapat memenuhi penyelesaian politik menyeluruh dengan MILF yang mempunyai 12,000 anggota.

“Jika perlu dan jika dipersetujui semua pihak, pindaan tidak mustahil,” katanya kepada wartawan asing tanpa mengulas lanjut.

MILF melancarkan pemberontakan sejak 1978 bagi penubuhan satu negara Islam bebas di pulau selatan Mindanao, rantau kaya bahan galian, tetapi miskin disebabkan pertempuran tiga dekad lamanya yang mengorbankan lebih 150,000 orang.

Bagaimanapun, MILF sudah melupakan hasrat menubuhkan negara Islam bebas, tetapi bersiap sedia bentuk autonomi, kata Leonen.
“Cabaran pentadbiran baru sama ada ia memiliki kreativiti dan keinginan politik sejajar dengan perubahan diperlukan,” katanya.

“Paras keyakinan amat tinggi,” katanya apabila ditanya sama ada Presiden Benigno Aquino berupaya menamatkan pemberontakan MILF sebelum penggalnya berakhir pada 2016.

Benigno, yang memenangi pilihan raya presiden Mei lalu, menggunakan populariti besarnya bagi mendapatkan sokongan majoriti penduduk Kristian negara itu supaya mana-mana perjanjian dapat direalisasikan, kata Leonen.

“Benigno akan menggunakan kuasa politiknya untuk menjayakan rundingan,” katanya.

Rundingan damai itu tertunda pada 2008 apabila Mahkamah Tinggi memutuskan cadangan perjanjian yang memberi MILF kawalan ke atas kawasan besar di selatan tidak mematuhi perlembagaan, sekali gus menyebabkan MILF mengangkat senjata. – AFP

1 ulasan:

krulayar said...

'KIAMAT DAN KEADAANNYA'

http://www.scribd.com/doc/36025155/Surat-Kepada-Yang-DiPertuan-Agong-Dan-Mufti-Mufti

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal