Bismillahirrahmanirrahim

Thursday, January 20, 2011

Pemberontak gempur kem tentera, empat maut



Seorang tentera Thai berkawal di pintu masuk ke sebuah kem tentera di Narathiwat selepas kem itu digempur kumpulan pemberontak, semalam. – AFP


NARATHIWAT 20 Jan. – Sekumpulan berpuluh-puluh pemberontak bersenjata membunuh sekurang-kurangnya empat askar Thailand dan mencederakan beberapa yang lain apabila mereka menggempur sebuah kem tentera di selatan Thai, malam tadi.

Pertempuran bersenjata meletus apabila kira-kira 50 pemberontak menyerang kem di wilayah Narathiwat itu awal malam tadi, kata jurucakap tentera, Kolonel Banphot Poonpien, hari ini.

“Empat askar terbunuh dalam serangan itu, manakala tujuh lagi cedera, termasuk empat yang berada dalam keadaan kritikal,” katanya.

Penyerang melarikan kira-kira 50 laras raifal dan 5,000 butir peluru, kebanyakannya diambil daripada askar yang terbunuh, tambah beliau.

Mereka juga meletupkan bom dan membakar dua buah rumah dan sebuah khemah di kem itu sebelum berundur.

Askar yang terbunuh berusia antara 22 hingga 33 tahun.

Kumpulan yang disyaki puak pemisah Islam itu melancarkan kempen bersenjata di selatan Thai sejak awal 2004, menyebabkan lebih 4,400 penduduk Islam dan Buddha maut dalam konflik itu.

Kelmarin, kerajaan Thai melanjutkan tempoh perintah darurat di selatan negara ini selama tiga bulan lagi, meskipun dibantah oleh pertubuhan hak asasi manusia yang bimbang mengenai kuasa meluas yang diberikan kepada tentera di bawah perintah itu.

Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara berkata, puak pemisah melancarkan serbuan terbaru itu untuk menakutkan penduduk tempatan.

“Mereka mahu menunjukkan keupayaan mereka,” katanya, sehari selepas melawat selatan Thai. – AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal