Bismillahirrahmanirrahim

Wednesday, December 30, 2009

Dua askar maut letupan bom selatan Thai



PASUKAN keselamatan Thai memeriksa kawasan kejadian serangan di Pattani, selatan Thailand, semalam. - REUTERS


YALA, Thailand 30 Dis. - Letupan bom di tepi sebuah jalan raya telah mengorbankan dua anggota tentera di selatan Thailand hari ini.

Menurut polis, kejadian itu berlaku ketika pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan sempena sambutan Tahun Baru dan ulang tahun keenam pemberontakan di wilayah itu.

Letupan itu berlaku menerusi sebuah trak yang membawa lima anggota pasukan renjer ketika mereka memantau jalan raya yang digunakan oleh guru-guru di wilayah Pattani, satu daripada tiga wilayah bergolak berdekatan sempadan Malaysia.

Dua anggota tentera itu mati di tempat kejadian sementara tiga yang lain mengalami kecederaan parah.

Polis berkata, bom itu mengandungi 15 kilogram bahan letupan dan diletupkan menggunakan alat kawalan jauh menerusi telefon bimbit.

Kabinet Khas kerajaan Thailand berhubung pemberontakan pemisah, telah mengadakan satu mesyuarat hari ini berikutan kebimbangan serangan militan pada Tahun Baru.

"Semua pegawai keselamatan telah meningkatkan langkah-langkah sewajarnya sempena cuti Tahun Baru ini," kata ketua tentera, Jeneral Anupong Paojinda kepada pemberita selepas mesyuarat selesai di Bangkok.

Anupong turut mempertahankan langkah baru kerajaan supaya semua motosikal dan kereta didaftar dengan kod bar di selatan, selepas segelintir pemilik mendapati kenderaan yang ditanda telah dimusnahkan.

"Kenderaan banyak digunakan dalam kebanyakan serangan, jadi kami mahu mengawal kenderaan secara efektif di kawasan terlibat. Satu-satunya kumpulan yang tidak bersetuju dengan langkah itu ialah puak militan," katanya.

Lebih 4,000 penduduk telah terbunuh manakala ratusan daripadanya mengalami kecederaan sejak pemberontakan tercetus bermula Januari 2004, semasa puak militan menyerang pangkalan tentera di selatan, menyebabkan empat anggota tentera terbunuh.

Ketegangan telah lama berlaku di negara itu sejak penganut Buddha di Thailand menguasai dan mengambil alih pemerintahan kesultanan Melayu Islam pada tahun 1902. - AFP

0 ulasan:

Google News

 

Tentera Mahdi | Tentera Dajjal