Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, February 18, 2009

Pemimpin Islam tolak Hillary

JAKARTA: Seorang pemimpin pertubuhan Islam Indonesia, semalam menolak undangan makan malam bersama Hillary Clinton, ketika setiausaha negara Amerika Syarikat itu melawat negara berkenaan dalam usaha memperbaiki hubungan dengan dunia Islam.

Penolakan undangan oleh Pengerusi Pertubuhan Muhammadiyah Indonesia, Din Syamsuddin itu disifatkan sebagai 'tamparan pertama' kepada rancangan Hillary untuk membuka lembaran baru dengan dunia Islam seperti dijanjikan Presiden Barack Obama.

"Ia hanya makan malam tanpa dialog dan tidak akan memberi faedah," kata pemimpin pertubuhan yang dianggotai 30 juta umat Islam Indonesia itu.

Din berkata beliau lebih berminat menghadiri mesyuarat antara-agama di Australia daripada 'membuang masa' memperkatakan mengenai keenakan hidangan tempatan dengan setiausaha negara Amerika yang baru.

"Pertemuan seperti itu tidak memberi sebarang kesan," katanya.

Obama menghabiskan sebahagian usia kecilnya di Indonesia dan menjanjikan pendekatan baru dengan dunia Islam selepas pencerobohan Amerika ke atas Iraq dan Afghanistan.

"Kita mempunyai tanggungjawab untuk berbincang dan bekerjasama dengan dunia Islam untuk mewujudkan satu perubahan positif dan membantu mereka menentang keganasan," kata Hillary kepada pelajar di Universiti Tokyo kelmarin.

Sementara itu sekumpulan pelajar yang mengadakan tunjuk perasaan dilapor melemparkan kira-kira 50 kasut ke arah gambar Hillary di hadapan Istana negara di Jakarta Pusat.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gerakan Mahasiswa Pembebasan mendesak kerajaan sentiasa berwaspada dengan Amerika yang menggunakan diplomasi sebagai cara baru menguasai dunia.

Tindakan pelajar terbabit bagaimanapun tidak dihalang polis kerana bilangan mereka tidak ramai. � AFP/Agensi

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal