Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, March 9, 2011

Pemisah selatan Thai ubah taktik

BANGKOK: Keganasan semakin rancak di kawasan bergolak selatan Thailand, selepas beberapa lagi serangan bom dan senjata berlaku di rantau majoriti penduduk Islam, kata pihak berkuasa Thai, semalam.

“Saya mengakui pergolakan kian meningkat, namun pegawai kami bertungkus lumus untuk bekerja keras sehabis baik bagi menyelesaikan masalah itu,” kata Tawin Pleansri, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Nasional memberitahu media.

“Agak sukar mengawasi kawasan yang sebegitu luas. Walaupun kurang insiden berlaku, kebelakangan ini keadaan berada pada tahap paling serius,” katanya.

Pemisah Islam melancarkan pemberontakan di rantau paling selatan Thailand sejak awal 2004, menyebabkan lebih 4,400 orang maut, membabitkan penduduk Islam dan Buddha.

Keganasan semakin hebat baru-baru ini dengan beberapa serangan bom berlaku termasuk dalam kejadian Januari lalu yang mengorbankan sembilan orang.

Satu serangan berani luar biasa seminggu sebelumnya ke atas sebuah pangkalan tentera menyebabkan sekurang-kurangnya empat askar terbunuh.

Pihak berkuasa berkata, pemberontak jelas menukar taktik mereka dengan memfokuskan lebih banyak serangan secara ganas.

Thailand menempatkan 60,000 anggota pasukan keselamatan di wilayah terjejas akibat keganasan bagi menentang militan yang belum diketahui matlamat mereka.
Pihak berkuasa berkata, agak mustahil untuk menamatkan konflik itu dengan segera.

“Masalah ini tidak dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan,” kata Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban, yang bertanggungjawab menguruskan keselamatan negara.

Pengkritik menuduh kerajaan gagal menangani kesengsaraan minoriti Islam Melayu Thailand, termasuk dakwaan mereka didera tentera yang turut dianggap kurang hormat ke atas identiti etnik, bahasa dan agama orang tempatan.

Mangsa terbaru termasuk seorang pesara polis Buddha berusia 61 tahun yang terkorban kelmarin dalam satu tembakan penunggang motosikal yang menyebabkan cucu perempuannya parah di wilayah Pattani. – AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal